Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) sejak penubuhannya pada 2005 telah memberikan komitmen yang mendalam kepada matlamatnya untuk menjaga kelestarian alam sekitar dan pembangunan lestari. Bagi tujuan ini, salah satu fokus utamanya ialah program pemuliharaan dan pemeliharaan Tanah Bencah Setiu (TBS) di Terengganu berdasarkan prinsip bahawa sebarang pembangunan di TBS seharusnya bersifat lestari, tidak menjejaskan ekosistem serta mengambil kira kepentingan komuniti setempat. Prinsip yang diperjuangkan YDSM ini selaras dengan Sustainable Development Goals (Matlamat Pembangunan Lestari) Bangsabangsa Bersatu 2030 demi memelihara khazanah alam dan kehidupan masa hadapan umat manusia.

 

Keunikan Tanah Bencah Setiu

Kawasan khusus yang diberi perhatian oleh Yayasan, iaitu Tanah Bencah Setiu, berada lebih kurang 50 km dari Bandar Kuala Terengganu. Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa TBS mempunyai ekosistem pesisir pantai yang unik dengan kepelbagaian ekologi, geomorfologi, biologi dan sosiobudaya, sekaligus menjadikannya sebagai landskap warisan alam negara yang perlu dijaga dengan baik. TBS merupakan satu-satunya kawasan di Malaysia yang memiliki sembilan ekosistem yang berbeza, saling melengkapi antara satu sama lain, dan mempunyai fungsi yang pelbagai dalam menyokong alam sekitar serta budaya penduduk tempatan. Justeru, TBS berpotensi dibangunkan secara lestari bagi tujuan pelancongan berasaskan eko dan budaya untuk menarik pelancong dalam dan luar negara. Langkah ini akan memperkenalkan Terengganu kepada rakyat dalam negeri dan juga antarabangsa, meningkatkan hasil mahsul negeri serta meningkatkan pendapatan dan memperbaiki taraf hidup penduduk setempat.

 

Peranan YDSM

Seperti yang dinyatakan banyak kali sebelum ini, YDSM berperanan sebagai pelengkap kepada usaha Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam sebarang program pembangunan. Berhubung dengan Tanah Bencah Setiu (TBS), semenjak tahun 2014 lagi, Yayasan telah menjemput beberapa pihak yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman untuk memberi taklimat mengenai potensi dan cabaran yang dihadapi TBS serta cadangan langkah-langkah untuk mengawalnya. Pada tahun itu, antara pemegang taruh yang membuat pembentangan kepada KDYMM Tuanku selaku Pengerusi YDSM dan seluruh Ahli Lembaga YDSM ialah pasukan penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), pimpinan Ping Anchorage Travel & Tours Sdn. Bhd. dan pihak TZR Tecnology Sdn. Bhd. KDYMM Tuanku pula dari semasa ke semasa membuat lawatan (kebanyakannya tidak resmi) ke TBS dan melihat sendiri keadaan di sana dari dekat dan mendapat input daripada pemimpin-pemimpin masyarakat di sana.

 

Justeru, pihak YDSM atas titah KDYMM Tuanku telah membawa perkara-perkara yang muncul dalam engagement dengan pemegang taruh itu kepada pihak Kerajaan Negeri. Susulan itu, sebuah jawatankuasa ditubuhkan terdiri daripada pelbagai pihak, dengan dipengerusikan oleh seorang Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) YDSM, Dato’ Profesor Emeritus Dr. Mahadzir Mardan. Jawatankuasa ini bertujuan menggabungkan tenaga bagi membincangkan usaha pemuliharaan dan pemeliharaan TBS.

 

Atas keprihatinan KDYMM Tuanku selaku Pengerusi YDSM serta tindakan positif Kerajaan Negeri Terengganu, beberapa hasil penting telah tercapai. Antaranya, Kerajaan Negeri telah membentuk Majlis Pengurusan Taman Negeri Setiu Wetland dan meluluskan Enakmen Pewartaan Setiu Wetland sebagai Taman Negeri. Enakmen Taman Negeri Terengganu 2017 telah disiar warta pada 1 Mac 2018, manakala Tapak Taman Negeri Setiu Wetland seluas 432.4 hektar bagi Fasa 1 telah diwartakan pada 10 Mei 2018.

