Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) terus tampil menghulurkan bantuan kepada golongan dan keluarga yang memerlukan melalui bantuan zakat dalam pelbagai bentuk samada melalui sumbangan peralatan perniagaan, baik pulih premis perniagaan yang kedua-duanya di bawah inisiatif niagaruncit mikro, mahupun sumbangan kewangan untuk pendidikan dan kesihatan. Program yang dilaksanakan ini juga adalah menyokong program-program seumpamanya yang telah dan sedang dijalankan oleh pihak kerajaan. Bagi YDSM program ini dilaksanakan berpandukan prinsip “memberi joran berbanding ikan” sebagai pegangan untuk setiap bantuan dan sumbangan yang disalurkan kepada kumpulan sasar (kecuali bagi mereka yang merupakan pesakit berat dan memerlukan bantuan kewangan). YDSM amat mengharapkan agar mereka akan berdikari sehingga menjadi pungusaha atau peniaga yang berjaya.

 

Terbaharu, pada 23 Oktober 2018, YDSM melalui tajaan bersama Repsol Oil & Gas Malaysia Limited (Repsol Malaysia), selaku penaja utama telah melancarkan Program Memperkasakan SosioEkonomi Keluarga Nelayan Terengganu YDSM. Program ini membabitkan inisiatif memaju dan membangunkan perusahaan produk berasaskan sumber laut. Program ini memfokuskan kepada usaha membantu keluarga miskin khususnya isteri nelayan di daerah Marang melalui penghasilan dan jualan perusahaan produk berasaskan sumber laut antaranya bebola ikan, crispy selayang dan nuget. Seramai 10 orang peserta, terdiri daripada isteri dan keluarga nelayan di Merchang dan kawasan yang berhampiran sekitar Marang menyertai program ini.

 

Program ini telah dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agihan Zakat YDSM, Dato’ Haji Mohd Fadzli bin Yusof (beliau juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM) di bengkel program di Kampung Gong Balai, Merchang, dalam Daerah Marang. Turut hadir di majlis tersebut adalah Encik Ahmad Fakhrurrazi bin Arshad (Senior Manager, Stakeholder Relations) Repsol Malaysia, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Pengarah Akademi Perikanan Malaysia Negeri Terengganu, Timbalan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Terengganu, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Gong Balai dan wakil Persatuan Nelayan Kawasan Marang. Para tetamu telah dihidangkan dengan pelbagai produk sumber laut yang disediakan oleh pesertapeserta di bengkel berkenaan.

 

Menurut Dato’ Mohd Fadzli, selaku Pengerusi Jawatankuasa Agihan Zakat YDSM yang diamanahkan mentadbir dan mengendalikan program ini, program ini menepati objektif dan matlamat penubuhan YDSM untuk memperkasakan sosioekonomi rakyat Terengganu. Program ini dirancangkan akan diperluaskan ke daerah lain di samping mempelbagaikan produk jualan seperti inovasi produk hotdog, keropok keping dan lain-lain.