EXXONMOBIL MALAYSIA PENYUMBANG UTAMA PROGRAM PEMBANGUNAN IBU TUNGGAL DAN BELIAWANIS

Menyingkap kembali penubuhan Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) lima belas (15) tahun lalu, 2005 – dengan beberapa matlamat besar, antaranya  melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan dengan tujuan membangun dan memajukan golongan miskin, terpinggir dan berpendapatan rendah khususnya rakyat Terengganu, melalui langkah memperkasakan kehidupan mereka.

 

Sejajar dengan itu, syarikat minyak gergasi multi-nasional Exxonmobil Exploration & Production Malaysia Inc (ExxonMobil) di bawah inisiatif mendidik wanita dan beliawanis telah menyalurkan peruntukan setiap tahun kepada YDSM yang jumlahnya lebih RM1 juta bagi membantu golongan ibu tunggal dan beliawanis menjadi usahawan wanita Terengganu dan telah berjaya meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi mereka. 2020  merupakan tahun yang ke-8 berturut-turut ExxonMobil menyalurkan sumbangan untuk tujuan ini.

 

Pada 9 September 2020, pihak YDSM yang diketuai oleh YBhg. Dato’ Mohd Fadzli bin Yusof bersama dengan Ahli Lembaga Pemegang Amanah lain serta anggota Pengurusan YDSM telah mengadakan lawatan kerja ke Menara ExxonMobil di Kuala Lumpur. YDSM telah membentangkan laporan pelaksanaan program yang berkait dengan tajaan sumbangan ExxonMobil kepada wakilnya Puan Ida Ruzaini Altahari, Pengurus Operasi, Hal Ehwal Awam dan Kerajaan Subsidiari-subsidiari ExxonMobil di Malaysia.

 

Sepanjang tahun 2020, beberapa aktiviti melibatkan program usahawan produk madu kelulut telah dijalankan, antaranya Majlis Graduasi Peserta Program Usahatani Madu Kelulut YDSM, pengagihan sumbangan log kelulut dan lawatan memantau serta meninjau peserta-peserta Program di setiap daerah. Disamping itu penganjuran Kursus Pemasaran Digital eUsahawan wanita Terengganu 2020 siri 1 atas tajaan ExxonMobil yang turut disertai oleh beberapa peserta Program YDSM.

 

Majlis Graduasi yang diadakan pada 30 Januari 2020 di TH Hotel & Convention Centre Terengganu, seramai 12 orang peserta Program Usahatani Madu Kelulut YDSM yang berjaya menghasil dan memasarkan produk berasaskan madu kelulut telah dipilih untuk menerima sumbangan log kelulut. Upacara penyerahan log disampaikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Mohd Fadzli bin Yusof, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM dengan disaksikan Encik Mohd Badli Mohd Ali, wakil ExxonMobil.

 

Pengagihan log kelulut yang dissusuli lawatan peninjauan Mac lalu adalah antara salah satu inisiatif YDSM membantu perkembangan para peserta dalam penghasilan madu kelulut untuk mereka kembang dan pelbagaikan perniagaan produk hiliran berasaskan madu kelulut tersebut.

 

 

Bagi memastikan setiap peserta memiliki kekuatan daya saing dalam pemasaran dan pembangunan perniagaan, ExxonMobil turut mengambil inisiatif melengkapkan para peserta dengan ilmu berkait dengan pemasaran secara atas talian. ExxonMobil dengan kerjasama beberapa agensi temasuk pihak Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), YDSM dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah menganjurkan Kursus Pemasaran Digital eUsahawan Wanita Terengganu 2020 Siri 1 pada 10-12 Ogos 2020 di bangunan Terengganu Digital 1303 (TD1303), Kuala Terengganu.

 

Kursus yang berkonsepkan penerangan teori dan latihan amali itu memberi pendedahan kepada lebih 150 orang usahawan tentang pemasaran digital yang efektif, praktikal dan relevan kepada pengguna semasa.