Salah satu usaha bagi menghidup dan menyuburkan kembali seni kraf warisan Terengganu ialah dengan melahirkan generasi pelapis yang dapat menyambung dan meneruskan legasi seni kraf warisan ini. Sekaligus dapat mengatasinya dari pupus dan luput ditelan zaman. Generasi pelapis ini suatu hari akan lahir sebagai tukang mahir atau adiguru yang kini kebanyakan mereka telah lanjut usia. Sejajar dengan ini, YDSM telah melancar dan melaksanakan program pemuliharaan dan pengembangan seni kraf warisan Terengganu. Di bawah usaha ini, belia-belia dan anak muda Terengganu yang dipilih akan mengikuti latihan amali yang disusun khas. Kesediaan YDSM untuk terus mengekalkan pelaksanaan Program Seni Kraf Warisan ini yang kini telah memasuki siri yang ke-7 sejak ianya dilaksanakan bermula tahun 2008. Seramai 40 orang pelatih baru telah terpilih bagi menyertai Program siri ke-7 sesi 2018/2019 selama 18 bulan bermula Mei 2018 sehingga Oktober 2019.

 

Bagi siri kali ini, seramai 11 orang mentor/adiguru atau tukang mahir telah dilantik bagi menjadi tenaga pengajar kepada pelatih-pelatih. Mereka adalah Norhaiza bin Noordin (Seni Ukiran Kayu), Wan Mustafa bin Wan Su (Seni Ukiran Kayu), Haji Burhan bin Ashari (Seni Perabut Ukiran Kayu), Abdul Rahman bin Abas (Seni Pembuatan Senjata Tradisional), Wan Mahadi bin Wan Ismail (Seni Tempa Tembaga), Abdul Manaf bin Mohd (Seni Pertukangan Barangan Perak dan Emas), Abdul Halim bin Harun (Seni Pertukangan Barangan Perak dan Emas), Zulkfili bin Yusof (Seni Pembuatan Sarung dan Hulu Keris), Wan Nordin bin Wan Abdullah (Seni Pembuatan Replika Perahu Tradisional Terengganu), Oslan Suriadi bin Muda (Seni Pembuatan Batik Blok, Batik Terap dan Batik Canting) dan Haji Halias bin Abu Bakar (Seni Kaligrafi Khat).

 

YDSM telah mengadakan Kursus Induksi bagi pelatih-pelatih yang baru ini. Kursus Induksi  merupakan salah satu inisiatif bagi membantu pelatih-pelatih YDSM yang terlibat dengan industri seni kraf warisan meningkatkan motivasi diri sebelum mengikuti program ini. Seramai 35 orang pelatih telah berjaya menamatkan Kursus Induksi yang telah diadakan selama 3 hari 2 malam iaitu pada 22 April 2018 hingga 24 April 2018 bertempat di Peladang Setiu Agro Resort, Setiu, Terengganu. Kursus ini telah dirasmikan oleh Dato’ Haji Mohd Fadzli bin Yusof, Ahli Lembaga Pemegang Amanah, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program Seni Kraf Warisan YDSM.

 

Bagi melaksanakan Kursus Induksi ini, YDSM telah melantik Pusat Pengurusan Penjanaan Pendapatan dan Pengkomersialan, P4P Universiti Sultan Zainal Abidin, UniSZA selaku fasilitator. Pengarah P4P, Prof. Madya Dr. Fakhrul Anwar Zainol berkata “modul bagi kursus ini dirangka bagi membuka minda pelatih-pelatih tentang dunia keusahawanan dan peluang-peluang yang ada untuk membina kejayaan di masa akan datang”. “Kursus ini juga bertujuan untuk membina jatidiri pelatih-pelatih agar menjadi lebih bertanggungjawab tentang kehidupan dan kerjaya mereka berdasarkan pilihan dan matlamat yang ditentukan oleh mereka”. Tambah beliau.

 

“Selain itu, dalam proses untuk mencapai matlamat yang disasarkan, pelatih-pelatih akan belajar untuk meningkatkan motivasi diri, kemahiran komunikasi, kerja berkumpulan dan menghargai setiap apa yang ada di sekeliling untuk menjadi insan yang terbaik. Kursus ini penuh interaktif, pendekatan (Neuro Linguistic Programming) NLP yang tinggi bagi membina keyakinan diri, penuh dengan pengisian (content based) dan aktiviti praktikal” tambah beliau lagi.

 

YDSM berpuas hati dengan Kursus Induksi yang telah diadakan ini kerana telah berjaya memberi impak yang positif kepada semua pelatih. Mereka memberikan maklumbalas bahawa kursus ini telah dapat membina keyakinan diri mereka, meningkatkan daya saing individu, membentuk kerjasama berpasukan, menjadi orang yang berani mengambil risiko bagi mencapai kejayaan dan mempunyai kesedaran perlunya menjadi usahawan yang kaya di dunia dan juga akhirat. Semoga semua pelatih dapat memulakan sesi latihan dengan penuh semangat hingga tamat latihan.