 

Berdasarkan maklumat resmi, Tanah Bencah Setiu mempunyai keluasan 1,743 hektar. Bagi tujuan pewartaan sebagai tapak Taman Negeri, pembahagian kawasan dibuat kepada dua fasa. Fasa 1 meliputi kawasan bersebelahan dengan laguna dengan keluasan 432.4 hektar yang telah diwartakan. Manakala Fasa 2 meliputi kawasan selebihnya iaitu Tasik Berombak dan kawasan sekitarnya sedang dalam proses pewartaan.

 

Hal ini adalah perkembangan yang positif dan dialu-alukan. Namun masih banyak lagi perkara perlu dilakukan dari segi kepentingan jangka panjang. Untuk pengisian selanjutnya program pemuliharaan dan pemeliharaan TBS sebagai Taman Negeri dan Khazanah Warisan Negara, Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah YDSM pada 1 Ogos 2018 yang dipengerusikan oleh KDYMM Tuanku telah memutuskan untuk menggubal sebuah Memorandum untuk dikemukakan kepada Kerajaan Negeri Terengganu mengenai pemuliharaan dan pemeliharaan kawasan Tanah Bencah Setiu (TBS).

 

Untuk mendapat input bagi Memorandum ini, Yayasan telah mengadakan beberapa siri mesyuarat yang dipengerusikan oleh KDYMM Tuanku sendiri bagi mendengar pandangan wakil-wakil komuniti setempat serta NGO. Selain itu, Yayasan juga mendapat taklimat khas daripada Kerajaan Negeri yang disampaikan oleh Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu. Pandanganpandangan dari bawah dan taklimat daripada Dato’ SUK memberikan perspektif yang kaya raya berhubung dengan perkara yang perlu dilakukan untuk kelestarian TBS.

 

 

Jawatankuasa Penggubal Memorandum YDSM dan Isi Pokok Memorandum

Susulan keputusan Mesyuarat ALPA pada 1 Ogos, sebuah Jawatankuasa Khas Penggubal Memorandum yang dipengerusikan oleh Dato’ Profesor Emeritus Dr. Abdul Rahman Hj Embong, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM telah ditubuhkan bagi tujuan tersebut. Memorandum yang telah siap digubal itu diserahkan kepada Kerajaan Negeri pada 22 September 2018.

 

Perkara-perkara utama dalam Memarandum setebal 29 halaman yang dikemukakan kepada pihak Kerajaan ialah:

  • Mukadimah yang menerangkan proses penggubalan Memorandum
  • Latar Belakng dan Faktafakta Asas Tanah Bencah Setiu;
  • Pelan Tindakan Menyeluruh untuk menangani cabaran dan ancaman terhadap TBS dan melaksanakan pembangunan lestari. Pelan tindakan itu termasuk

– soal regulasi dan penguatkuasaan;

– program rehabilitasi bagi kawasan yang memerlukan;

– penyelesaian hakisan pantai dan pemendapan pasir;

– pengurusan sisa pepejal;

– penyempurnaan projek yang sedang berlangsung;

-promosi pelancongan;

– pembangunan sosioekonomi penduduk setempat;

– kecekapan dan kualiti pengurusan.

 

  • Cadangan mengangkat Tanah Bencah Setiu sebagai warisan kebangsaan dan antarabangsa melalui pewartaan TBS dalam senarai daftar warisan kebangsaan dan pewartaan UNESCO;
  • Melantik dedicated team yang komited dan mempunyai kepakaran untuk bersama-sama sebagai anggota Majlis Pengurusan TBS dan memberi nasihat dalam melaksanakan Pelan Tindakan Taman Bencah Setiu.
  • Memastikan penyertaan wakil-wakil komuniti setempat dalam perancangan dan pelaksanaan pelan tindakan pemuliharaan dan pembangunan lestari TBS.

 

Cadangan-cadangan yang terkandung dalam Memorandum ini mencerminkan hasrat pelbagai pemegang taruh Tanah Bencah Setiu. Yayasan DiRaja Sultan Mizan selaku penyalur isi hati nurani rakyat serta hasrat KDYMM Tuanku Pengerusi berharap kandungan Memorandum ini akan mendapat pertimbangan sewajarnya oleh pihak Kerajaan demi kelestarian pembangunan serta masa hadapan Tanah Bencah Setiu.