Penglibatan secara aktif murid sekolah dalam kegiatan kokurikulum sama ada dalam aktiviti kelab dan persatuan, sukan atau badan beruniform adalah pelengkap kepada proses penganjaran dan pembelajaran murid.

 

Sejajar dengan anjakan ketiga Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 itu melahirkan rakyat yang menghayati nilai serta menekankan kepada pembangunan murid secara holistik dengan mengukuhkan keperluan penyertaan murid dalam aktiviti sukan dan kokurikulum.

 

Seriringan dengan matlamat tersebut, Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) buat kali ke 9 telah dengan jayanya menganjurkan Program Piala Yayasan DiRaja Sultan Mizan 2018. Program yang melibatkan pertandingan pengukuhan bahasa inggeris dan bahasa arab khusus untuk murid seluruh negeri Terengganu ini telah melabuhkan tirainya pada 13 Mei 2018 yang lalu dimana beberapa sekolah telah diumum sebagai pemenang pertandingan tersebut.

 

Antara yang menarik perhatian adalah beberapa kategori dalam pertandingan bahasa inggeris yang dapat mencungkil bakat interpersonal murid antaranya adalah Young Smart Reader, Young Aspire Reader dan Best Moderator.

 

Young Smart Reader telah dimenangi oleh Wong Enzo, murid tahun 6 daripada SJKC Chun Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu. Minatnya yang suka membaca mendorong beliau untuk menghabis sebanyak 301 buku bahasa inggeris. Anak pertama daripada 3 adik beradik ini yang bercita-cita untuk menjadi jurutera robotic ini juga merupakan salah seorang penulis cilik yang mendapat jolokan penulis tunas super dengan keluaran buku bertajuk the missing sword .

 

Bagi Young Aspire Reader iaitu pertandingan untuk kategori tahap pencapaian murid sederhana dan lemah, johan bagi kategori ini disandang oleh Nurdaniah Asyiqin binti Ahmad Bustomin yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu. Anak sulung daripada 5 orang adik beradik yang bercita-cita menjadi ahli arkeologi ini telah menghabis bacaan sebanyak 100 buah buku bahasa inggeris.

 

Pemenang bagi Best Moderator adalah Nur izzatul adlina binti adenan yang merupakan pelajar tingkatan 3 daripada MRSM Kota Putra, Besut. Adlina telah menyertai pertandingan Chain Story Telling dan telah memenangi kategori yang sama ketika berada di tingkatan 1. Minatnya yang suka membaca buku-buku bahasa inggeris di samping bidang pekerjaan kedua ibubapa sebagai guru dan pegawai bahasa inggeris telah menjadikan beliau seorang yang mahir serta dapat menguasi bahasa inggeris dengan sangat baik.

 

Disebalik tabir kelancaran pertandingan yang dijalankan hampir 10 tahun ini, ianya telah di kendalikan dengan kerjasama berterusan oleh pegawai daripada JPNT dan JHEAT. Sejak pertandingan bahasa inggeris ini diadakan pada tahun 2010, Encik Mazlan Ismail selaku penolong pengarah kokurikulum di JPNT telah bertindak sebagai setiuasaha bagi program pertandingan bahasa inggeris. Sepanjang mengendalikan pertandingan bahasa inggeris, beliau bertanggungjawab menyelaraskan format pertandingan, para jurulatih utama pertandingan, hakim-hakim pertandingan dan menyelaras majlis pengurniaan hadiah piala YDSM.

 

Antara pembaharuan yang telah dilaksanakan dalam pertandingan bahasa inggeris adalah penambahbaikan pertandingan speech choir pada tahun 2014 yang di tambah nilai serta pembaharuan nama pertandingan kepada chorisical sketch dan mewujudkan kategori young aspire reader dan best moderator bagi mengcukil bakat murid.

 

Bagi pertadingan bahasa arab, Ustaz Suhairulmizam Ghazali, Penolong Pesuruhjaya Pembangunan Sumber Manusia JHEAT merupakan tulang belakang selama tujuh tahun bermula pada tahun 2012, beliau merupakan pegawai yang diberi tanggungjawab  membentuk Pertandingan Kalam Jama’ie (Pertandingan Pengucapan Berkumpulan dalam Bahasa Arab) sebagai satu langkah memperkukuhkan Bahasa Arab di kalangan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA), Sekolah Menengah Kebangsaan  (SMKA),  Sekolah  Menengah Imtiaz dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Negeri Terengganu.

 

Seterusnya pada tahun 2014, satu lagi bentuk pertandingan Bahasa Arab menerusi gabungan idea kebudayaan Melayu dan kemahiran berbahasa Arab telah diwujudkan dan dinamakan pertandingan Dikir Arab. Beliau juga turut bertanggungjawab mengendalikan pegawai teknikal, para jurulatih utama dan hakim-hakim pertandingan.