Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) telah menganjurkan Program Gotong Royong Perdana Siri 2.0 Skuad Sukarelawan Yayasan DiRaja Sultan Mizan yang diadakan secara serentak melibatkan tujuh buah masjid dan tanah perkuburan dalam daerah Kuala Terengganu. Program yang diadakan pada 7 April 2018 itu melibatkan beberapa lokasi antaranya Masjid Hiliran, Masjid Tok Ku Tuan Besar, Masjid Tok Ku Paloh, Masjid Kampung Pulau Rusa, Masjid Baru Sungai Rengas, Masjid Kampung Atas Tol dan Masjid Kampung Gelugor Raja.

 

Objektif Program pembersihan dan menceriakan masjid serta tanah perkuburan ini adalah sebagai usaha menggalakkan masyarakat dan umat Islam berbuat demikian selaras dengan ajaran Agama Islam.

 

Hadir sama menjayakan program murni ini ialah Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Tuan Haji Azmi bin Razik dan Tuan Haji Azri Sani bin Dato’ Mazlan selaku Pengerusi Jawatakuasa Sukarelawan YDSM. Turut hadir ialah AJK Sukarelawan YDSM, warga kerja YDSM, pegawai dan kakitangan daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan, komanden skuad Sukarelawan YDSM  dan ahli Skuad Sukarelawan adalah terdiri daripada mahasiswa dan mahasisiwi dari UMT, UniSZA, UCB, UiTM & TATIUC serta penduduk setempat.

 

Program ini merupakan siri yang kedua yang diadakan selepas siri pertama pada tahun 2016 yang melibatkan pembersihan masjid dan tanah perkuburan di beberapa buah masjid di daerah Kuala Nerus dan ianya akan diperluaskan ke Daerah lain pula selepas ini.

 

Program terbabit turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Daerah Kuala Terengganu, Pejabat Pesuruhjaya Negeri Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Jabatan Bomba & Penyelamat Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri dan Syarikat Air Terengganu (SATU).