WARGA DAERAH DUNGUN PEROLEH MANFAAT MELALUI KHIDMAT NASIHAT GUAMAN PERCUMA

 

Klinik Khidmat Nasihat Guaman Masyarakat Yayasan Diraja Sultan Mizan atau lebih dikenali dengan nama singkatan KESUMA merupakan perkhidmatan komuniti yang dilancarkan oleh YDSM khusus untuk membantu rakyat Terengganu yang mempunyai masalah yang berkait dengan guaman.

 

Mula di tubuhkan pada akhir tahun 2012, KESUMA mendapat kerjasama penuh daripada Jawatankuasa Peguam Negeri Terengganu yang membantu menyediakan para peguam yang bertauliah serta berpengalaman dalam mengendalikan kes. Disamping itu, KESUMA turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dalam menyediakan khidmat kaunseling yang akan dikendalikan oleh kaunselor-kaunselor yang terlatih bagi menyelesaikan masalah berkaitan institusi kekeluargaan.

 

Khidmat nasihat guaman dan khidmat kaunseling yang disediakan adalah secara percuma. Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan KESUMA dipelawa untuk hadir ke pejabat YDSM bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.

 

Selain menerima kehadiran orang ramai yang ingin mendapatkan khidmat nasihat guaman, perkhidmatan kesuma turut diperluas dengan mengadakan program kesuma bergerak ke daerah-daerah di Terengganu yang berpontensi untuk dibantu.

 

Terkini KESUMA telah menganjurkan Program Klinik Kesedaran Undang-Undang Dan Khidmat Nasihat Guaman di Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah, Dungun pada 26-27 Julai 2019. Program dengan kerjasama Jawatankuasa Peguam Negeri Terengganu, Jabatan Hal Ehwal Agama Teregganu, Jawatankuasa Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah serta jabatan-jabatan di Daerah Dungun telah memfokuskan bantuan kepada golongan yang kurang berkemampuan bagi memberi nasihat dan khidmat dalam aspek perundangan secara percuma.

 

Program yang bermula dengan Forum Perdana bertajuk Keluarga Syurgawi pada 26 Julai 2019 telah menampilkan penceramah terkenal antaranya Ustaz Dato’ Badli Shah Alauddin, Tuan Haji Mohktar bin Salleh dan Ustaz Mohd Fauzi bin Mustaffa sebagai Moderator. Pada 27 Julai 2019, Majlis bermula dengan perasmian program bertempat di Perkarangan Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah dan dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Haji Mohd Fadzli bin Yusof, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM merangkap Pengerusi Klinik Khidmat Nasihat Guaman Masyarakat YDSM. Turut hadir pada perasmian tersebut adalah Encik Saipul Bahri Harun, Ahli Jawatankuasa Peguam Negeri Terengganu dan Puan Mazlifah Mohammad, Pegawai Undang-Undang Majlis Perbandaran Dungun. Sebanyak lapan ( 10) buah gerai pameran daripada agensi kerajaan dan swasta serta kaunter derma darah yang turut dibuka bagi menambahkan lagi kehangatan Program tersebut. memeriahkan lagi program.