LAWATAN KE PUSAT PENTERNAKAN KETAM (AB CRAB) KLUANG

 

YDSM menganjurkan lawatan kerja ke Pusat Penternakan Ketam AB Crab di Kluang, Johor pada 1 September 2020. Rombongan YDSM diketuai oleh Dato’ Haji Mohd Fadzli bin Yusof, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM diiringi oleh Tuan Haji Azizulrahim bin Ahmad Zambri, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Encik Mohd Azrul bin Ismail, Setiausaha Kerja YDSM dan Encik Mohd Hapizul bin Ibrahim, Eksekutif Penyelaras Projek YDSM.
Tujuannya adalah untuk meninjau usaha penternakan ketam dalam bangunan seperti “kondominium” melalui penggunaan sains dan teknologi oleh Syarikat Puncak Innovasi Sdn. Bhd. yang bekerjasama dengan Pusat Penternakan Ketam AB Crab  yang memohon kerjasama dan bantuan YDSM agar usaha penternakan yang sama dilaksanakan di Negeri Terengganu Daruliman. Umum diketahui penternakan ketam hidup biasanya dijalankan dalam suasana alam semula judi sama di sungai atau laut.

 

Bagi maksud ini daerah yang dicadang adalah Setiu, lebih tepatnya kawasan Tanah Bencah Setiu (Setiu Wetlands). Pilihan kawasan ini dibuat kerana air sungai dan muaranya yang bersih, kurang tercemar dan amat sesuai untuk menternak ketam nipah. Tambahan pula, pada masa ini ketam nipah mendapat pemintaan yang tinggi di dalam mahupun luar negara. Mengikut Pusat Penternakan Ketam AB Crab harga ketam ini adalah antara RM70 sehingga RM100 kilo. Sekiranya cadangan ini dapat dilaksanakan, YDSM secara khusus menyarankan agar Syarikat Puncak Innovasi Sdn. Bhd. Sebagai pebimbing/pengajar membabitkan masyarakat setempat sejajar dengan titah Tuanku Pengerusi YDSM supaya apa-apa program sosio ekonomi wajar mengutamakan penduduk di kawasan  yang terbabit. Hasil ketam yang diternak ini akan dibeli oleh Syarikat Puncak Innovasi Sdn. Bhd.

 

Oleh itu, lawatan ini diadakan bertujuan untuk melihat sendiri aktiviti penternakan yang telah dilaksanakan. Rombongan YDSM disambut baik oleh pihak Syarikat Puncak Innovasi Sdn. Bhd. dan AB Crab yang diketuai oleh Dato’ Goh Men Foo. Pihak mereka telah memberikan penerangan dan taklimat tentang operasi syarikat dan konsep penternakan yang telah dilaksanakan. Setelah itu, rombongan YDSM dibawa melawat ke ruang penternakan ketam nipah.

 

Encik Tung Yit Xiang, Pengurus AB Crab menyatakan bahawa konsep penternakan ketam nipah yang dilaksanakan disebut sebagai Recirculation Vertical Crab Farm. Ia adalah kotak-kotak plastik kecil yang disusun secara bertingkat seperti bangunan atau kondominium yang dapat menjimatkan ruang dan dalam pada masa yang sama dapat menambah jumlah populasi ketam. Setiap kotak akan diternak seekor ketam yang diberi makanan ikan. Penggunaan air yang dikitar semula dengan daya kemanisan serta suhunya dikawal menjimatkan kos utiliti dan dapat mengurangkan kesan kepada persekitaran kerana jumlah pelepasan air ke sungai sangat sedikit jika dibandingkan  dengan sistem kolam yang mengepam air laut untuk mendapatkan air bersih.

 

Penggunaan sistem Indoor Vertical Farm lebih mudah untuk mengawal kandungan air. Selain itu, tenaga kerja untuk mengoperasikan sistem ini sangat sedikit. Sama pentingnya melalui teknologi ini mutu ketam yang diternak seperti yang terbukti dari isinya adalah tinggi. Komuniti tempatan perlu menjalani kursus dan latihan terlebih dahulu untuk menternak ketam nipah menggunakan sistem ini. Yang pasti, konsep ini akan dapat memberikan pendapatan tambahan kepada komuniti setempat.

Dalam tempoh lawatan ini, YDSM bukan sahaja dapat melihat aktiviti penternakan ketam yang dilaksanakan, tetapi turut dapat menikmati menu masakan ketam nipah yang diternak oleh pihak AB Crab. Realitinya, ketam nipah yang diternak dengan konsep ini yang menggunakan air bersih dan makanan yang bersih dan segar menjadikan isinya padat dan sedap dimakan.

 

Setelah melihat sendiri aktiviti penternakan yang dilaksanakan, YDSM merasakan bahawa konsep penternakan ini perlu dipraktikkan di Terengganu terutamanya di Setiu kerana ia dapat menjana pendapatan yang lumayan kepada penternak atau komuniti setempat. Terima kasih diucapkan kepada pihak Puncak Innovasi Sdn. Bhd. dan AB Crab kerana memberikan layanan yang baik sepanjang lawatan kerja pihak YDSM.