Tanggal 31 Mac lalu, Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM), Pusat Pakar Mata Bangi, Selangor dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat – Kempen Kesedaran Mata bertempat di IPG Kampus Sultan Mizan, Besut.

 

Program berkenaan dirasmikan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Yang Berbahagia Dato’ Haji Mohd Fadzli bin Yusof. Turut hadir di program tersebut ialah Yang Berbahagia Dato’ Dr. Haji M. Johari bin Haji Mohamad, Pengurus Pusat Pakar Mata Bangi, Dr. Saifur Rahman bin Muhammad, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) dan Yang Berbahagia Dr. Mohd Aziz bin Mohd Din, Pengarah IPG Kampus Sultan Mizan.

 

Program sehari tersebut menawarkan khidmat pemeriksaan asas kesihatan percuma, pemeriksaan dan rawatan mata percuma. Turut ditawarkan adalah khidmat nasihat guaman percuma di bawah Program Khidmat Guaman Masyarakat Percuma (KESUMA) YDSM dan pembukaan beberapa kaunter khidmat pelanggan beberapa buah bank kepada penduduk setempat.

 

 

Lebih 500 penduduk pelbagai latar belakang dan peringkat umur – lelaki dan wanita – telah hadir dalam program tersebut. Ini merupakan siri kedua program kesihatan mata. Program sulung telah dilancarakan pada Oktober 2017 di Kuala Terengganu. Program di Kuala Terengganu telah mendapat sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat sekitar Kuala Terengganu di mana kira-kira 1500 orang telah menjalani pemerikasaan kesihatan mata masing-masing.

Program yang sama di IPG Kampus Sultan Mizan, Besut ini juga menerima sambutan dan maklumbalas positif daripada penduduk setempat. Seperti program pertama di Kuala Terengganu, melalui program tersebut beberapa orang pesakit telah dikenalpasti untuk menerima rawatan lanjutan.

 

Untuk memeriahkan lagi program ini, satu Forum Perdana telah diadakan sehari sebelumnya. Tajuk forum berkenaan ialah “Kesihatan – Sebagai Satu Ibadah” dengan panelnya terdiri daripada Dato’ Dr. Haji Zulkifly bin Muda, Mufti Negeri Terengganu dan Dato’ Dr. Haji M. Johari bin Mohamad, Pengurus Pusat Pakar Mata Bangi. Ustaz Mohammad Kamil bin Jaafar, Pensyarah Jabatan Pendidikan Islam & Moral Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan, Besut telah menjadi moderator forum itu. Forum ini telah dihadhiri lebih 300 orang.

 

Memandangkan sambutan masyarakat begitu positif, YDSM dan rakan-rakan penganjur bersama akan menimbang melakasnakan program ini pada masa akan datang. Program ini memang dapat membantu masyarakat khususnya golongan miskin yang mempunyai masalah berkaitan mata.

 

YDSM Sumbang Peralatan Oftalmologi Kepada 6 Buah Hospital Di Terengganu

Sempena Program Kesihatan Mata yang diadakan di Besut, Terengganu, satu majlis sumbangan beberapa peralatan oftalmologi oleh YDSM kepada 6 buah hospital di Terengganu turut diadakan. Sumbangan yang bernilai RM116,282.00 tersebut merupakan langkah menambah kemudahan pemeriksaan dan rawatan mata kepada pesakit mata di negeri ini seiring dengan peningkatan kesedaran mata dikalangan masyarakat dalam aspek penjagaan kesihatan khususnya berkaitan mata.

 

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Dato’ Haji Mohd Fadzli bin Yusof menyampaikan sumbangan tersebut kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) yang diwakili oleh Dr. Saifur Rahman bin Muhammad, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) dan Ketua Jabatan Oftalmologi Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu, Dr. Zuraidah binti Mustari

 

Sembilan Belas Pesakit Jalani Pembedahan Mata Secara Percuma

Lanjutan daripada Program Khidmat Masyarakat – Kempen Kesedaran Mata anjuran Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) dan Pusat Pakar Mata Bangi, Selangor dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan yang telah diadakan pada 31 Mac 2018, seramai 19 orang penduduk miskin sekitar daerah Besut, Terengganu yang menghadapi masalah mata, khususnya penyakit katarak menjalani pembedahan secara percuma di Hospital Besut pada 5 April 2018.

 

Pembedahan tersebut turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Pusat Pakar Mata Bangi, Selangor dan Klinik Katarak 1Malaysia (KK1M) Pantai Timur.

 

Para pesakit sangat gembiran dengan peluang mendapat pembedahan itu dan memperoleh semula penglihatan yang baik. Lebih manis, pembedahan tersebut adalah percuma berbanding perbelanjaan sekitar RM3,000.00 hingga RM6,000.00 seorang diperlukan jika pembedahan tersebut dilakukan di klinik swasta dan ianya bergantung kepada tahap kerosakan mata seseorang pesakit tersebut