Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) terus tampil membantu golongan kurang berkemampuan di Negeri ini. Awal tahun ini, YDSM bersama pihak RHB Bank Berhad dengan kerjasama Pejabat Pendidikan daerah Kuala Terengganu dan Pejabat Pendidikan (PPD) daerah Kuala Nerus telah mengadakan Sumbangan Bantuan Persekolahan Kepada Pelajar-Pelajar Miskin Daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus Sesi 2018.

 

Program yang diadakan pada 22 Januari 2018 bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri, Kuala Nerus itu adalah bertujuan membantu meringankan beban persediaan keperluan dan kelengkapan persekolahan anak-anak golongan berkenaan disamping menanamkan semangat kerajinan serta motivasi dalam diri murid-murid untuk belajar bersungguh-sungguh bermula di awal usia.

 

Program berkenaan dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Haji Mohd Fadzli bin Yusof, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan DiRaja Sultan Mizan. Turut hadir adalah Tuan Syed Hussain bin Tuan Embong, Ketua Unit Perbankan Komersial Kumpulan RHB Wilayah Pantai Timur.

 

Dalam Program berkenaan, seramai 200 pelajar miskin dari kedua-dua daerah tersebut menerima sumbangan bantuan berupa beg sekolah dari pihak RHB Bank. Manakala pihak YDSM berbesar hati menyumbang set alat tulis, goodis dan wang tunai RM50.00 untuk setiap penerima.