Mata merupakan salah satu pancaindera yang amat penting dan tanpa penglihatan yang normal, ia boleh menjejaskan aktiviti seharian seseorang terutamanya yang berkaitan pencarian rezeki. Keadaan ini dialami oleh beberapa buah keluarga yang dikesan mempunyai masalah mata yang agak serius sewaktu berpeluang menjalani pemeriksaan mata semasa Program Hari Penglihatan Sedunia pada tahun 2017 dan Program Khidmat Masyarakat: Kempen Kesedaran Mata di Daerah Besut pada tahun 2018.  Pakar mata yang memeriksa mereka menyatakan mereka perlu menjalani rawatan pembedahan mata segera bagi mengelakan sebarang risiko termasuk buta kekal.

 

Hakikatnya, kekangan kewangan menjadi penyebab utama kepada kegagalan mereka untuk mendapatkan rawatan yang lebih baik. Justeru, YDSM tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban tersebut. Melalui beberapa siri perbincangan bersama pihak Pusat Pakar Mata Bangi/Klinik Mesra Bangi, Selangor, kedua-dua pihak bersetuju untuk bersama-sama membiayai pembedahan dan rawatan mata kira-kira sepuluh (10) pesakit mata yang dijalankan secara berperingkat iaitu pada bulan November 2018 dan Disember 2018. TINTA YDSM difahamkan mereka kini mampu melihat dengan lebih jelas dan melakukan pelbagai aktiviti seperti ibadah dengan lebih baik dan sempurna.

 

Dikesempatan ini,  YDSM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pusat Pakar Mata Bangi/Klinik Mesra Bangi, khususnya Dato’ Dr. Haji Mohamad Johari, kerana terus bersama YDSM dalam membantu golongan kurang berkemampuan.

 

Khidmat nasihat penjagaan mata selepas pembedahan

Seseorang yang menjalani pembedahan mata seharusnya mematuhi aspek penjagaan mata sebaik mungkin. Antaranya:

  1. Elakkan menggosok mata walaupun ianya terasa sangat gatal.
  2. Menggunakan titisan mata antibiotik dan ambil ubat melegakan kesakitan seperti yang disarankan oleh doktor pakar mata.
  • Memakai pelindung mata ketika tidur pada minggu pertama hingga ketiga selepas pembedahan bagi mengelakkan menggaru mata ketika tidur.
  1. Elakkan sabun, syampu dan air memasuki mata ketika mencuci muka dan rambut pada minggu pertama.
  2. Elakkan mendukung kanak-kanak kerana mungkin mereka tidak sengaja akan mencucuk mata dengan jari.
  3. Jika berada di kawasan cahaya terang, pakailah cermin mata hitam.
  • Jangan melakukan aktiviti fizikal berat seperti berlari atau berenang. Berhati-hati melakukan aktiviti ringan seperti berjalan atau menaiki tangga rendah.
  • Jangan membongkok, mengangkat atau membawa objek berat. Ianya akan menyebabkan tekanan ke atas mata.
  1. Jangan menundukkan badan ketika memakai kasut atau mengutip sesuatu di atas lantai. Tegakkan badan atau minta bantuan orang lain.
  2. Elakkan memandu kenderaan untuk sekurang-kurangnya 6 minggu atau lebih selepas pembedahan mata.
  3. Makan seperti biasa, namun perlu lebihkan sayur-sayuran dan makanan berserat bagi mengelakkan sembelit (sembelit menyebabkan tekanan kepada mata semasa membuang air besar).
  • Jika mengalami alahan terhadap makanan seperti udang dan sotong, gantikan dengan sumber protein yang lain seperti ikan.
  • Pastikan tangan bersih dengan mencucinya dengan sabun sebelum menggunakan ubat titisan mata.
  • Patuhi arahan yang ditetapkan oleh doktor pakar mata ketika menggunakan ubat titisan mata bagi mencegah jangkitan kuman. Elakkan menyentuh hujung botol titisan dengan jari. Cara memakai ubat titisan mata seperti yang disarankan oleh doktor pakar mata:

 

Dongakkan kepala ke belakang dan tarik kelopak mata ke bawah. Picit satu titisan (pastikan hujung botol tidak terkena mata). Tutup mata anda selama beberapa saat. Tunggu lima minit sebelum memakai titisan kedua.

 

  1. Patuhi temujanji untuk rawatan susulan dengan doktor pakar mata.
  • Sekiranya terdapat tanda-tanda seperti keluar sesuatu dari mata, mata sakit dan kemerahan, penglihatan kabur atau mata bengkak, segeralah berjumpa doktor pakar mata.