Tanggal 25 sehingga 27 April 2018 yang lalu, YDSM telah mengadakan Hari Keluarga buat kali ke- 2 bertempat di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu. Program tersebut turut melibatkan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, kakitangan YDSM dan ahli jawatankuasa program YDSM bersama keluarga masing-masing yang seterusnya menjadikan suasana sambutannya semakin meriah.

 

Ianya merupakan landasan untuk saling kenal-mengenali dan mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan kakitangan YDSM dan ahli keluarganya. Ianya juga secara tidak langsung melahirkan sikap prihatin, saling hormat-menghormati, bertolak ansur, amanah serta telus di dalam menjalankan tugas seharian disamping dapat merehatkan minda. Di samping itu, ia bertujuan untuk memberikan ruang kepada anggota YDSM untuk melakukan aktiviti bersama keluarga mereka dalam pengisian masa yang terluang.

 

Program selama 3 hari 2 malam yang menggunakan rumah bot (house boat) sebagai penginapan dan pelaksanaan sebahagian besar aktiviti yang menarik. Pada hari pertama, para peserta dibawa mengunjungi Taman Negara bagi melawat Gua Bewah. Disini, para peserta didedahkan dengan beberapa fakta yang menarik seperti sejarah penempatan awal manusia pada zaman pra sejarah. Ianya dibuktikan dengan penemuan rangka manusia yang hidup pada zaman Hoabinhian kira-kira 16ribu tahun lampau dan sejarah Gua Bewah itu sendiri. Pada sebelah malamnya, aktiviti lebih tertumpu kepada aktiviti bebas seperti sesi ramah mesra, memancing dan menghayati keindahan alam.

 

Pada hari kedua, aktiviti diteruskan dengan memancing di Sungai Lebam. Pada masa ini juga, telah diadakan pertandingan sukaneka. Antaranya ialah pertandingan karom, dart, lawan getah, meniup belon, batu selambut dan congkak.  Pada sebelah malamnya, adalah solat maghrib berjemaah, bacaan Yassin, kuliah maghrib dan solat isya’ berjemaah. Ianya telah dipimpin oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Moktar bin Salleh, Penolong Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu (Bahagian Pengurusan Masjid). Pada sebelah malamnya juga telah diadakan Makan Malam dan Berbeku (BBQ).

 

Pada hari terakhir, ianya dimulai dengan solat subuh berjemaah dan kuliah subuh dengan tajuk “Kebesaran Allah” yang dihuraikan melalui terjemahan Ayat Qursi. Para peserta diajak untuk menghayati ciptaan alam semulajadi dan keindahannya dalam melihat kebesaran PenciptanNya. Ianya juga dijadikan terapi dalam muhasabah diri masing-masing.

 

Bagi menutup tirai program upacara penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan sukaneka yang telah dilangsungkan. Sebelum pulang ke rumah masing-masing, para peserta diraikan dalam jamuan makan tengahari di Kenyir Elephant Conservation Village (KECV).

 

Semoga sambutan hari keluarga ini diharap dapat merapatkan lagi ikatan ukhwah antara warga YDSM dan keluarga masing-masing.