Sebagaimana tahun-tahun yang lalu, Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) telah menganjurkan Majlis Ibadah Kurban yang kini memasuki tahun kelima.

 

Kegiatan Majlis Ibadah Kurban YDSM ini adalah di bawah kelolaan Jawatankuasa Agihan Zakat YDSM (JAZ). Pada tahun ini JAZ telah menetapkan bahawa program tersebut dilaksanakan di Masjid AlMuktafi Billah Shah, Kuala Terengganu pada Hari Raya AidilAdha yang kedua.

 

Menurut Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Dato’ Haji Mohd Fadzli bin Yusof, sebagaimana tahuntahun sebelumnya KDYMM Al Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin selaku Pengerusi YDSM telah berkenan mengurniakan seekor lembu untuk majlis tersebut. Di samping itu, YDSM turut menyumbang dua ekor lembu untuk dikorbankan hasil penyertaan beberapa individu dan ahli keluarga masing-masing termasuk Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM sendiri. Manakala penyertaan dari pihak Jemaah Masjid adalah lima ekor lembu, menjadikan jumlah lembu lapan ekor untuk seluruh ibadah Qurban.

 

Pada tahun ini, kira-kira 100 keluarga asnaf dan miskin sekitar Kuala Terengganu dijemput hadir untuk menerima sendiri daging korban (1 kilogram setiap bungkus). Di samping itu, kira-kira 500 bungkus daging korban (500 gram setiap bungkus) turut diagihkan kepada khariah masjid. Para petugas dan ahli jemaah Masjid serta mereka yang hadir turut dijamu dengan hidangan sup tajaan YDSM pada hari tersebut.