Yayasan DiRaja Sultan Mizan melalui salah satu programnya “Your Language My Culture’ (YLMC) komited dalam usaha menerapkan nilai kebudayaan dikalangan murid disamping mempelajari bahasa asing.

Program yang mendapat kerjasama daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)  dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) merupakan program bacaan tambahan dalam bahasa Inggeris yang ditulis khas untuk kegunaan di semua sekolah menengah di Terengganu.

Ianya tercetus apabila wakil daripada pihak Universiti Kebangsaan Malaysia yang diketuai oleh Allahyarhamah Prof. Dato’ Dr. Zawiah Yahya telah mempersembahkan idea program ini kepada KDYMM Sultan Terengganu dan Lembaga Pemegang Amanah YDSM pada tanggal 14 September 2014.

Lanjutan daripada itu, satu memorandum persefahaman (MOA) antara UKM dan YDSM telah dimeterai dan di susuli dengan Majlis Pelancaran oleh KDYMM Sultan Terengganu pada 12 Januari 2016 di Dewan Besar Baiduri, TH Hotel & Convention Center, Kuala Nerus, Terengganu.

Perlaksanaan program ini turut melibatkan tiga unit khusus yang dikenali sebagi Unit Bahan Penulisan yang bertanggungjawab dalam menyiapkan penerbitan Buku Panduan Guru dan Buku Teks Pelajar, Unit Penyelidikan untuk Penilaian yang bertindak dalam menjalankan kajian di 53 sekolah terpilih melibatkan kawasan bandar, luar bandar, pantai, estet & sekolah elit dan Unit Latihan untuk Jurulatih/Jurulatih Utama yang bertanggungjawab memberikan latihan kepada Jurulatih dan Jurulatih Utama supaya mereka berupaya menggunakan kaedah pengajaran yang diperlukan. Latihan ini akan membolehkan mereka berkongsi ilmu dan kaedah dengan guru bahasa Inggeris yang lain.

Hasil penyelidikan selama 3 tahun telah memperlihatkan kejayaan program YLMC dalam mendapat sokongan yang amat memberangsangkan oleh guru dan pelajar yang mana daripada penyelidikan yang telah dijalankan, hampir keseluruhan mereka berpendapat bahawa program YLMC berjaya menepati setiap objektifnya untuk meningkatkan keberkesanan bahasa Inggeris dan mengembalikan kesedaran budaya tempatan dalam kalangan pelajar.

Sehingga tahun 2018, sebuah Buku Panduan Guru Tingkatan 1 dan 3 buah Buku Teks Pelajar Tingkatan 1, 2 dan 3 telah berjaya diterbitkan. Setiap buku tersebut masing-masing mempunyai 12 bab dan menjadikan keseluruhan bab yang telah dibentuk sebanyak 36 bab. Di samping itu, sebuah buku berkenaan Pelaksanaan terhadap Latihan kepada Jurulatih dan Jurulatih Utama (Training Compendium) dan sebuah buku Butiran Penyelidikan terhadap Keberkesanan (Research Matters: Assessing Effectiveness) telah berjaya diterbitkan. Sebanyak dua artikel turut diterbitkan di dalam jurnal berindeks Scopus iaitu Kajian Malaysia dan Arab English World Journal dan satu nota penyelidikan di dalam buku Southeast Asian Social Science Review Vol 2.

Antara lain YLMC telah berjaya mendapat kelulusan Hak Cipta reka bentuk logo YLMC dan Hak Cipta terhadap buku Soal Selidik Pelajar dan Guru serta pembentangan oleh para penyelidik UKM di empat persidangan peringkat kebangsaan dan antarabangsa sepanjang 3 tahun iaitu di persidangan antarabangsa SoLLs.INTEC.2015 di UKM, persidangan The 10th International Malaysian Studies Conference (MSC10) di UMS Sabah, persidangan antarabangsa UNESCO dan persidangan 5th International Seminar On Latin American And Asian Studies (LASA 5) di UKM.

Selain itu, YLMC turut mengadakan bengkel Training of Master Trainer dan Training of trainer yang diadakan setiap tahun bertujuan memberikan input serta latihan berterusan kepada guru yang akan mengendalikan modul-modul YLMC. Terbaharu YLCM telah mengadakan bengkel dan majlis penutup bengkel  pada bulan februari yang lepas bertempat di Hotel Regency Waterfront, Kuala Terengganu. Majlis tersebut di hadiri oleh Tuan Haji Matsor Ismail, Timbalan Pengarah JPNT  merangkap perasmi majlis, Dato’ Prof. Emeritus Dr. Abdul Rahman bin Haji Embong, Ahli lembaga Pemegang Amanah YDSM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program, Pegawai Pendidikan Daerah, Para Pengetua Sekolah dan semua guru bahasa inggeris daripada sekolah yang terlibat itu diadakan bagi meraikan para guru yang terlibat dengan YLMC. Dalam majlis tersebut juga, Tuan Haji Matsor turut menyampaikan sijil kepada para peserta bengkel.