MEMPERKASAKAN SENI KRAF WARISAN TERENGGANU  – PENDAFTARAN PETUNJUK GEOGRAFI (GEOGRAPHICAL INDICATION) (GI) TEMBAGA TERENGGANU

 

 

Dalam usaha memperkasakan seni kraf warisan Terengganu, khususnya seni kraf tembaga serta ke arah mengantarabangsakan industri tembaga Terengganu, YDSM telah mengambil dayausaha mendaftarkan perlindungan “Petunjuk Geografi (Geographical Indication)” dengan nama “Tembaga Terengganu”. Antara lain tujuan pendaftaran ini adalah untuk meningkatkan nilai produk tembaga sehingga dapat dijual dalam pasaran antarabangsa.

 

YDSM dengan usaha dan kerjasama daripada pihak Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), bersama Tuan Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Rahim dan Encik Ahmad Zaidi Abd. Wahab selaku jururunding serta pengusaha-pengusaha tembaga yang terlibat telah berjaya mendaftarkan perlindungan Petunjuk Geografi bagi nama Tembaga Terengganu pada 2 Disember 2020 yang lalu.

 

Majlis Penyerahan Sijil pendaftaran Tembaga Terengganu telah diadakan pada 13 Disember 2020 di Istana Terengganu Kuala Lumpur. Sijil Pendaftaran telah disembah oleh Ketua Pengarah MyIPO, YBhg. Dato’ Mohd Roslan bin Mahayudin kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin, selaku Pengerusi YDSM.

 

Artikel sepenuhnya berkenaan perlindungan Petunjuk Geografi yang ditulis oleh Encik Ryzul Osman Basah, Pegawai Harta Intelek MyIPO adalah sebagaimana berikut:

 

 

PETUNJUK GEOGRAFI MELINDUNGI SENI KRAF WARISAN

 

Petunjuk Geografi adalah tanda yang digunakan keatas sesuatu produk kerana produk tersebut mempunyai kualiti dan reputasi yang boleh dikaitkan dengan kawasan berkenaan. Ini menunjukkan kualiti yang terhasil mesti mempunyai kaitan dengan tempat di mana produk petunjuk geografi itu dihasilkan. Secara ringkasnya ianya mesti terkait dengan tempat dan kawasan, kualiti, ciri-ciri kemanusian dari tempat asal geografi dan reputasi.

Perlindungan petunjuk geografi memberikan hak kepada pemilik untuk menghalang pihak ketiga dari menggunakan nama dan reputasi petunjuk geografi  dimana produk petunjuk geografi itu dibuat  tanpa mengikut piawaian dan ketetapan yang diberikan oleh undang-undang kepada pemilik petunjuk Geografi itu tadi. Sebagai contoh pemilik petunjuk geografi “Darjeeling Tea “di negara India boleh menghalang mana-mana pihak pengeluar tea dari menggunakan perkataan “Darjeeling” untuk tea yang tidak di tanam di Darjeeling atau yang tidak mengikut piawaian yang ditetapkan oleh pemilik   bagi petunjuk geografi tersebut.

Perlindungan petunjuk geografi kebiasaannya diperolehi melalui pendaftaran dengan badan rasmi di setiap negara. Pengkelasan produk petunjuk geografi terdiri daripada produk pertanian, makanan, wine dan sprit, kraftangan dan barang-barang industri dan produk natural.

Secara umumnya ada 3 cara untuk melindungi produk melalui petunjuk geografi, pertama melalui sistem Sui generis iaitu beban penguatkuasaan perlu dibuktikan oleh “pemilik”. Kedua melalui pendaftaran di badan harta intelek atau yang berkaitan dengan  melalui pendaftaran petunjuk geografi itu sendiri , pendaftaran cap dagangan kolektif atau cap dagangan perakuan. Ketiga melalui penguatkuasaan dan praktis  didalam bisnes proses seperti kawalan penggunaan, atau skim pelesenan produk oleh pemilik petunjuk geografi itu sendiri.

 

KELEBIHAN

Undang-undang

Pemilik petunjuk geografi mendapat perlindungan sepenuhnya di bawah undang undang dan di dalam konteks Malaysia, Akta Petunjuk Geografi 2000 di wujudkan untuk menguatkuasakan perlindungan ke atas produk petunjuk geografi. Di sini pemilik harta intelek petunjuk geografi dapat melindungi produk daripada di tiru dari segi kualiti produk, penjenamaan, dan reputasi daripada “free riders”. Ini perlu di sokong dengan system pengesanan dan pengurusan kualiti yang baik serta kawalan bekalan “supply chain” yang baik.

 

Pembangunan Produk

Selain itu setiap pendaftaran di bawah petunjuk geografi, satu buku spesifikasi telah diwujudkan dimana spesifikasi produk telah dijelaskan didalam buku tersebut. Oleh yang demikian, berasaskan spesikasi asas, produk petunjuk geografi boleh di majukan lagi dengan teknik, rekabentuk dan inovasi terbaru samada dari segi pembuatan atau pemprosesannya.

 

Pemasaran dan Penjenamaan

Perlindungan petunjuk geografi juga merupakan nilai tambah (added-value) kepada produk itu sendiri. Bukan hanya di lindungi undang undang, tetapi dari segi originaliti, jaminan kualiti produk yang dilindungi serta harga yang kompetitif menjadikan perlindungan petunjuk geografi salah satu medium yang boleh digunakan didalam pemasaran dan aspek promosi penjenamaan produk. Pelanggan dan pengguna juga akan lebih yakin dengan produk yang dikeluarkan kerana ianya menepati piawaian di bawah petunjuk geografi.

 

Komuniti dan Ekonomi setempat

Dengan adanya sistem yang baik di bawah perlindungan petunjuk geografi, industri eco pelancongan dan permintaan produk kraf warisan  atau tradisional tempatan yang didaftarkan dibawah petunjuk geografi di sesuatu tempat akan dapat dipertingkatkan dan seterusnya akan mengembeling penyertaan  komuniti setempat  dalam menjana ekonomi komuniti. Bagi faedah peringkat negeri dan negara, petunjuk geografi juga boleh di tampilkan sebagai “Jenama Negeri/Negara”, “State/Nation Brand”. yang membawa kemasyurannya yang tersediri, apatah lagi jika ada unsur warisan atau naungan diraja atau kesultanan.

Selain menjaga produk warisan atau unik di sesuatu tempat, petunjuk geografi secara ringkas akan menjadi pemangkin kepada kelebihan kompetitif produk, menambah nilai, menaikan kualiti kebolehpasaran produk samada tempatan dan eksport serta menguatkan lagi strategi pembangunan dan penjenamaan produk.