Ibu tunggal dan beliawanis adalah antara golongan masyarakat yang mengahadapi pelbagai cabaran untuk menyara hidup. Cabaran yang dialami menjadi lebih getir jika ada anak dan keluarga untuk ditanggung. Dengan hidup kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang secara umumnya amat berat untuk menikamti keselesaan hidup.  Sebagai usaha membantu golongan ini boleh berdikari YDSM telah melancarkan program usahatani madu kelulut. YDSM memilih bidang ini kerana ia mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan serta mudah diusahakan dari rumah yang amat sesuai dengan golongan ibu tunggal dan beliawanis.

 

Berteraskan  prinsip “memberi joran bukan memberi ikan” program ini antara lain membabitkan pemberian dan pengagihan log kelulut untuk dijadikan rumah atau sarang kelulut, sumbangan YDSM kepada peserta. Log ini boleh dikira sebagai modal permulaan untuk peserta memulakan kegiatan usahatani kelulut.ExxonMobil menjadi penaja program ini dengan sumbangan kira-kira RM80,000.Sebelum ini, seramai 26 orang peserta yang terdiri daripada ibu tunggal dan beliawanis telah menghadiri kursus khas perusahaan madu kelulut di Institut Pertanian Sekayu, Hulu Terengganu pada 17-20 September 2017. Dalam kursus ini, para peserta telah didedah dan diberi panduan bukan sahaja cara-cara menternak madu kelulut dalam sarang, tetapi meliputi juga pengeluaran produk hiliran daripada madu kelulut itu sendiri sarangnya.

 

Menurut Fazira Azwayu, salah seorang peserta, ‘log kelulut yang diperolehinya akan membantu beliau merialisasikan impian untuk menjadi pengusaha yang berjaya baik sebagai pengeluar madu mahupun usahawan produk madu kelulut. Beliau yang mengeluarkan produk madu kelulut secara kecil-kecilan kini merasa amat bersyukur kerana ianya membantu dalam menambah pendapatan bulanan. Beliau amat bersyukur kerana terpilih sebagai salah seorang peserta. Banyak perkara baharu yang dipelajarinya. Hasrat beliau adalah untuk mengeluarkan produk kosmetik berasaskan madu kelulut yang bebas daripada bahan kimia dengan jenama sendiri.

 

Sebagai strategi susulan bagi membantu para peserta mencapai matlamat keusahwanan masing-masing, YDSM telah menganjurkan perjumpaan khas di pejabat YDSM pada 26 Februari 2018 yang lalu. Objektifnya adalah untuk memberi pendedahan khusus mengenai prinsip dan perancangan pemasaran produk madu kelulut. Ia telah dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Fakhrul Anwar bin Zainol, Pengarah Pusat Pengurusan Penjanaan Pendapatan dan Pengkomersilan (P4P), Universiti Sultan Zainal Abidin. Sesungguhnya ilmu dan selok belok berkaitan pemasaran porduk kepada peserta ini adalah satu inisiatif memberi bimbingan dalam memastikan para peserta dapat menjana hasil pendapatan dan memperoleh manfaat daripada sumbangan yang diberikan. Selain memastikan hasil produk yang berkualaiti peserta juga diingatkan agar sentiasa yakin diri dan bijak menguruskan kewangan serta berhemah dalam berbelanja.

 

Lebah kelulut dan lebah biasa adalah tergolong dalam kategori Apidae iaitu kategori lebah yang menghasilkan madu, namun terdapat perbezaan yang jelas di antara spesies lebah kelulut dan lebah apis atau lebah biasa. Sebagai contoh, lebah kelulut tidak bersengat dan sebaliknya bagi lebah apis. Selain itu, sarang lebah kelulut berbentuk tempayan, manakala lebah apis berbentuk heksagon. Tredapat pula perbezaan madunya pula dari segi bau dan rasa. Madu kelulut rasanya manis dan masam dihujungnya serta beraroma mengikut bunga-bungaan manakala madu lebah biasa mempunyai rasa manis dan beraroma mengikut bunga-bungaan dipersekitarannya. Sekalipun madu kelulut dan madu lebah biasa mempunyai khasiat, namun madu kelulut mempunyai kelebihan dari segi khasiatnya kerana saiz fizikal lebah kelulut itu sendiri yang lebih kecil berbanding lebah biasa telah membolehkan lebah kelulut mendapat kepelbagaian bunga-bungaan dari bunga yang sekecil-kecil kepada bunga yang sebesar-besarnya

 

YDSM merakamkan ucapan sayabas dan tahniah kepada semua peserta yang telah menerima sumbangan log sarang kelulut. Semoga usaha yang dilaksanakan ini dapat menjadi jambatan kepada mereka untuk menjadi usahawan produk madu kelulut yang berjaya.