Dalam usaha membangunkan kawasan Tanah Bencah Setiu, Kerajaan Negeri Terengganu telah menjalankan beberapa aktiviti pembangunan sama ada fizikal mahupun pembangunan produk dan sumber manusia di kawasan tersebut dengan menggunakan peruntukan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), PETRONAS dan juga Kerajaan Negeri sendiri.

 

Pembangunan fizikal yang telah dan sedang dijalankan adalah pembinaan Boardwalk Setiu di Kampung Pengkalan Gelap; membina dan menyiapkan “Floating Jetty”; menaiktaraf jeti nelayan di Kampung Gong Batu; membina Pusat Penerangan Ekopelancongan di Kampung Pengkalan Gelap; pembinaan Medan Ikan Bakar di Kampung Mangkuk, Jeti Pendaratan di Kampung Kuala Baharu dan pelbagai lagi pembinaan kemudahan infrastruktur.

 

Pembangunan fizikal yang telah siap adalah “Boardwalk” Setiu di Kampung Pengkalan Gelap. “Boardwalk” tersebut telah disempurnakan pelancarannya oleh KDYMM Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Terengganu pada 12 Februari 2018. Baginda Sultan Terengganu sempat menanam pokok Berus Mata Buaya pada majlis pelancaran tersebut. Dalam majlis itu, Baginda bertitah bahawa Kerajaan Negeri perlu mencari kaedah lebih efektif dan proaktif untuk memberi manfaat semaksimum mungkin kepada komuniti setempat melalui program pembangunan yang telah dirancang kerana Tanah Bencah Setiu menjadi sumber semula jadi untuk memperoleh mata pencarian komuniti setempat. Selain itu, ia menyediakan habitat yang sesuai kepada biodiversiti flora dan fauna yang pelbagai di sana.. “Boardwalk” Setiu telah menerima kunjungan ramai orang dari pelbagai negeri setelah ianya dilancarkan.

 

Selain daripada pembangunan fizikal, program pembangunan produk dan sumber manusia juga turut dirancang dan dilaksanakan. Antara yang telah dilaksanakan adalah aktiviti penanaman semula pokok bakau, kursus bahasa Inggeris kepada komuniti setempat, kursus lesen memandu bot pelancong, penjenamaan produk-produk yang dihasilkan oleh komuniti setempat dan sebagainya.