PROGRAM PEMERIKSAAN DAN KHIDMAT NASIHAT MATA PERCUMA UNTUK MASYARAKAT DAERAH KEMAMAN DAN DUNGUN

 

Tanggal 20 Julai lalu bertempat di Kelab Golf Dan Rekreasi Petronas (KGRP), Kertih, Kemaman, Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM), Persatuan Jurutera Petroliam (SPE) Seksyen Terengganu, Malaysian Society Of Ophthalmologist (MSO) dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat – Kempen Kesedaran Mata iaitu program pemeriksaan dan khidmat nasihat mata secara percuma kepada masyarakat khususnya golongan asnaf dan fakir miskin di daerah Kemaman dan Dungun.

 

Program ini merupakan kesinambungan kepada program Hari Penglihatan Sedunia yang pertama kali dilangsungkan Oktober 2017 di Kuala Terengganu dan Program Khidmat Masyarakat – Kempen Kesedaran Mata pada akhir Mac 2018 di Besut.

 

Sebagai pembuka tirai kepada program diatas, pihak penganjur turut mengadakan  Program Forum Perdana dengan tajuk “ Indahnya nikmat mata” pada 19 Julai (Jumaat – sebelah malam) di Masjid Jamek, Kertih. Tokoh-tokoh yang menjayakan forum perdana tersebut adalah Yang Berbahagia Dato’ Dr. Zawawi bin Yusoh (penceramah bebas), Yang Berbahagia Tuan Haji Syed Mohd Norhisyam bin Tuan Padang (penceramah bebas), Yang Berbahagia Dato’ Dr. Haji M. Johari bin Mohamad (Pakar Mata merangkap Pengurus Pusat Pakar Mata Bangi). Manakala moderator pula adalah Ustaz Mohd Fauzi bin Mustaffa (penceramah bebas).

 

Pada program ini, lebih 500 orang telah turut hadir dimana seramai 30 individu dikenalpasti mempunyai masalah berkaitan mata – katarak yang mana 15 orang darinya dikategori agak kritikal yang dirujuk secara terus ke Hospital Kemaman. Pada kali ini, seramai 15 Pakar Mata dari MSO dan beberapa Doktor Pakar Mata dari JKNT/Hospital Kemaman hadir memberikan khidmat nasihat dan pemeriksaan mata dengan menggunakan mesin dan peralatan yang canggih dan terkini. Disamping itu, pihak pengangjur juga turut mengadakan aktiviti pemeriksaan asas kesihatan seperti tekanan darah, kandungan gula dalam darah dan lain-lain yang disediakan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri.

 

Program ini turut dijayakan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan termasuk Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Terengganu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Jabatan Pembangunan Wanita Negeri, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri dan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Negeri.

 

Program berkenaan dirasmikan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Yang Berbahagia Dato’ Haji Mohd Fadzli bin Yusof. Turut hadir di program tersebut ialah Encik Nor Isham bin Abdullah, Pengarah Pertubuhan Jurutera Petroliam (SPE) Seksyen Terengganu dan Yang Berbahagia Dato’ Dr. Haji M. Johari bin Haji Mohamad yang mewakili pihak Malaysian Society Of Ophthalmologist (MSO).

 

 

 

5 PESAKIT DITAJA JALANI PEMBEDAHAN PERCUMA ATASI KATARAK

 

Lanjutan daripada program ini, YDSM dan Pusat Pakar Mata Bangi, Selangor telah mengambil inisiatif menaja seramai lima (5) individu dari golongan miskin untuk menjalani pembedahan dan rawatan mata di Pusat Pakar Mata Bangi/Klinik Mesra Bangi, Selangor. Individu yang mempunyai masalah berkaitan mata – katarak ini menjalani pembedahan pada 3 – 7 November 2019 lalu. Lebih manis, pembedahan tersebut adalah percuma berbanding perbelanjaan sekitar RM3,000.00 hingga RM6,000.00 seorang diperlukan jika pembedahan tersebut dilakukan di klinik swasta dan ianya bergantung kepada tahap kerosakan mata seseorang pesakit tersebut.

.