“Pelajar hari ini adalah pemimpin masa depan”. Ungkapan ini cukup masyhur di kalangan pelajar, warga akademik dan orang ramai. Menyedari pentingnya para pelajar dibimbing, Skuad Sukarelawan YDSM (SUDY) yang terdiri daripada mahasiswa/wi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta tampil melaksanakan Program Motivasi Skuad Sukarelawan YDSM (SUDY) bersama Pelajar Negeri Terengganu.

 

Program berkenaan telah diadakan pada 24 September 2018 (Isnin), bertempat di Dewan Perdana, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Nerus. Ia telah menghimpunkan seramai 150 orang pelajar Tingkatan 1 dari dua buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Kemunting, Kuala Nerus.

 

Program ini memfokuskan penglibatan pelajar Tingkatan 1 memandangkan kumpulan pelajar ini masih dalam proses penyesuaian di peringkat sekolah menengah. Objektif program adalah untuk membantu meningkatkan motivasi dalam aspek akademik kepada pelajar dan memberi maklumat serta kesedaran kepada pelajar mengenai adab menuntut ilmu yang dituntut dalam Islam