Mohamad Zulkifli bin Abd Rahman

Penerima Biasiswa Yayasan Diraja Sultan Mizan Yang Ke-3

 

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) atas tajaan biasiswa membolehkan saya menyambung pengajian PhD. Umumnya, masaalah kewangan menjadi antara kekangan utama para pelajar untuk tidak menyambung pengajian atau terpaksa berhenti di pertengahan pengajian. Maka, saya sangat bersyukur atas kurnianNya ini tetapi pada masa yang sama, saya faham bahawa tajaan ini merupakan amanah dan tanggungjawab yang perlu saya lakukan yang terbaik. Saya telah diamanahkan menyambung pengajian dengan mengkaji dan menulis thesis berkaitan kefatwaan.

 

Menyingkap kembali waktu sebelum menyambung pengajian, saya yang pada ada asalnya diberikan tajaan untuk menyambung pengajian di luar negara telah habiskan hampir satu tahun untuk mencari universiti dan penyelia yang sesuai. Segala persediaan termasuk menjalani ujian IELTS (International English Language Testing System) telah saya lalui kerana ujian ini merupakan syarat untuk kemasukan semua universiti di seluruh UK khususnya. Namun, ujian utama adalah langkah mendapatkan penyelia pengajian. Malangnya segala usaha yang saya lakukan untuk mendapatkan pensyarah yang dapat menyelia pengajian akhirnya tidak berhasil, atas beberapa faktor: antaranya bilangan pensyarah pengajian Islam tidak begitu ramai, tiada pensyarah yang bersedia menyelia bidang pengajian saya, pensyarah yang tidak lagi bersedia menyelia pelajar kerana telah menyelia ramai pelajar lain. Walaubagaimanapun, saya akur dengan apa yang berlaku dan saya yakin setiap ketentuan dan perancangan Allah itu ada hikmahnya. Saya terima ini sebagai asam garam perjalanan menuntut ilmu yang tidak sunyi dari cabaran. Apapun, pengajian tetap perlu diteruskan dan saya sangat berterima kasih kepada YDSM kerana membenarkan saya menyambung pengajian di universiti tempatan dan akhirnya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjadi pilihan saya.

 

Bagai sirih pulang ke gagang, saya kembali ke UIAM selepas hampir dua tahun meninggalkan Universiti tersebut selepas tamat pengajian sarjana. Alhamdulillah, perjalanan menyambung pengajian dipermudahkan dan berjalan dengan lancar. Saya memilih untuk menulis berkenaan perbandingan fatwa-fatwa di Malaysia berkaitan isu hubungan Muslim dengan non-Muslim, satu kajian praktikal yang saya fikir sesuai dengan konteks negara kita yang memiliki kemajmukan agama, bangsa, bahasa dan budaya. Tajuk ini pada asalnya lahir hasil daripada perbincangan dengan penyelia saya, Dr. Mustafa Shamsuddin dan Prof. Dr. Mohamed El Taher El Mesawi. Hakikatnya, para sarjana hari ini sangat menekankan isu kehidupan bersama antara masyarakat berbilang agama dalam budaya damai dan perubahan konteks geopolitik pada zaman ini yang mewujudkan konsep-konsep fundamental bagi membolehkan masyarakat hidup bersama seperti fiqh al-muwatanah (citizenship), fiqh al-ta‘ayush (peaceful coexistence) dan pelbagai lagi. Prinsip-prinsip Islam ini sudah pasti perlu diterjemahkan dalam fatwa.

 

Antaranya, Dr. Taha Jabir al-‘Alwani berkata:

Our predecessors did not experience the closely-connected world we live in today and its interacting cultures and global-village atmosphere. Their world was made up of “separate islands,” with limited cohabitation or understanding of one another. The “fiqh of conflict” was then prevalent, dictated by the times, but what is needed today is a fiqh of “coexistence” which suits our world in spirit as well as in form. (Manusia sebelum kita tidak mengalami hubungan dunia yang rapat seperti kehidupan kita kini dengan pelbagai budaya yang saling berhubungkait serta suasana persekitaran kampung global. Dunia terdiri daripada “pulau-pulau yang berasingan” dengan kehidupan bersama atau kesefahaman antara satu sama lain. Ketika itu “konflik fiqh” adalah jelas, ditentukan oleh masa, tetapi apa yang diperlukan kini fiqh “kehidupan bersama” yang sesuai dengan dunia kita sama ada roh atau bentuknya)

 

Antara prinsip utama inilah fatwa bersifat dinamik dan boleh berubah-ubah mengikut suasan dan keadaan, zaman dan tempat. Maka, kajian saya bukanlah bertujuan menyatakan kebenaran atau kesalahan mana-mana fatwa. Sebaliknya ia bertujuan memberikan justifikasi dan alasan atas perbezaan pelbagai fatwa ini, seterusnya memberikan penilaian terhadap hujah-hujah yang diberikan.

 

September 2020 ini, genaplah setahun pengajian PhD saya di UIAM. Sepanjang hampir setahun, saya telah selesai subjek yang perlu diambil dan telah berjaya melalui proposal defense. Saya kini sedang meneruskan tulisan thesis yang perlu saya siapkan sepanjang 3 tahun tempoh pengajian. Saya berharap dapat melakukan yang terbaik untuk kajian saya.