YDSM sekali lagi berpeluang untuk menghantar empat orang pelajar Institusi Pengajian Tinggi Terengganu menyertai program JENESYS 2018 setelah menyambut baik tawaran daripada pihak Kedutaan Jepun buat kali yang kedua. Program ini telah diadakan pada pada 29 Januari 2019 hingga 5 Februari 2019 bertempat di Tokyo, Osaka dan Hyogo prefecture in Japan. Program tersebut adalah anjuran Pusat Kerjasama Antarabangsa Jepun/Japan International Cooperation Center (JICE) dan merupakan kumpulan yang ke-3 bagi tahun 2018 juga kumpulan yang ke-20 secara keseluruhannya sejak program tersebut dilaksanakan.

 

Pada kali ini, peserta-peserta yang terlibat adalah daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), University College Bestari (UCB) dan TATI University College (TATIUC). Proses pemilihan dan sesi temuduga calon-calon pelajar dilaksanakan secara profesional oleh pihak universiti masing-masing. Pelajar yang berjaya ialah (1) Nurfarrahani Azia binti Abdul Hamid (UMT); (2) Nur Syafiqah binti Mat Sidik (UniSZA); (3) Nur Izzah Atirah binti Mohamad Shahabudin (UCB) dan (4) Rabiatul Adawiyah binti Mohamad Fikri (TATIUC). Selain YDSM, pihak Kedutaan Jepun turut meminta kerjasama daripada Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan untuk mendapatkan pelajar/peserta daripada negeri-negeri yang lain untuk mengikuti Program JENESYS 2018.

 

Sebagaimana tahun yang lalu YDSM turut memberikan peringatan dan nasihat kepada 4 orang peserta yang akan terbang ke Jepun tentang peranan, tugas dan misi besar mereka dalam sentiasa menjaga nama baik negara, negeri Terengganu, universiti serta YDSM dalam satu majlis suai-kenal bersama para peserta dengan ibu bapa mereka serta pihak universiti yang terlibat. Sebagai langkah memperkasakan kemahiran bahasa serta budaya Jepun, pelajar-pelajar berkenaan telah mengikuti kursus pengenalan bahasa serta budaya Jepun selama sehari yang telah dianjurkan oleh Pusat Antarabangsa UniSZA.

 

 

Aktiviti-aktiviti dan Tempat yang Dilawati

Pihak penganjur telah menetapkan aktiviti-aktiviti dan tempat-tempat yang akan dilawati bagi program ini. Selain daripada aktiviti tinggal bersama keluarga angkat, aktiviti-aktiviti lain yang dibuat adalah melawat ke tempat-tempat yang menarik dan bersejarah di Jepun. Peserta-peserta telah dibawa melawat ke Ota-ku (Ota Ward). Di sana peserta-peserta telah dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan A dan kumpulan B. Kumpulan A berpeluang merasai memakai pakaian tradisional Jepun manakala kumpulan B melawat  Kuribaro (creative town lab) Tamagawa. Selepas itu, Kumpulan A melawat Kuribaro (creative town lab) Tamagawa dan Kumpulan B juga berpeluang merasai memakai pakaian tradisonal Jepun. Setelah itu mereka dibawa melawat ke Hikari Photo Printing Co., Ltd. dan berpeluang melihat proses untuk mencetak majalah, buku, banner dan lain-lain.

 

Selain itu, peserta-peserta telah dibawa melawat ke Takaishi Industry Co., Ltd (Industri Pembuatan Pembungkusan Getah Tepat). Di sana, peserta-peserta berpeluang melihat proses mengeluarkan dan membangunkan bahagian-bahagian getah ketepatan untuk kegunaan industri  seperti kedap getah, O-cincin dan lain-lain. Produk utamanya adalah material getah perindustrian untuk kemudahan utiliti isi rumah.

 

Peserta-peserta juga dibawa melawat ke Osaka Castle iaitu menara istana utama yang telah melalui satu siri kejatuhan dan pembinaan semula akibat kebakaran pada masa kemusnahan Toyotomi. Di samping itu, mereka juga telah dibawa melawat ke Osaka Museum of Housing and Living. Di sana, mereka dapat melihat panduan audio bahasa Inggeris dengan keadaan perumahan di Jepun pada masa lalu dan berpeluang meminjam baju Kimono dengan bayaran yang rendah untuk mengambil gambar atau hanya berjalan-jalan di sekitar Osaka Museum.

 

Impak Program Kepada Pelajar

Apa yang TINTA ingin sampaikan di sini adalah impak program ini kepada para pelajar yang telah menyertainya. Pelajar-pelajar memperolehi impak yang pelbagai berdasarkan pengalaman masing-masing.

 

Nurfarrahani Aziz binti Abdul Hamid, pelajar dari UMT berkata, program ini memberi peluang kepada beliau untuk mengetahui lebih banyak tentang suasana dan persekitaran di Jepun disamping mendedahkan pelajar universiti kepada kepelbagaian budaya yang baru. Beliau turut berkata program ini sangat berkesan untuk para pelajar kerana mereka memerlukan lebih banyak pengetahuan mengenai dunia luar serta belajar cara untuk menyesuaikan diri dengan suasana, orang dan tempat baru. Beliau percaya bahawa selepas program ini para pelajar boleh melaksanakan atau mengamalkan banyak tingkah laku baik dan disiplin yang tinggi masyarakat Jepun seperti sopan santun dan menepati masa.

