Wan Mustafa Bin Wan Su atau lebih dikenali sebagai “Wan Po” — seorang Tokoh Seni Negeri Terengganu dalam bidang ukiran kayu yang tersohor di seluruh negara — telah kembali ke rahmatullah pada pagi Sabtu 16 Mac 2019 bersamaan 10 Rejab 1440H di kediaman beliau di Alor Lintang, Besut. Beliau yang berusia  80 tahun menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit barah usus yang dihidapinya yang dikesan pada Oktober tahun 2018.  Jenazah Wan Po disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Alor Lintang yang merupakan kampung halaman beliau.

 

Pemergian secara tiba-tiba tokoh ukiran kayu ini amat mengejutkan dan menyedihkan kaum keluarga, kawan-kawan serta pelatih-pelatih  yang sedang mengikuti Kursus Seni Ukiran Kayu bersama beliau.  Kami dari Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) ingin merakamkan ucapan belasungkawa yang mendalam serta turut berdukacita bersama-sama keluarga dan sahabat handai atas pemergian Allahyarham yang merupakan satu kerugian besar kepada Terengganu dan negara. Kami menyampaikan salam takziah kepada keluarga Allahyarham serta mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah Subhanahu Wata’ala dan meletakkannya dalam kalangan orang-orang yang soleh.

 

Wan Mustafa Bin Wan Su dilahirkan di Kg. Pengkalan Kubur, Tumpat, Kelantan pada tanggal 5 Mei 1939 dan telah lama menetap di Kampung Alor Lintang, Besut, Terengganu.  Beliau merupakan anak kepada Wan Su Othman yang juga seorang pengukir tersohor negara dan juga Adiguru Kraf Ukiran Kayu.  Wan Po mula melibatkan diri dalam bidang ukiran kayu sejak tahun 1969 dengan mewarisi bakat serta kemahiran bapanya dan telah didedahkan dengan ilmu ukiran di Bengkel Seni Ukir Wan Su milik bapanya.  Dengan minat dan bakat yang tinggi, Wan Po telah mendapat kepercayaan daripada ayahanda beliau untuk meneruskan usaha dalam bidang ukiran kayu dengan penyerahan bengkel milik bapa itu kepada beliau.

 

Pada hari ni bengkel itu dikenali sebagai Balai Seni Wan Po.  Balai Seni Wan Po merupakan tempat beliau menyiapkan tempahan yang diterima dengan dibantu oleh 30 orang pengukir mahir dan separa mahir.  Selain itu, tempat ini juga memberikan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda dengan bimbingan dan tunjuk ajar Wan Po kepada pengukir muda yang berminat mendalami seni ukiran kayu tradisional.

 

Sepanjang kira-kira 40 tahun berkecimpung dalam bidang seni ukiran kayu, banyak karya Wan Po dapat dilihat pada  bangunan-bangunan istana, pejabat kerajaan, muzium dan masjid.  Antaranya pintu Istana Maziah, hiasan dalaman Istana Abu Bakar di Pahang, Istana Muktafibillah Terengganu, Muzium Terengganu, Istana Melawati Putrajaya, Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Masjid KLIA, Masjid Ulul Albab Jerteh dan banyak lagi.  Karya beliau yang begitu halus dan mementingkan kekemasan serta kualiti tinggi menyuntik unsur keaslian ukiran-ukiran beliau menjadi tarikan kepada sesiapa sahaja yang melihatnya dan menjadi pilihan untuk hiasan dalaman bangunan.

 

Allahyarham Wan Mustafa Bin Wan Su memberikan sumbangan besar sepanjang berada dalam industri seni kraf ukiran kayu. Antaranya beliau menjadi tenaga pegajar kepada pelbagai pihak yang berminat untuk mempelajari seni ukiran kayu seperti guru daripada Maktab Perguruan Batu Rakit, Terengganu; guru-guru daripada Pusat Perkembangan Kokurikulum Jalan Duta Kuala Lumpur; dan belia daripada Jabatan Belia Dan Sukan Malaysia serta Kraftangan Malaysia.  Selain itu, untuk pembangunan industri seni ukiran kayu supaya berterusan, beliau menjadi Pakar Rujuk ukiran tradisonal kepada para mahasiswa institusi pengajian tinggi, Penceramah Seni Ukiran Melayu di Universiti Teknologi Mara dan lain-lain IPT, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Istilah Seni Ukir Dewan Bahasa dan Pustaka dan Ahli Jawatankuasa Jejak Warisan Terengganu.

 

Atas sumbangan besar beliau itu, Wan Po telah dianugerahkan Tokoh Seni Negeri Terengganu pada tahun 2002 serta dilantik sebagai Adiguru Kraf Ukiran Kayu dan Anugerah Karyawan oleh Perbadanan Kraftangan Malaysia pada tahun 2007.

 

Dari segi YDSM, Wan Po telah menyumbangkan jasa baiknya yang tidak ternilai dalam bersama-sama membangun Program Seni Kraf Warisan YDSM sejak program ini  dimulakan pada 2008. Beliau berperanan sebagai salah seorang mentor untuk memberi latihan dan bimbingan kepada belia rakyat Terengganu yang ditaja oleh YDSM untuk mengikuti bidang seni ukiran kayu. Penglibatan beliau sebagai mentor selama belasan tahun ini dalam Program Seni Kraf Warisan YDSM telah berjaya memberikan pengetahuan dan kemahiran yang berharga kepada 24 orang pelatih belia rakyat Terengganu tajaan YDSM untuk meneruskan seni warisan ini.

 

Sekarang Wan Po telah meninggalkan kita buat selama-lamanya namun jasa-jasa beliau tetap kekal abadi.

 

Al-Fatihah!