Majlis Mesra Hari Raya Aidilfitri 1440 Hijrah Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) telah diadakan pada hari Ahad 16 Jun 2019 bersamaan 12 Syawal 1440 Hijrah, bertempat di halaman pejabat YDSM, Pekarangan Istana Badariah, Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

 

Seperti tahun sebelumnya, YDSM sungguh bertuah kerana Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, selaku Pengerusi YDSM telah mencemar duli berangkat ke Majlis tersebut. Lebih meriah lagi, pada tahun ini juga, KDYMM Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu turut berangkat bersama-sama seorang anakanda iaitu Yang Amat Mulia Tengku Nadhirah Zahrah binti Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.

 

Lebih 2000 orang tetamu telah hadir untuk meraikan Majlis tersebut. Mereka adalah terdiri daripada para pegawai pelbagai Jabatan dan agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, guru-guru serta ahli-ahli akademik khususnya yang terlibat dengan pelbagai program dan projek kemasyarakatan YDSM. Juga turut hadir dalam Majlis ini ialah wakil-wakil NGO serta institusi kewangan. Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran  tetamu-tetamu jemputan serta orang ramai yang tidak putus-putus sehingga tamat majlis.

 

Para tetamu telah disajikan dengan pelbagai juadah dan hidangan yang disediakan oleh penyaji-penyaji makanan yang dipilih khas oleh YDSM. Mereka terdiri daripada para pengusaha yang telah menerima pelbagai bantuan di bawah projek kemasyarakatan YDSM. Mereka terdiri daripada peserta Program Memperkasakan Sosio Ekonomi Nelayan, Kursus Pembuatan Pastri, Usahatani Cendawan serta penerima-penerima bantuan Zakat Perniagaan YDSM. Juadah dan hidangan yang disaji ialah crispy selayang, popia, kek dan pastri, keropok lekor, sate ikan, mee dan bihun goreng, rendang cendawan, kerepek pisang dan getas. Selain itu, YDSM juga turut menyediakan menu makanan yang lain seperti nasi minyak, nasi dagang, sate daging dan ayam, nasi himpit, laksa, laksam, air batu cendol, ketupat, lemang, dan Aiskrim.

 

Antara menu baru pada tahun ini adalah crispy selayang dan popia yang dihasilkan oleh peserta Program Memperkasakan Sosio Ekonomi  Keluarga Nelayan Terengganu YDSM, perusahaan produk berasaskan sumber laut. Program ini adalah program baru yang diadakan dengan kerjasama pihak REPSOL OIL & GAS MALAYSIA LIMITED (REPSOL MALAYSIA).

 

Sebelum bersantap, KDYMM Tuanku dan KDYMM Sultanah Nur Zahirah telah berkenan berangkat mengunjungi gerai-gerai peserta program YDSM dan sempat berbual serta beramah mesra dengan pengusaha-pengusaha terbabit. Baginda Tuanku berdua amat gembira ketika mengunjungi gerai-gerai tersebut dan kelihatan akrab dengan rakyatnya, sesuai dengan slogan Raja dan rakyat berpisah tiada.

 

Sempena Majlis tersebut juga, YDSM telah menghadiahkan duit raya kepada anak-anak  tetamu yang hadir. Semua kanak-kanak kelihatan sangat gembira dan teruja apabila menerima duit raya daripada YDSM. Majlis tersebut sangat meriah dengan pelbagai karenah dan sembang tawa tetamu yang hadir.

 

Majlis ini bermula pada jam 11.00 pagi dan berakhir pada jam 2.00 petang.