Tanggal 12 Februari 2018, Buku Birds of Terengganu terbitan YDSM dan Penerbit Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan rasminya telah disempurnakan pelancarannya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin selaku Pengerusi YDSM bertempat di hadapan Boardwalk Setiu Wetland, Kampung Pengkalan Gelap, Setiu, Terengganu.

 

Berbeza dengan Majlis Pelancaran buku-buku terbitan YDSM yang lain, Majlis Pelancaran buku ini dilancarkan bersekali dalam Majlis Pelancaran Boardwalk Setiu, Setiu Wetland, Terengganu yang turut disempurnakan pelancarannya oleh Baginda Sultan Terengganu. Keberangkatan Baginda ke Majlis tersebut disambut oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

 

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail; Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Dato’ Prof. Emeritus Dr. Makdzir bin Mardan dan Pengerusi Petronas, Tan Sri Sidek Hassan serta ketua-ketua jabatan. Juga turut hadir, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar; Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin(Unisza), Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi Abdul Latif dan Encik Anwar Abdullah McAfee selaku penulis buku serta orang ramai.

 

Kira-kira 500 orang telah hadir bagi memeriahkan Majlis Pelancaran Boardwalk Setiu Wetland dan Pelancaran Buku Birds of Terengganu pada hari tersebut. YDSM juga tidak melepaskan peluang untuk membuka booth jualan buku Birds of Terengganu ketika majlis berlangsung. Orang ramai juga berpeluang berjumpa dengan penulis buku iaitu Anuar Abdullah McAfee untuk bersoal jawab mengenai buku tersebut. Semoga buku ini mendapat sambutan yang baik dalam kalangan masyarakat dan memberikan manfaat yang sewajarnya kepada sesiapa yang memilikinya. Untuk keterangan lanjut tentang buku tersebut, para pembaca boleh lihat pada TINTA YDSM edisi lepas iaitu Vol 1.2017 Januari-Jun.