Majlis Mesra Hari Raya Aidilfitri 1439 Hijrah Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) telah diadakan pada hari Khamis 5 Julai 2018 bersamaan 21 Syawal 1439 Hijrah, bertempat di halaman pejabat YDSM, Pekarangan Istana Badariah, Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu. Majlis tahun ini adalah program Sambutan Hari Raya YDSM yang kelapan sejak ianya dilancarkan.

 

Majlis mesra  hari raya kali ini sungguh bertuah kerana Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, selaku Pengerusi YDSM telah mencemar duli berangkat ke Majlis tersebut. Lebih meriah lagi, pada tahun ini juga, KDYMM Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu turut berangkat bersama-sama empat anakanda iaitu Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Mua’az Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, Yang Amat Mulia Tengku Fatimatuz Zahra’ binti Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin dan juga Yang Amat Mulia Tengku Nadhirah Zaharah binti Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.

 

Lebih 1500 orang tetamu turut hadir untuk meraikan Majlis tersebut. mereka adalah terdiri daripada para pegawai pelbagai Jabatan dan agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, guru-guru serta ahli-ahli akademik khususnya yang terlibat dengan pelbagai program dan projek kemasyarakatan YDSM. Juga turut hadir dalam Majlis ini ialah wakil-wakil NGO serta institusi kewangan. Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran  tetamu-tetamu jemputan serta orang ramai.

 

Para tetamu telah disajikan dengan pelbagai juadah dan hidangan yang disediakan oleh penyaji-penyaji makanan yang dipilih khas oleh YDSM. Mereka terdiri daripada para pengusaha yang telah menerima pelbagai bantuan di bawah projek kemasyarakatan YDSM. mereka termasuk Pengusahaniaga Mikro, Usahatani Cendawan serta penerima-penerima bantuan Zakat Perniagaan YDSM. Juadah dan hidangan yang disaji termasuk makanan tradisi Terengganu seperti keropok lekor, sate ikan, bihun goreng, nasi kerabu, cendawan goreng, kuih muih tradisional serta kek dan pastri moden. Selain itu, YDSM juga turut menyediakan menu makanan yang lain seperti nasi minyak, nasi dagang, sate daging dan ayam, nasi himpit, laksa, laksam, air batu cendol, ketupat, lemang, dan Aiskrim.

 

Kesemuanya lapan buah gerai khusus menyediakan pelbagai juadah dan hidangan ini disediakan untuk pengusaha-pengusaha berkenaan. Selain itu, turut dipamerkan hasil pembuatan pastri daripada pelatih-pelatih Kursus Pembuatan Pastri YDSM. Menariknya, pada tahun ini sebuah gerai telah disediakan khas untuk peserta-peserta Kursus Usahawan Produk Madu Kelulut yang merupakan program kemasyarakatan baru bagi mempamerkan pelbagai jenis madu kelulut serta produk-produk hiliran daripadanya seperti sabun mandian, syampu, minyak angin propolis dan lain-lain.

 

KDYMM Tuanku dan KDYMM sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat mengunjungi gerai-gerai tersebut dan sempat berbual serta beramah mesra dengan pengusaha-pengusaha terbabit. Baginda Tuanku berdua amat gembira sebgaimana kelihatan daripada senyuman yang terpancar sesuai dengan Raja dan rakyat berpisah tiada. Adalah jelas  Majlis Mesra Hari Raya Aidilfitri YDSM ini merupakan jambatan untuk mengeratkan jalinan mesra KDYMM Tuanku selaku Pengerusi YDSM dengan pelbagai lapisan masyarakat.

 

Sempena Majlis tersebut juga, YDSM telah menghadiahkan duit raya kepada anak-anak  tetamu yang hadir. Semua kanak-kanak yang hadir telah menerima duit raya dan mereka kelihatan sangat gembira.

 

Majlis ini bermula pada jam 11.00 pagi dan berakhir pada jam 2.00 petang.