Ibu tunggal dan beliawanis adalah antara golongan masyarakat yang menghadapi pelbagai cabaran untuk menyara hidup diri dan keluarga. Cabaran yang dialami menjadi lebih getir jika ada anak dan keluarga untuk ditanggung. Dengan hidup kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang secara umumnya amat berat untuk menikamti keselesaan hidup. Sebagai usaha membantu supaya golongan ini boleh berdikari YDSM telah melancarkan Program Usahatani Madu Kelulut. YDSM memilih bidang ini kerana ia mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan serta mudah diusahakan dari rumah. Keadaan ini amat sesuai dengan golongan ibu tunggal dan beliawanis.

 

Berpandukan prinsip “memberi joran bukan memberi ikan”, program ini antara lain membabitkan pemberian log kelulut untuk dijadikan rumah atau sarang kelulut. Sumbangan sarang kelulut oleh YDSM kepada peserta program ini merupakan modal permulaan untuk mereka memulakan kegiatan usahatani kelulut.

 

Untuk pusingan kali ini, seramai 30 wanita yang terdiri daripada ibu tunggal dan beliawanis dari seluruh Negeri Terengganu telah menyertai Kursus Usahawantani Madu Kelulut anjuran YDSM yang diadakan pada 17-20 September 2018 bertempat di Pusat Pertanian Negeri, Sekayu, Hulu Terengganu. Dalam kursus ini, para peserta telah didedah dan diberi panduan tentang cara-cara menternak kelulut dalam sarang; juga mengenai cara pengeluaran produk hiliran daripada madu kelulut itu sendiri.

 

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Dato’ Mohd. Fadzli Yusof dalam ucapan perasmian kursus menjelaskan tujuan program ini adalah untuk meningkatkan taraf hidup golongan berkenaan. Program ini mendapat dokongan dan tajaan ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc. (ExxonMobil Malaysia). Beliau seterusnya memaklumkam sepanjang kursus selama empat hari itu, para peserta dilatih, dibimbing dan ditunjuk-ajar dengan teknik dan asas penternakan madu kelulut serta kemahiran bagi menghasilkan produk hiliran.

 

“Program ini yang dijalankan sejak 10 tahun lalu dengan kerjasama ExxonMobil Malaysia terbukti telah berhasil. Ia telah melahirkan lebih 200 usahawan wanita terutama dalam penanaman cendawan dan penternakan madu kelulut di seluruh Terengganu,” katanya selepas menyampaikan Sijil Kursus Program Madu Kelulut kepada para peserta. Turut hadir ialah Pengurus Besar, Analisa dan Pelaporan Perniagaan Huluan ExxonMobil Malaysia, Puan Nabilah Abdul Mubin.

 

Pada masa yang sama, YDSM dengan kerjasam MDEC turut mengadakan kursus e-Usahawan tahap 1 – GoDigital khusus pada 19 September 2018 bertempat di Pejabat Yayasan DiRaja Sultan Mizan untuk bekas peserta yang telah mempunyai produk. Kursus selama satu hari ini bertujuan membantu para usahawan bagi memasarkan barangan mereka. Cara atas talian ini lebih berkesan, praktikal dan relevan untuk memperkenalkannya kepada pengguna hari ini.

 

YDSM turut mengadakan Majlis Penyampaian Sijil kepada para peserta Kursus e-usahawan yang diadakan bersama dalam Majlis Penyampaian Sijil Tamat Kursus Usahawantani Produk Madu Kelulut YDSM 2018 pada hari terakhir kursus.

 

Sebelumnya, sebagai strategi membantu para peserta mencapai matlamat keusahwanan masing-masing, YDSM telah menganjurkan perjumpaan khas di pejabat YDSM pada 26 Februari 2018. Objektifnya adalah untuk memberi pendedahan khusus mengenai prinsip dan perancangan pemasaran produk madu kelulut. Kursus ini dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Fakhrul Anwar bin Zainol, Pengarah Pusat Pengurusan Penjanaan Pendapatan dan Pengkomersilan (P4P), Universiti Sultan Zainal Abidin. Penyampaian ilmu dan selok belok berkaitan pemasaran porduk kepada peserta ini adalah satu inisiatif memberi bimbingan dalam memastikan para peserta dapat menjana hasil pendapatan dan memperoleh manfaat daripada sumbangan yang diberikan.

 

Selain memastikan hasil produk yang berkualiti peserta juga diingatkan agar sentiasa yakin diri dan bijak menguruskan kewangan serta berhemah dalam berbelanja.

 

Pembaca mungkin bertanya perbezaan antara lebah kelulut dan lebah madu biasa. Memang terdapat perbezaan yang jelas di antara spesies lebah kelulut dan lebah apis atau lebah biasa. Sebagai contoh, lebah kelulut tidak bersengat, tidak seperti lebah apis yang tajam sengatnya. Selain itu, sarang lebah kelulut berbentuk tempayan, manakala lebah biasa berbentuk heksagon. Terdapat pula perbezaan madunya dari segi bau dan rasa. Madu kelulut rasanya manis dan masam di hujungnya serta beraroma mengikut bunga-bungaan manakala madu lebah biasa mempunyai rasa manis dan beraroma mengikut bunga-bungaan di persekitarannya. Menurut para pakar, sekalipun madu kelulut dan madu lebah biasa mempunyai khasiat, madu kelulut mempunyai kelebihan dari segi khasiatnya. Ini kerana saiz fizikal lebah kelulut yang lebih kecil berbanding lebah biasa membolehkan lebah kelulut mendapat kepelbagaian bunga-bungaan dari bunga yang sekecil-kecil kepada bunga yang sebesar-besarnya.

 

Menurut Fazira Azwayu, salah seorang peserta program madu kelulut, log kelulut yang diperolehinya dapat membantu beliau memenuhi impian untuk menjadi pengusaha yang berjaya baik sebagai pengeluar madu kelulut mahupun usahawan produk madu kelulut. Beliau amat bersyukur kerana terpilih sebagai salah seorang peserta. Banyak perkara baharu yang dipelajarinya. Hasrat beliau adalah untuk mengeluarkan produk kosmetik berasaskan madu kelulut yang bebas daripada bahan kimia dengan jenama sendiri. Beliau yang mengeluarkan produk madu kelulut secara kecil-kecilan kini merasa amat bersyukur kerana ianya membantu menambah pendapatan bulanan beliau.