Menjadi amalan tahunan Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) meraikan kedatangan bulan Ramadhan dengan pengisian pelbagai program bersama golongan yang kurang bernasib baik. Antaranya Majlis Pengurniaan Bantuan Kepada Fakir Miskin dan Pelajar Sekolah Sempena Hari Raya Aidil Fitri YDSM, Program Agihan Bubur Lambuk Percuma Ramadhan YDSM dan Majlis Iftar YDSM.

 

 

FAKIR MISKIN DAN PELAJAR DIBANTU

 

Majlis Pengurniaan Bantuan Kepada Fakir Miskin dan Pelajar Sekolah Sempena Hari Raya Aidil Fitri Yayasan DiRaja Sultan Mizan merupakan agenda tahunan dalam taqwim YDSM. Melalui majlis ini, bantuan dapat dihulurkan secara langsung kepada fakir miskin dan pelajar miskin seluruh Negeri Terengganu.

 

Melalui sedikit sumbangan yang dihulurkan, ianya diharapkan dapat meringankan beban para penerima disamping dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna dan seterusnya merayakan Aidilfitri dengan penuh kesyukuran. Majlis ini juga, secara langsung mendokong matlamat YDSM dalam membantu ke arah mempertingkatkan sosio ekonomi rakyat melalui pelbagai program dan aktiviti  amalnya.

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, selaku Pengerusi Yayasan dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu berkenan berangkat ke Majlis ini, dan seterusnya berkenan mengurniakan bantuan kepada para fakir miskin dan para pelajar sekolah berkenaan. Turut berangkat adalah anakanda, Yang Amat Mulia Tengku Nadhirah Zahrah binti Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin dan Yang Amat Mulia Tengku Fatimatuz Zahra’ binti Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.

 

Turut hadir dalam Majlis yang sama adalah Menteri Besar Terengganu, Yang Amat Berhormat Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar dan isteri, Yang Amat Berbahagia Tuan Faizah binti Tuan Ab Rahman serta pembesar-pembesar Negeri dan Ketua-Ketua Jabatan.

 

Majlis pada kali ini telah diadakan di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu pada 12 Ramadhan 1439 Hijrah bersamaan 28 Mei 2018. Pada tahun ini, seramai 200 orang fakir miskin lelaki dan wanita dari semua daerah seluruh Terengganu telah dipilih untuk menerima kurniaan. Setiap penerima menerima kurniaan berbentuk wang tunai RM400.00 dan hamper yang mengandungi barangan asas harian yang bernilai RM150.00. Pemilihan fakir miskin adalah dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyrakat Negeri. Turut menerima kurniaan yang sama adalah 10 orang bekas pemain bola sepak Terengganu. Pada tahun ini untuk julung kalinya juga seramai 20 orang bekas pemain hoki Terengganu turut dipilih untuk menerima kurniaan yang sama.

 

Tidak dilupakan juga seramai 210 murid-murid sekolah yang terdiri daripada keluarga miskin dari tujuh (7) buah sekolah telah dipilih untuk menerima kurniaan. Turut menerima kurniaan bagi kategori pelajar ini adalah 30 orang murid dari Sekolah Pendidikan Khas Kuala Terengganu. YDSM mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri bagi memilih murid-murid sekolah berkenaan. Turut tersenarai adalah Madrasah Hafiz Quran Durian Mas, Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun dan Madrasah Darul Bayan, Pondok Pinang Merah, Paka, Dungun yang masing-masing merangkumi 30 orang penerima bagi setiap madrasah turut dipilih khas bagi menerima kurniaan tersebut. Kesemua murid menerima wang tunai sebanyak RM200.00 setiap seorang. Sebanyak RM186,500.00 diperuntukan bagi majlis pada kali ini. Justeru, dengan adanya Majlis seumpama ini, para penerima serta keluarga masing-masing berasa sedikit lega dalam mengharungi Ramadhan dan Aidil Fitri yang bakal menjelang tiba.

 

YDSM mengucapkan terima kasih kepada semua pihak samada perseorangan mahupun badan korporat yang terlibat secara langsung dalam memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk baik dalam bentuk wang mahupun barangan serta yang menjayakan majlis ini.

 

 

AGIHAN BUBUR LAMBUK PERCUMA

 

Menjelang Ramadhan, Bubur Lambuk YDSM antara juadah berbuka puasa yang menjadi tumpuan dan penantian orang ramai khususnya di masjid-masjid pilihan yang mejadi tempat agihan. Program yang kini telah memasuki tahun kesepuluh penganjurannya ini merupakan antara salah satu kegiatan amal tahunan yang dilaksanakan oleh YDSM yang mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat setempat dan kuantiti agihan juga telah ditingkatkan di setiap masjid yang terlibat.

 

Antara masjid yang terlibat adalah Masjid Abidin (Masjid Negeri), Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang dan Masjid Hiliran bagi daerah Kuala Terengganu, Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah di Daerah Dungun dan Masjid Bukit Payong, bagi Daerah Marang. Manakala Masjid Sultan Ismail (Masjid Raja), Chendering adalah lokasi terbaru yang dipilih untuk program ini. Lebih 46 ribu bekas bubur lambuk diagihkan sepanjang Ramadhan pada tahun ini.

 

 

MAJLIS IFTAR RAMADHAN BERSAMA GOLONGAN KURANG BEKEMAMPUAN

 

Menjelang Ramadhan juga, YDSM turut menganjurkan majlis Iftar bersama golongan kurang berkemampuan dan pada tahun ini kira-kira 260 orang diraikan dimajlis tersebut yang diadakan pada 28 Jun 2018 lalu di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu. Mereka ini adalah terdiri daripada fakir miskin, pelajar dari pelajar Kolej Kejururawatan dan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) berhampiran dan musafir.

 

Yang hadir di majlis tersebut adalah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Yang Berbahagia Dato’ Haji Mohd Fadzli bin Yusof dan isteri, ahli Jawatankuasa Agihan Zakat YDSM, warga kerja YDSM serta pengurusan Masjid Al-Muktafi Billah Shah.