Klinik Khidmat Guaman Masyarakat YDSM telah menganjurkan Hari Klinik Kesedaran Undang-Undang Dan Khidmat Nasihat Guaman di Masjid Bandar Permaisuri pada 6-7 Julai 2018. Program yang bertujuan memberi kesedaran undang-undang kepada masyarakat setempat khususnya kepada penduduk yang mempunyai masalah berkaitan kes-kes yang memerlukan perkhidmatan guaman.

 

Program dengan kerjasama Jawatankuasa Peguam Negeri Terengganu, Jabatan Hal Ehwal Agama Teregganu, Jawatankuasa Masjid Bandar Permaisuri serta jabatan-jabatan di Daerah Setiu turut memfokuskan bantuan kepada golongan yang kurang berkemampuan bagi memberi nasihat dan khidmat dalam aspek perundangan secara percuma. Program yang berlangsung selama dua (2) hari  telah dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti antaranya Forum Perdana bertajuk Resipi Bahagia : Seulas Syukur, Secubit Sabar yang menampilkan penceramah terkemuka antaranya Dr. Wan Mat Sulaiman, Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail dan dikendalikan oleh Ustaz Mohd Fauzi Mustafa sebagai Moderator. Forum di hadiri lebih 900 orang hadirin tersebut telah mengupas hal-hal berkaitan realiti kehidupan bermasyarakat terutama yang membina keharmonian dalam keluarga.

 

Majlis perasmian program telah berlangsung pada 7 Julai 2018 jam 9.30 pagi bertempat di Perkarangan Masjid Bandar Permaisuri dan dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Haji Mohd Fadzli bin Yusof, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM merangkap Pengerusi Klinik Khidmat Nasihat Guaman Masyarakat YDSM. Antara jemputan yang turut hadir pada perasmian tersebut adalah Encik Sallehuddin Harun, Pengerusi Jawatankuasa Peguam Negeri Terengganu, Yang Berhormat Tuan Shaharizukirnain Abd Kadir, Ahli Parlimen Setiu serta Encik Mohd Sofiyuddin Yusof, Pegawai Agama Setiu. Sebanyak lapan (8) buah gerai pameran daripada agensi kerajaan dan swasta serta kaunter derma darah turut beroperasi yang menambahkan lagi kehangatan Program tersebut. Dato’ Fadzli dalam ucapannya berkata, YDSM melalui Jawatankuasa Kesuma sentiasa berusaha membantu masyarakat dalam menyalurkan maklumat serta menyelesaikan masalah berkaitan perundangan dan program seumpama ini akan diteruskan bagi memberi manfaat terus kepada penduduk disetiap daerah.