Anak bongsu kepada pasangan Ab.Lah bin Ahmed dan Rosnah binti Bakri, Nor Zafirah telah dilahirkan pada 11 Mac 1989 dan dibesarkan di Kuala Terengganu. Bapa berasal dari Kelantan dan Ibu berasal dari Johor tetapi telah lama menetap dan bermastautin di negeri Terengganu selepas berkahwin kerana bapa bekerja di Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) dan ibu bekerja sebagai jururawat di Klinik Batu Rakit, keduanya kini telah bersara. Mempunyai dua orang abang dan seorang kakak yang masing-masing telah berkeluarga dan menetap di Terengganu.  Kini Zafirah berstatus sebagai isteri dan ibu kepada 2 orang cahaya mata sejak tanggal perkahwinan pada Mac 2015 dan sekarang tinggal di Setia Indah,Johor Bahru, Johor.

 

Pendidikan awal saya bermula sejak berumur 4 tahun di Tadika PASTI Batu Rakit pada tahun 1993, kemudian memasuki pra-sekolah Maktab Perguruan Batu Rakit apabila berumur 6 tahun. Tahun 1996, mula bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kompleks Mengabang Telipot. Prestasi pelajaran sepanjang sekolah rendah adalah membanggakan dengan keputusan UPSR 6A dan telah menjadi ketua pengawas perempuan sekolah. Pada tahun 2002, telah memasuki sekolah berasrama penuh Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Abang atau dulu lebih dikenali sebagai sekolah Bestari SMKARA. Sewaktu di sekolah menengah, saya juga dilantik sebagai pengawas perpustakaan. Pencapaian sewaktu di sekolah menengah kurang memuaskan kerana terlalu fokus pada aktiviti sukan dan sebagainya. Namun itu tidak mematahkan semangat untuk terus berusaha ke menara gading.

 

Melalui Kolej Matrikulasi Pahang, saya telah menamatkan program matrikulasi selama 1 tahun sejak tahun 2007, dan akhirnya dapat memohon untuk memasuki universiti pilihan. Pilihan pertama pada waktu itu adalah bidang geology atas dorongan keluarga dan pilihan kedua adalah remote sensing di Universiti Teknologi Malaysia atas pilihan dan pencarian sendiri. Saya telah memilih bidang Sains remote sensing ini kerana ianya bidang yang tidak banyak terdapat di Malaysia pada waktu itu dan bidang ini juga ada berkaitan dengan geology serta banyak bidang lain secara aplikasi. Oleh kerana tertarik dengan bidang ilmu tersebut, Sains Remote Sensing telah menjadi pilihan dan pada tahun 2008, saya telah diterima masuk ke Universiti Teknologi Malaysia dibawah program Ijazah Sarjana Muda Sain Remote Sensing, Fakulti Geoinformasi dan Harta Tanah.

 

Pada tahun terakhir dalam program Ijazah Sarjana Muda (2012), saya telah dipelawa oleh bekas penyelia Dr. Eko Siswanto, untuk menyambung pengajian ke Sarjana dibawah tajaan geran penyelidikan beliau. Oleh kerana, kajian yang akan dijalankan mempunyai kaitan dengan projek akhir tahun sarjana muda, saya bersetuju untuk menyambung pengajian ke Sarjana di Universiti Teknologi Malaysia dan telah berjaya menamatkan program Sarjana pada tahun 2016.

 

 

Kini, saya melanjutkan pengajian pada peringkat doktor falsafah di Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor. Selain daripada aktiviti akademik, saya juga bergiat aktif dalam aktiviti kesatuan dan lain-lain yang dianjurkan oleh pihak universiti. Sepanjang pengajian bermula dari peringkat sarjana muda,  saya telah mendapat tajaan pendidikan dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan biasiswa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dibawah program MyBrain15 untuk pembiayaan pengajian diperingkat sarjana.

 

Tawaran biasiswa YDSM ini telah dihebahkan melalui email dari fakulti dan pensyarah kepada pelajar-pelajar yang telah tamat sarjana. Oleh kerana salah satu syarat permohonan biasiswa tersebut diutamakan kepada anak terengganu, saya mengambil peluang ini untuk memohon.  Setelah melalui proses temuduga untuk biasiswa YDSM, saya tidak menyangka dan bersyukur terhadap peluang dan rezeki yang diberikan. Terima kasih juga kepada Ahli Lembaga Pemegang AmanahYDSM yang telah memilih dan percaya akan kebolehan saya untuk melakukan penyelidikan dibawah penajaan YDSM.

 

Bagi penyelidikan untuk program doktor falsafah ini, fokus utama adalah kelestarian ekosistem tanah lembap Setiu. Saya telah memilih tajuk kajian “Spatial Decision Analysis on Rehabilitation of Freshwater Endangered Species”. Oleh kerana terdapat aktiviti yang disebabkan oleh manusia membawa kepada pencemaran dan gangguan terhadap fungsi, produk dan servis yang dapat diperolehi oleh ekosistem tanah lembap Setiu, skop kajian ini menekankan penggunaan teknologi data spatial dan remote sensing dalam membuat analisa tentang keadaan habitat dan kesihatan serta kualiti persekitaran Tanah Bencah Setiu yang merangkumi pelbagai ekosistem. Pembangunan Model Kesesuaian Habitat (HSM) dapat membantu proses pemuliharaan dan kemampanan kawasan Tanah Bencah Setiu.

 

Selain itu, kehidupan habitat spesis terancam seperti tuntung laut (painted terrapin) dijadikan panduan dalam membina model HSM, ini kerana habitat tuntung laut merangkumi kualiti air dan faktor lain ekosistem bencah. Penyelidikan dalam membangunkan model kesesuaian habitat untuk mengenalpasti kawasan tanah bencah yang berpotensi untuk dipulihkan adalah penting bagi membantu pihak-pihak bertanggungjawab dalam melaksanakan aktiviti baik-pulih dan langkah perlindungan bagi memastikan kelestarian ekosistem di kawasan habitat spesis tersebut. InsyaAllah, kajian ini dijangkakan dapat diselesaikan pada tahun 2020 jika semua proses dan keputusan kajian berjalan lancar.

 

Saya memilih tajuk kajian ini kerana minat yang mendalam dalam bidang penyelidikan. Setelah mengenali bidang penyelidikan, terutama penyelidikan berkenaan alam sekitar dan ekosistem, saya telah jatuh hati dalam bidang penyelidikan dan berhasrat untuk menjadi seorang penyelidik yang mampu memberi sumbangan dari segi hasil kajian tentang kelestarian alam dan berharap dapat membantu dalam sumber ekonomi servis penduduk tempatan serta memberi kesedaran terhadap rakyat di Malaysia khususnya di negeri Terengganu tentang pentingnya menjaga kelestarian alam.