Alhamdulillah, saya merupakan antara yang bertuah kerana berpeluang mendapat tajaan biasiswa diraja Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) di peringkat PhD yang disumbangkan oleh Tuanku Sultan sendiri. Saya adalah calon PhD pertama yang memperoleh biasiswa diraja ini daripada Yayasan. Saya menjunjung kasih atas perhatian Tuanku.

 

Berkat kesabaran dan usaha sewaktu pengajian peringkat sarjana di Jordan dengan kekangan kewangan tanpa tajaan khusus, Allah permudahkan saya di pengajian PhD. Ini menjadi lebih bermakna memandangkan saya berpeluang menyambung pengajian di Universiti Aberdeen, UK. Universiti ini antara universiti terbaik dunia yang memberi peluang kepada saya bermusafir dan mencari ilmu di negara barat. Walaubagaimana pun, saya menyedari tajaan ini bukan untuk bermegah-megah, namun  ia adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

 

Mengimbau kembali sebelum ke UK, walaupun proposal PhD telah menerima respon daripada bakal penyelia serta diluluskan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, namun cabaran utama saya ialah Bahasa Inggeris. Ini kerana semua universiti di UK mensyaratkan calon-calon yang memohon melepasi tahap tertentu ujian IELTS (International English Language Testing System).  Keberadaan di Jordan hampir 6  tahun memberi kesan terhadap perkembangan Bahasa Inggeris saya memandangkan bahasa tersebut tidak begitu meluaspenggunaannya di sana. Namun berkat usaha dan sokongan daripada ahli keluarga, guruguru serta Ahli Lembaga YDSM, setelah melalui beberapa kali ujian ini akhirnya Allah kurniakan kejayaan kepada saya.

 

Berkenaan dengan kajian PhD, saya memilih bidang maqasid al-Shariah (objektif shariah) dan perbankan Islam. Pada awalnya terdapat beberapa cabaran. Antaranya, memilih tajuk yang agak terperinci tentang ilmu syariah agak mencabar di negara barat. Alhamdulilah, penyelia saya, Dr Dawoud El-Alami banyak membimbing dalam hal ini. Cabaran yang kedua ialah saya tiada pengalaman dalam bidang perbankan Islam secara praktis. Saya cuba atasi masalah tersebut dengan meluaskan pembacaan mengenai bidang ini. Mujurlah terdapat kemudahan akses jurnal dan lain-lain yang disediakan oleh universiti. Begitu  juga saya banyak berhubung  dengan rakan-rakan yang berada dalam industri perbankan Islam di tanah air. Akhir sekali,  saya sendiri melakukan kajian lapangan dalam bidang ini agar mendapat pencerahan yang lebih baik. Alhamdulillah kepulangan selama sebulan di Malaysia, saya telah berpeluang menemubual pegawai-pagawai syariah di enam buah bank islam, pegawai-pegawai syariah di Bank Negara Malaysia (BNM) dan ahli-ahli Majlis Penasihat Syariah BNM.

 

Dalam masa yang sama, saya  menyedari peluang berada di UK  bukan hanya untuk menyiapkan PhD, namun untuk belajar nilai-nilai yang baik di sana agar dapat diaplikasi dalam masyarakat kita kelak. tidak dinafikan tatkala kali pertama menjejak kaki di bumi Aberdeen, Scotland, sedikit masa diperlukan untuk membiasakan diri sebagai seorang Muslim yang bergelar minoriti. Tiada azan berkumandang seperti kebiasaan, makanan halal tidak semudah sebelum ini untuk diperolehi. Masjid pula hanyalah mbeberapa buah rumah teres, di mana solat Jumaat terpaksa dikerjakan dalam keadaan berhimpit-himpit. Walaubagaimanapun, semua itu cabaran yang sedikit jika dibandingkan dengan elemen positif di sana. Dalam bidang akademik sebagai contoh, idea kita dihormati, soalan kita diraikan dan perkongsian kita dialu-alukan. Hakikatnya, masyarakat barat terkenal dengan sifat ingin tahu yang tinggi dan sangat menghormati nilai-nilai ilmu. Dalam masa yang sama, saya dan keluarga (isteri dan anak) berpeluang menikmati  pelbagai kemudahan di sini.  Kerajaan Scotland, sebuah wilayah autonomi dalam UK mengutamakan kebajikan rakyat mereka seperti pendidikan percuma, kesihatan percuma, serta air percuma.

 

Dari aspek kemasyarakatan, masyarakat di sana terkenal dengan sikap hormat menghormati, bertoleransi dan suka menyumbang. Antara yang menarik perhatian saya ialah kedai kebajikan atau charity shop sangat banyak. Kedai tersebut menjual barang  terpakai untuk disalurkan  hasilnya kepada orang miskin, anak yatim, pesakit kanser serta usaha-usaha kebajikan lain. Dari satu sudut kedai ini menyediakan peluang buat masyarakat yang berkemampuan menyumbang barang-barang terpakai mereka untuk dijual dengan harga lebih murah. Barang-barang tersebut dapat dinikmati oleh golongan pendapatan pertengahan serta pelajar. Duit tersebut seterusnya dapat disalurkan kepada dana untuk tujuan kebajikan. Pekerja-pekerja kedai ini bekerja secara sukarela dan turut mendapat manfaat menilai barang-barang. Ini kerana barang-barang yang disumbangkan perlu diletak harga. Konsep sebegini menjadikan amal-amal kebajikan melibatkan lebih ramai pihak, berbanding hanya duapihak.

 

Dengan baki pengajian saya yang hanya tinggal tidak lama lagi (saya dijangka siap awal tahun 2018), saya berharap dapat melakukan yang terbaik untuk kajian saya. Begitu juga  saya berharap dapat belajar  lebih banyak nilai-nilai yang baik agar dapat dibawa manfaat untuk ummah kelak.