“Kebersihan sebahagian daripada Iman”. Islam amat menitikberatkan soal kebersihan terutama sekali bila ianya berkait dengan soal ibadah. Justeru, menyedari akan hakikat ini, Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) telah menganjurkan Program Gotong Royong Perdana Siri 3.0 Skuad Sukarelawan Yayasan DiRaja Sultan Mizan yang diadakan secara serentak melibatkan lima (5) buah masjid dan empat (4) tanah perkuburan islam dalam daerah Dungun.

 

Program yang diadakan pada 5 Oktober 2019 itu melibatkan beberapa lokasi antaranya Masjid Sura dan Tanah Perkuburan Islam Sura, Masjid Lama Kampung Sura dan Tanah Perkuburan  Islam Kampung Sura, Masjid Nurul Ehsan Kampung Padang Jambu dan Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya, Masjid As – Salikin dan Masjid Pak Sabah dan Tanah Perkuburan Islam Pak Sabah.

 

Membuka tirai program diatas adalah kuliah maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Fauzi bin Mustaffa, penceramah bebas pada 4 Oktober dengan kuliah yang bertajuk  “Cakna Kebersihan, Cakna Iman” itu diadakan di Masjid Lama Kampung Sura, Dungun.

 

Objektif Program ini adalah sebagai usaha menggalakkan masyarakat dan umat Islam sentiasa peka dengan kebersihan dan keceriaan tempat beribadah, menyantuni ukhwah dikalangan masyarakat dan memupuk serta menggalakkan semangat sukarelawan dikalangan para mahasiswa/wi.

 

Hadir sama menjayakan program murni ini ialah Tuan Haji Azri Sani bin Dato’ Mazlan selaku Pengerusi Jawatakuasa Sukarelawan YDSM. Turut hadir ialah AJK Sukarelawan YDSM, warga kerja YDSM, pegawai dan kakitangan daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan, komanden skuad Sukarelawan YDSM  dan ahli Skuad Sukarelawan adalah terdiri daripada mahasiswa dan mahasisiwi dari UMT, UniSZA dan UiTM Dungun serta penduduk setempat.

 

Program ini merupakan program tahunan YDSM setelah siri pertama yang diadakan pada tahun 2016 di Daerah Kuala Nerus dan siri kedua di daerah Kuala Terengganu pada tahun 2018. Program terbabit turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Pejabat Daerah Dungun, Majlis Perbandaran Dungun, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Jabatan Kerja Raya Negeri Terengganu dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Terengganu.