Dalam usaha memperkasakan sosioekonomi masyarakat khasnya di Terengganu, YDSM telah melaksanakan pelbagai program pembangunan kemasyarakatan. Antara program yang dilaksanakan ialah Program Seni Kraf Warisan, Kursus Usahawan Produk Madu Kelulut dan Kursus Pembuatan Pastri.

 

Pada tahun 2019, YDSM telah melahirkan seramai 51 orang graduan yang berjaya menamatkan kursus dalam ketiga-tiga program berkenaan dengan cemerlang dan jayanya. Sehubungan itu, Majlis Graduasi untuk para pelatih dan peserta bagi ketiga-tiga program berkenaan telah diadakan pada 30 Januari 2020, bertempat di Dewan Baiduri, TH Hotel & Convention Centre, Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu. Majlis tersebut merupakan tanda penghargaan khas YDSM untuk merai serta menghargai usaha, kerjasama dan komitmen para pelatih dan peserta selama ini. Mentor atau jurulatih masing-masing serta ahli keluarga para pelatih dan peserta turut memeriahkan majlis.

 

Dalam majlis tersebut, YDSM telah menganugerahkan gelaran “Pelatih Terbaik” bagi setiap program dengan membawa pulang wang saguhati berjumlah RM500, plat penghargaan, sejambak bunga dan sijil. Manakala lain-lain peserta membawa pulang sejambak bunga dan sijil yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Haji Mohd Fadzli bin Yusof, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM selaku Pengerusi Jawatankuasa Program.

 

Pelatih Terbaik bagi Program Seni Kraf Warisan pada kali ini dibahagikan kepada dua orang iaitu lelaki dan perempuan. Pelatih Terbaik lelaki dianugerahkan kepada saudara Hamzah bin Nizar daripada Seni Ukiran Kayu, manakala Pelatih Terbaik Perempuan dianugerahkan kepada saudari Norshahida binti Abdul Manaf daripada Seni Pertukangan Barangan Emas dan Perak.

 

Pelatih Terbaik bagi Kursus Usahawan Produk Madu Kelulut dianugerahkan kepada Puan Zaliha binti Ismail dan Pelatih Terbaik bagi Kursus Pembuatan Pastri dianugerahkan kepada saudari Hani Zulaikha binti Azman Azhare.

 

Penerima anugerah Pelatih Terbaik bagi Program Seni Kraf Warisan, Norshahida binti Abdul Manaf tidak menyangka akan menerima anugerah berkenaan, dan merasa amat gembira dengan pencapaian beliau. Beliau melahirkan ucapan terima kasih kepada YDSM kerana memberi peluang dan ruang kepadanya untuk mempelajari seni kraf warisan menerusi program yang diadakan.

 

Dato’ Haji Mohd Fadzli bin Yusof dalam ucapan perasmiannya berpesan agar para graduan sentiasa peka dengan kehendak pasaran dan sentiasa berdaya saing dalam usaha memajukan diri masing-masing serta tidak mudah berputus asa.“Adalah menjadi harapan besar YDSM agar semua para pelatih dan peserta memperolehi manfaat sebanyak mungkin sepanjang kursus dan seterusnya mampu menempatkan diri dalam bidang keusahawanan diluar sana” kata beliau.

 

Program Seni Kraf Warisan YDSM telah dimulakan sejak tahun 2008, merupakan usaha YDSM untuk memulihara, memelihara dan mengekalkan seni warisan Negeri Terengganu. Sehingga kini, ianya telah memasuki siri/kumpulan ketujuh bagi sesi 2018/2019 dan telah melahirkan 176 orang pelatih/pelajar dalam pelbagai bidang seni. Daripada jumlah ini tidak kurang daripada 17 orang pelatih yang telah berjaya membuka bengkel sendiri hasil daripada apa yang dipelajari. Program ini dikendalikan berkonsepkan mentor menti selama 18 bulan dengan elaun bulanan diberikan kepada pelatih.

 

Manakala Kursus Usahawan Produk Madu Kelulut pula telah memasuki siri yang ketiga dilaksanakan oleh YDSM dibawah tajaan Exxon Mobil. Kursus bagi siri ketiga ini telah selesai dilaksanakan pada 30 September hingga 3 Oktober 2019 bertempat di Taman Pertanian Negeri, Sekayu, Hulu Terengganu dengan pembabitan seramai 21 orang pelatih dari kalangan ibu tunggal dan beliawanis seluruh Terengganu. Secara keseluruhannya kursus ini telah melibatkan seramai 81 orang dan hampir 30 orang daripadanya telah berjaya meneruskan perusahaan produk madu kelulut masing-masing.

 

Selain itu, Kursus Pembuatan Pastri Tahap 2 merupakan kursus yang dijalankan dengan kerjasama Akademi Ziq Bakery yang memfokuskan kepada matlamat untuk memperkasakan sosio ekonomi rakyat Terengganu khususnya bagi golongan belia dan beliawanis. Seramai tujuh (7) orang pelatih/pelajar telah menjalani kursus ini selama enam (6) bulan bermula pada 10 Mac hingga 9 September 2019 bertempat di Akademi Ziq Bakery di Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu. Mereka merupakan kumpulan yang kedua, selepas kumpulan pertama pada tahun 2017 terdiri seramai sepuluh (10) orang.

 

YDSM mengucapkan tahniah kepada semua pelatih/pelajar yang telah berjaya menamatkan latihan dan bergraduasi pada kali ini. Semoga mereka lebih bersemangat untuk terus membina kerjaya dalam bidang keusahawanan yang telah diceburi.