Buat julung kalinya empat orang pelajar institut pengajian tinggi Terengganu telah dipilih oleh YDSM bagi menyertai Program JENESYS yang telah diadakan pada 29 Januari 2018 hingga 6 Februari 2018 bertempat di Aomori prefecture (Tohoku Area), Japan. Program JENESYS (Japan-East Asia Network of Exchange for Students and Youths) adalah program Pertukaran Pelajar dan Belia Jepun-Asia Timur anjuran Pusat Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICE). Ia merupakan siri/kumpulan yang ke-3 bagi tahun 2017 yang hanya melibatkan peserta dari Malaysia sahaja. Pihak Japan International Cooperation Center, JICE selaku penganjur Program JENESYS memaklumkan nama JENESYS 2017 masih digunakan sekalipun ia dilaksanakan pada tahun 2018. Ini adalah disebabkan tahun baru Jepun bermula pada bulan April setiap tahun. Sejumlah 22 orang peserta dari kalangan pelajar/belia telah menyertai Program JENESYS kali ini.

 

Tujuan Program

Tujuan program ini adalah untuk memupuk dan mengembangkan rasa persefahaman dalam kalangan masyarakat serta penduduk Jepun dengan rantau Asia Pasifik serta membina asas persahabatan dan kerjasama untuk masa hadapan. Di samping itu ia diharap dapat menggalakkan pemahaman mengenai kepentingan teknologi, sosial, ekonomi, budaya ASEAN dan Jepun serta membincangkan unsur-unsur keamanan dan kemakmuran dari sudut pandangan sejarah dan pengajaran yang dapat dipelajari daripadanya. Secara tidak langsung ia diharapkan dapat mengeratkan lagi hubungan diplomatik antara Malaysia-Jepun khususnya.

 

Bermulanya penglibatan YDSM dalam program ini adalah apabila pihak Kedutaan Jepun meminta kerjasama YDSM mendapatkan empat orang pelajar dari Terengganu untuk menyertai Program JENESYS kumpulan ke-3 2017 ini. Ini berikutan dengan pertemuan Dato’ Haji Mohd Fadzli Yusof, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM pada akhir 2017 dengan TYT Duta Besar Jepun, Kiyoshi Itoi mengenai Program JENESYS ini dan hasratnya untuk mendapat penyertaan pelajar-pelajar dari empat buat universiti Terengganu. Sehubungan dengan itu YDSM telah melangsungkan beberapa mesyuarat bersama wakil-wakil Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), serta wakil-wakil Universiti Teknologi MARA (UiTM), dan Open Universiti Malaysia (OUM) yang berada di Terengganu.

 

Proses pemilihan dan sesi temuduga calon-calon pelajar dilaksanakan secara profesional. Pelajar yang berjaya ialah (1) Khaulah binti Zakaria (UMT); (2) Rafiqah Amnani binti Mohd Rofi (UniSZA); (3) Zaitul Syafiqah binti Syamsuddin (UiTM); dan (4) Nor Suliana binti Zulkifli (OUM). Selain empat pelajar Terengganu melalui YDSM, pihak Konsulat Jeneral Jepun turut meminta kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan untuk mendapatkan pelajar daripada negeri-negeri yang lain untuk mengikuti Program JENESYS 2017.

 

Sebelum terbang ke Jepun, YDSM telah menganjurkan majlis suai-kenal dengan pelajar-pelajar tersebut dengan ibu bapa mereka masingmasing serta wakil keempatempat universiti terbabit di pejabat YDSM. Dalam majlis ini, pelajar-pelajar diingatkan akan peranan, tugas dan misi besar mereka dalam sentiasa menjaga nama baik negara, negeri Terengganu, universiti serta YDSM. Sebagai langkah memperkasakan kemahiran bahasa serta budaya Jepun, pelajar-pelajar berkenaan telah mengikuti kursus pengenalan bahasa serta budaya Jepun selama sehari yang dianjurkan oleh YDSM dibawah kendalian Pusat Antarabangsa UniSZA

 

Impak Program Kepada Pelajar

Apa yang TINTA ingin sampaikan di sini adalah impak program ini kepada para pelajar yang menyertainya. Pelajarpelajar memperolehi impak yang pelbagai berdasarkan pengalaman masing-masing. Khaulah binti Zakaria, pelajar dari UMT menyatakan bahawa program ini memberi peluang kepada peserta untuk merasai pengalaman dan memperdalam pemahaman mereka terhadap negara Jepun. Peserta dapat mencuba produk teknologi moden dan belajar tentang pengetahuan baru di Jepun.

 

Selain itu, peserta juga dapat menyelami gaya hidup tempatan dan berhubung dengan masyarakat Jepun menerusi pelbagai program seperti membina hubungan persahabatan serta hubungan kekeluargaan dengan pelajar dan keluarga tuan rumah tempatan. Program ini dapat membina kepercayaan antara dua negara dan rakyat serta memberikan ilmu pengetahuan yang baharu kepada peserta yang berguna untuk masa hadapan.

 

Bagi Nor Suliana binti Zulkifli (pelajar dari OUM), beliau merasakan program ini telah dapat meningkatkan lagi keyakinan dirinya untuk berkomunikasi, berkongsi pengalaman dan lebih berani untuk terus ke hadapan. Budaya dan bahasa Jepun meninggalkan impak yang sangat besar sehingga membuatkan beliau rasa termotivasi untuk belajar dan mendalaminya. Beliau memasang impian untuk kembali semula ke Jepun untuk bertemu dengan keluarga angkat dan rakan-rakan di sana. Beliau berkongsi beberapa unsur budaya Jepun yang mudah untuk dipraktikkan bersama keluarga atau rakanrakan seperti: menepati masa, sentiasa berusaha meningkatkan kualiti kerja, bersikap professional dan menghormati privasi dengan tidak menyebarkan maklumat atau gambar seseorang tanpa kebenaran.

