YDSM dengan kerjasama pihak Muzium Negeri Terengganu telah mengadakan Pameran Nostalgia Terengganu bermula 1 April 2018 sehingga 15 Jun 2018. Pameran tersebut telah diadakan di Foyer Galeri, Kompleks Muzium Negeri Terengganu. Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Dato’ Haji Mohd Fadzli bin Yusof, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM pada 23 April 2018. Ini adalah Pameran pertama seumpamanya yang dianjurkan oleh YDSM bersama pihak Muzium Negeri Terengganu.

 

Pameran ini menampilkan gambar-gambar daripada koleksi Datuk Seri Lim Chong Keat dari Pulau Pinang, seorang tokoh arkitek dan pengkaji alam flora yang terkenal disamping merupakan jurufoto amateur yang hebat. Koleksi gambar-gambar ini pernah dipamerkan di Istana Maziah, Kuala Terengganu pada 28 September 2015 sehingga 3 Oktober 2015 sempena menyambut ulang tahun ke-10 penubuhan YDSM. Koleksi gambar-gambar ini diambil antara tahun 1972 hingga 1982.

 

YDSM sangat berterima kasih kepada pihak Muzium Negeri Terengganu kerana bersetuju mewujudkan sebuah galeri bagi menempatkan koleksi gambar-gambar yang ada. Sebelum ini gambar-gambar tersebut dalam jagaan YDSM dan kini ianya telah diserahkan pemilikannya kepada pihak Muzium Negeri Terengganu untuk disimpan sebagai barangan koleksi serta menggunakannya sebagai bahan pameran lain dan sebagainya.

 

Dalam pameran ini, sebanyak 115 panel gambar dibentangkan dalam bentuk cetakan tunggal yang lebih besar dan set gubahan, sama ada berwarna ataupun dalam bentuk hitam putih. Panel dikumpulkan mengikut subjek seperti Kuala Terengganu pada peringkat awal, Kampong China, Istana Maziah sebelum pemulihan dan suasana pasar. Antara gambar lain termasuklah bot nelayan di tengah laut yang cantik. Sebahagian gambar diambil dari Marang membawa ke utara hingga ke Merang. Terdapat gambar tentang budaya menangkap ikan yang indah dengan suasana sekochi dan kolek linchang.

 

Selain itu, terdapat juga gambar-gambar pembuatan batik dan layang-layang yang menunjukkan sentuhan reka bentuk luar bandar yang sebenar. Gambar lain yang diambil adalah suasana di kawasan Pulau Bidong menuju ke Pulau Redang dan Pulau Pinang yang berhampiran serta tempat snorkeling yang indah di Pulau Limas.

 

Kemungkinan gambar yang paling menimbulkan nostalgia adalah suasana perjumpaan tradisional penduduk tempatan dalam pesta “Main Pantai” yang diadakan di sepanjang pantai yang luas dan dikelilingi oleh banyak pokok-pokok kelapa berbanding apa yang boleh kita lihat hari ini. YDSM amat yakin bahawa semua ini sememangnya akan meninggalkan impak pameran yang gembira dan istimewa, lebih-lebih lagi jika sebahagian kanak-kanak dan orang-orang yang tertera dalam gambar-gambar itu masih boleh dikenalpasti yang kini mungkin berusia 40 tahun lebih. Gambar-gambar ini memperlihatkan cara hidup yang mudah dan semangat kerjasama serta gotong-royong yang kuat dalam budaya kerja ketika itu.