Ibu tunggal merupakan antara golongan yang perlu di berikan perhatian dan sokong dalam masyarakat.  Seseorang wanita ditakrifkan sebagai Ibu Tunggal sekiranya terpisah daripada suaminya samada akibat kematian mahupun penceraian. Tiada wanita yang menginginkan gelaran tersebut. Oleh itu status ibu tunggal sebenarnya secara tidak langsung telah memberi kesan dan tamparan yang begitu hebat kepada perubahan kehidupan secara keseluruhanya kepada golongan ini samada dari segi sudut ekonomi, sosial, psikologi berbanding sebelumnya.

 

Berdasarkan fakta tersebut, YDSM dan ExxonMobil telah mengambil inisiatif bagi membantu golongan ini bagi membina kembali kehidupan melalui pembangunan diri menerusi peningkatan ekonomi, sosial dan psikologi.

 

Bermula pada tahun 2008, Yayasan Diraja Sultan Mizan dengan kerjasama penuh pihak ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc. sebagai penyumbang dana telah merangka satu program untuk golongan wanita yang di khususkan bagi golongan ibu tunggal dan beliawanis.

 

Bermula daripada itu, Yayasan DiRaja Sultan Mizan telah menjalankan Program Usahatani Cendawan pada setiap tahun sehingga tahun 2016. Dengan perlaksanaan program tersebut, ianya telah berjaya mendatangkan faedah kepada hampir 300 orang wanita termasuk golongan ibu tunggal. Dalam tempoh tersebut juga pihak ExxonMobil telah menyumbang lebih RM1 Juta dalam memastikan pembangunan kemahiran hidup dan ekonomi kaum wanita khasnya dan masyarakat di negeri Terengganu amnya tercapai.

 

Dengan sokongan yang berterusan daripada pihak ExxonMobil, pada tahun 2017 YDSM telah mula melaksanakan Program Usahawan Produk Madu Kelulut bagi menggantikan program usahatani cendawan sediada.

 

Bagi tahun 2019, YDSM turut mendapat kerjasama daripada pihak Jabatan Pertanian Negeri Terengganu. Program diadakan dalam bentuk kursus selama 4 hari 3 malam di Taman Pertanian Sekayu dengan penyertaan daripada golongan ibu tunggal dan beliawanis. Pada tahun ini, Seramai 21 wanita yang terdiri daripada ibu tunggal dan beliawanis dari seluruh Negeri Terengganu telah menyertai Kursus yang diadakan pada 30 September hingga 3 Oktober 2019 bertempat di Pusat Pertanian Negeri, Sekayu, Hulu Terengganu.

 

Selama tempoh kursus, peserta dilengkapkan dengan ilmu berkaitan dengan penternakan kelulut serta pengurusan hasil dan pembuatan produk berasaskan madu kelulut. Majlis Penyampaian Sijil tamat kursus telah diadakan pada 3 Oktober 2019 dan diserikan dengan kehadiran YBhg. Dato’ Mohd Fadzli bin Yusoff, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM  selaku perasmi majlis serta jemputan antaranya Tuan Haji Azizulrahim bin Ahmad Zambri, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Encik Sukiman bin Mohamed, Pengurus Hal Ehwal Awam dan Perhubungan Kerajaan ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc. Dan Encik Mohd Desa bin Yasin, Pegawai Jabatan Pertanian Negeri Terengganu. Dalam ucapan YBhg. Dato’ Fadzli, beliau telah menyampaikan hasrat yayasan dalam perlaksanaan program ini yang antaranya mahu melihat para peserta kursus dapat berdikari menghasil produk sendiri dan menjadi usahawan yang berjaya. Beliau turut memberikan kata-kata semangat kepada semua peserta kursus seterusnya menyampaikan sijil kepada semua peserta.