Pada 30 Mei 2018, tiga orang pelajar dari SMK Kuala Besut, Terengganu telah mencipta sejarah apabila mereka muncul sebagai JUARA DUNIA dalam pertandingan antarabangsa bertempat di Gyeongju, Korea Selatan. Pertandingan ini ialah INTERNATIONAL STUDENT COMPETITION anjuran INTERNATIONAL ATOMIC ENERGY AGENCY (IAEA), sebuah agensi penting di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Tugas utama IAEA ialah menjadi badan pengawas PBB untuk mendorong dan memajukan penyelidikan, pembangunan dan penggunaan secara praktis tenaga nuklear bagi tujuan damai di seluruh dunua, dan bukannya untuk tujuan ketenteraan, serta memastikan kepatuhan negara-negara anggota PBB terhadap Perjanjian Tidak Memperluaskan Senjata Nuklear (Nuclear Non-Proliferation Treaty (NPT) serta perjanjian-perjanjian antarabangsa yang lain.

 

Pertandingan ini berlangsung pada 28-31 Mei 2018 bersempena ”The Third International Conference on Human Resource Development for Nuclear Power Programme: Meeting Challenges to Ensure Nuclear Workforce Capability. Bersumberkan tajaan daripada pihak INTERNATIONAL ATOMIC AGENCY (IAEA) dan sumbangan daripada pihak ibu bapa dan guru, pasukan dari SMK Kuala Besut ini telah berlepas ke Korea Selatan pada 27 Mei 2018 jam 12.05 tengah hari waktu Malaysia dan tiba di Seoul pada jam 7.00 petang waktu Seoul. Pada 28 Mei, mereka meneruskan perjalanan ke lokasi pertandingan di Gyeongju, Korea.

 

Pasukan yang dianggotai oleh tiga orang pelajar ini serta dibimbing oleh tiga orang guru sekolah tersebut berjaya menewaskan peserta pusingan akhir dari empat negara lain — Amerika Syarikat, Hungary, Jepun dan Korea Selatan. Lebih istimewa lagi daripada perspektif YDSM ialah pelajarpelajar terbabit, Muhammad Syazwan Mat Sidik (17), Muhammad Anuar Abd Ghani (17), dan Safiyyah Muhammad Nasir (16) merupakan pelajar yang pernah terlibat dalam pertandingan pengukuhan bahasa Inggeris Piala YDSM.

 

Pasukan yang mewakili Malaysia ini ditubuhkan di bawah Projek Unit Inovasi SMK Kuala Besut diketuai oleh Ketua Bidang Sains Matematik sekolah, Encik Faizul Abd Rahman dibantu guru penyelaras projek, Encik Wan Zul Azri Wan Mohd Shatar dan seorang lagi guru, Puan Rohaya Husin.

 

Pelajar-pelajar SMK Kuala Besut yang menggondol kejohanan antarabangsa sebenarnya merupakan peserta Pertandingan Chorasical Sketch Program Pengukuhan Bahasa Inggeris Piala Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) beberapa kali. Perlu dinyatakan di sini SMK Kuala Besut – walaupun sebuah harian biasa — pernah menjadi Johan Pertandingan Chorasical Sketch Peringkat Negeri dua tahun berturut-turut pada tahun 2014 dan 2015 serta Naib Johan pada tahun 2016. Salah seorang daripada tiga orang pelajar itu, iaitu Mohd Anuar Ab. Ghani juga pernah menyandang The Best Conductor bagi pertandingan Chorasical Skecth pada tahun 2016.

 

Lebih memberangsangkan lagi dari segi usaha YDSM ialah pelajar-pelajar ini menyatakan pengalaman menyertai pertandingan bahasa Inggeris Piala YDSM telah memupuk kemahiran interpersonal mereka di samping menyuntik keyakinan diri yang tinggi dalam diri mereka. Kemahiran-kemahiran ini mereka gunakan dengan sebaik mungkin semasa mengambil bahagian dalam pertandingan di Korea sehingga mereka berjaya menjadi juara dunia.

 

Kejayaan mereka mengharumkan nama Malaysia khususnya negeri Terengganu telah mendapat perhatian KDYMM AlWathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin. Berdasarkan kejayaan menggondol Juara Dunia dalam pertandingan antarabangsa itu, KDYMM Sultan Mizan telah berkenan mengurniakan saguhati beserta sijil penghargaan kepada setiap pelajar dan sijil penghargaan kepada setiap guru pembimbing pasukan tersebut. Majlis pengurniaan tersebut diadakan pada 1 Ogos 2018 di Pejabat Yayasan DiRaja Sultan Mizan. Kejayaan yang membanggakan tersebut membuktikan bahawa usaha berterusan daripada YDSM dalam pembangunan modal insan di Terengganu sebagai pelengkap kepada usaha Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat tidak boleh diperlekehkan. Sebaliknya ia merupakan salah satu pemangkin kejayaan pelajar Negeri Terengganu bukan sahaja dalam negeri tetapi juga di persada antarabangsa.