AGIHAN QURBAN KEPADA ASNAF DITERUSKAN DALAM PKP

 

Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) telah menganjurkan Majlis Ibadah Qurban yang kini memasuki tahun ke tujuh berturut-turut sejak dimulakan pada tahun 2014. Berbeza dengan tahun-tahun yang sebelumnya, Majlis Ibadah Qurban tahun ini dilaksanakan dalam suasana norma baharu kerana negara kita dilanda wabak Covid-19. Sesungguhnya Majlis ini menepati matlamat YDSM untuk membantu dan mempertingkatkan sosio-ekonomi rakyat melalui pelbagai program dan aktiviti amal dan kemasyrakatan seperti agihan daging qurban kepada asnaf miskin sebagaimana tuntutan agama.

 

Aktiviti Majlis Ibadah Qurban YDSM ini adalah dibawah perancangan dan kelolaan Jawatankuasa Agihan Zakat YDSM (JAZ). Pada tahun ini JAZ telah memutuskan bahawa Majlis Qurban kali ini dilaksanakan di Masjid Abidin (Masjid Negeri), Kuala Terengganu pada hari raya kedua AidilAdha.

 

Majlis kali ini wajar mematuhi ketentuan dalam prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana yang digariskan oleh pihakberkuasa di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sehubungan dengan ini bagi memastikan semua ketentuan dan keperluan SOP dipatuhi dalam norma baharu ini mesyuarat bersama pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu dan Jawatankuasa Masjid telah diadakan bagi membincangkan persiapan agar segala aktiviti yang berkaitan dapat dijalankan dengan lancar. Yang penting tiada apa-apa pelanggaran undang-undang yang terjadi.

 

Menurut Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Yang Berbahagia Dato’ Haji Mohd Fadzli bin Yusof, sebagaimana tahun-tahun sebelumnya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al Marhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah, selaku Pengerusi YDSM telah berkenan mengurniakan seekor lembu untuk program berkenaan. Selain itu, penyertaan Jemaah Masjid adalah sebanyak empat ekor lembu.

 

Pada tahun ini, 100 bungkus daging qurban (1 kilogram setiap bungkus) diagihkan kepada keluarga asnaf miskin. Dalam suasana PKP, hanya empat (4) keluarga asnaf sahaja yang dijemput hadir bagi menerima sendiri daging qurban manakala bakinya diagihkan oleh petugas masjid kepada keluarga asnaf miskin sekitar bandar Kuala Terengganu yang telah dikenalpasti oleh pihak masjid. Agihan daging qurban tersebut dilakukan oleh Tuan Haji Azizulrahim bin Ahmad Zambri, juga seorang Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM. Turut bersama YBhg. Dato’ Dr. Syed Salleh bin Syed Yusof Az-Zawawi, Timbalan Pengerusi Masjid Negeri.