 

Selain itu, program ini telah mengajar beliau tentang sistem dan tatacara pengajaran kepada pelajar yang berbeza antara Malaysia dan Jepun dan beliau turut berpeluang untuk berkongsi ilmu pengetahuan dan idea bersama pelajar-pelajar Jepun. Beliau telah mempelajari asas bahasa Jepun dan dapat bercakap dengan masyarakat setempat. Beliau berpendapat program ini harus dikekalkan dan dijalankan pada setiap semester agar lebih ramai pelajar dapat merebut peluang untuk melihat budaya dan dunia luar.

 

Bagi Nur Syafiqah binti Mat Sidik (pelajar dari UniSZA), beliau telah mempelajari pelbagai nilai-nilai hidup dan kemahiran daripada masyarakat Jepun yang telah menjadikan beliau seseorang yang lebih baik daripada sebelum ini. Beliau berkata, masyarakat Jepun sangat menghormati orang lain. Contohnya apabila mereka menunggu ketibaan kereta api, mereka akan menunggu di tepi pintu terlebih dahulu bagi membenarkan semua penumpang keluar sebelum mereka masuk bagi mengelakkan perebutan dan perlanggaran antara satu sama lain. Masyarakat Jepun juga mempunyai bilik khas bagi orang yang merokok agar tidak mengganggu orang lain.

 

Beliau turut berkata, masyarakat Jepun mempunyai nilai kekeluargaan yang tinggi. Ia dapat dilihat menerusi keluarga angkat beliau di Jepun yang menunjukkan sikap yang baik terhadap anak-anak mereka seperti sentiasa meluangkan masa bersama dan menghargai apa sahaja yang anak-anak mereka lakukan. Selain itu, masyarakat Jepun penuh dengan penghargaan seperti banyaknya festival yang dibuat untuk meraikan warganegara mereka tanpa mengira gender dan umur, menghargai seni dan syarikat-syarikat besar memberikan cenderahati sebagai menghargai sesuatu perkara.

 

Nur Izzah Atirah binti Mohamad Shahabudin, (pelajar dari UCB) pula berkata bahawa menerusi program ini beliau telah memperolehi ramai kawan daripada universiti-universiti lain disamping dapat mempelajari banyak perkara baru daripada mereka. Selain itu, beliau dapat mengetahui banyak perkara baru mengenai budaya Jepun, antaranya upacara minum teh dan apa yang boleh serta tidak boleh dilakukan. Antara perkara yang tidak boleh dilakukan ialah membuang sampah di merata-rata dan tidak hairanlah jika kita lihat bahawa negara Jepun mempunyai persekitaran yang bersih kerana sikap positif masyarakatnya.

 

Selain itu, kesan daripada program ini beliau menjadi orang yang lebih menepati masa kerana aktiviti-aktiviti yang dilakukan ketika program ini mesti dilakukan tepat pada masa yang telah ditetapkan. Bagi beliau, program ini amat baik untuk anak-anak muda bagi menerokai kehidupan di negara luar. Apa yang dipelajari hasil daripada program ini boleh dipraktikkan di Malaysia kerana golongan muda mempunyai pengaruh yang luas bagi memberi impak kepada rakan-rakan yang lain.

 

Rabiatul Adawiyah binti Mohamad Fikri, (pelajar dari TATIUC) pula berkata beliau merasa sangat terhormat kerana menjadi salah seorang peserta program ini. Antara perkara-perkara baik yang beliau perolehi hasil daripada program ini adalah masyarakat Jepun sangat menepati masa. Beliau berkata, menepati masa sangat penting dalam hidup ini kerana apabila kita sentiasa menepati masa segala sesuatu yang dibuat akan berjalan dengan lancar. Disamping itu, masyarakat Jepun mempunyai sikap mesra, saling menghormati dan rajin. Beliau kini sedang berusaha untuk menerapkan sikap rajin dalam kehidupan sehariannya. Selain itu, kebersihan juga merupakan salah satu nilai murni yang diamalkan oleh masyarakat Jepun. Beliau berharap agar dapat mempraktikkan semua nilai-nilai murni tersebut untuk menjadi orang yang lebih baik daripada sebelum ini disamping berkongsi kepada keluarga, rakan-rakan dan semua orang.

 

Beliau juga berkata pengalaman memakai pakaian tradisional Jepun iaitu Kimono membuatkan beliau merasa kita juga patut berbangga dengan pakaian tradisional kita iaitu Baju Kurung. Disamping itu juga, program ini telah meningkatkan tahap keyakinan beliau untuk menggunakan asas bahasa Jepun apabila mempraktikkannya dengan bercakap bersama pelajar jepun di TATIUC. Beliau merasakan bahawa perjalanan atau pengembaraan boleh menjadi guru yang terbaik untuk mendapatkan pengetahuan yang luas serta mempelajari perkara-perkara yang baik.

 

Kesimpulan

YDSM mengucapkan tahniah kepada para pelajar yang terlibat serta mengharapkan mereka dapat menerapkan secara berterusan apa yang telah dipelajari daripada program ini dalam kehidupan mereka dan juga dalam masyarakat. YDSM juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada keempat-empat universiti di Terengganu yang telah bekerjasama dengan YDSM untuk mendapatkan calon peserta yang sesuai daripada institusi mereka. YDSM juga secara khusus ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Kedutaan Jepun di Malaysia atas kesudian mereka bekerjasama dengan YDSM bagi menjayakan program ini bagi kali yang kedua dan mengharapkan kerjasama ini boleh diteruskan lagi bagi masa hadapan.