 

Di samping itu, pengalaman beliau mengajar dua orang koordinator JICE memakai tudung tidak akan dilupakannya. Mereka sangat tertarik apabila melihat pelbagai fesyen tudung yang digayakan oleh peserta Malaysia. Koordinator JICE turut berhasrat untuk melawati Malaysia kerana tertarik dengan akhlak dan budaya yang dipamerkan oleh semua peserta ketika berada bersama mereka di sana. Ini merupakan satu proses pertukaran budaya antara Malaysia-Jepun. Selain itu, beliau merasa sangat bertuah dapat bertemu dan sempat menyampaikan sepatah dua kata kepada pihak kedutaan Malaysia di Jepun untuk mempromosikan Terengganu. Sepanjang tempoh lawatan itu juga, beliau sempat berkongsi cerita dengan rakan-rakan yang lain tentang pembangunan yang terdapat di Terengganu terutamanya Tasik Kenyir yang merupakan salah satu tempat perlancongan unggul di negeri Terengganu.

 

Rafiqah Amnani binti Mohd Rofi (pelajar dari UniSZA) pula menyatakan bahawa impak yang paling penting baginya ialah dapat meningkatkan perpaduan antara negara dan rakyat serta memupuk semangat patriotik dalam dirinya. Peluang untuk meneroka negara lain dengan misi pertukaran budaya, membawa nama negara dan mengibar bendera negara di negara lain menjadinya berasa bangga dan syukur sebagai rakyat Malaysia. Bukan itu sahaja, JENESYS telah mengasah kemahiran komunikasi beliau. Sebagai pelajar komunikasi, seni penyampaian dan sosialisasi dengan pihak lain sangat penting untuk dikuasai. Melalui aktiviti yang disertai melibatkan banyak interaksi dengan peserta Jepun dan juga peserta Malaysia yang lain, ianya menawarkan peluang mempraktikkan apa yang dipelajari. Selepas memerhati dan mempelajari perbezaan budaya Jepun, secara tidak langsung beliau terdorong untuk mengubah diri menjadi orang yang lebih baik terutamanya dari segi ketepatan waktu, kesopanan dan akal yang sihat. Secara keseluruhannya, JENESYS telah memberikan pelbagai faedah kepada dirinya dalam erti untuk mempunyai masa hadapan yang lebih baik.

 

Zaitul Syafiqah binti Syamsuddin (pelajar UiTM Terengganu) pula menyatakan Program ini telah dapat menunjukkan beberapa perkara yang sangat berguna untuk diterapkan dan juga dipraktikan di Malaysia terutamanya negeri Terengganu. Pertamanya ialah budaya kitar semula yang amat berguna dan sangat bermanfaat ke arah mewujudkan sebuah negara bersih. Ia amat mudah dilaksana dan dibudayakan. Kedua ialah budaya menepati masa. Jepun memang terkenal dengan penduduknya yang sentiasa menepati masa. Sepanjang berada di Jepun peserta diajar agar sentiasa menepati masa walau di mana mereka berada. Selain itu, beliau menyatakan tahap kebersihan yang diamalkan di Jepun adalah satu amalan yang amat berguna untuk diterapkan dalam diri masyarakat kita. Sebagai contoh, kebersihan tandas di mana kita tidak boleh membuat basah di lantai tandas dan perlu mengelap tempat duduk tandas selepas digunakan. Hal ini boleh diamalkan oleh masyarakat kita jika diiringi dengan usaha yang utuh.

 

Seterusnya program ini juga mengajar peserta untuk beramah mesra dengan pelancong-pelancong asing. Hal ini dapat dilihat ketika beliau berada bersama keluarga angkat. Cara layanan dan penerangan mengenai budaya mereka adalah satu perkara yang sangat menarik. Oleh itu, kita dapat memperkenalkan negara kita kepada pelancongpelancong luar yang datang dengan cara mendekati mereka secara ramah dan baik. Melayani mereka seperti tetamu. Program keluarga angkat dalam JENESYS ini sangat sesuai untuk memperkenalkan Malaysia ke pelosok dunia.

 

Program ini telah ditanggung sepenuhnya oleh pihak JICE. Pelajar-pelajar yang menyertai program ini sangat bertuah kerana peluang yang diberikan telah memberi impak yang baik bukan sahaja kepada diri mereka masing-masing, tetapi juga kepada negeri Terengganu khasnya dan Malaysia secara amnya.

 

Kesimpulan

YDSM mengucapkan tahniah kepada para pelajar serta mengharapkan mereka dapat menerapkan secara berterusan apa yang dipelajari daripada program ini dalam kehidupan mereka dan juga dalam masyarakat. YDSM juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada keempat-empat universiti di Terengganu yang sudi bekerjasama dengan YDSM untuk mendapatkan calon peserta yang sesuai daripada institusi mereka. YDSM juga secara khusus ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Kedutaan Jepun di Malaysia atas kesudian mereka bekerjasama dengan YDSM bagi menjayakan program ini dan mengharapkan kerjasama seperti ini boleh diteruskan lagi bagi masa hadapan