Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) terus mengorak langkah dalam usaha ke arah memperbaiki taraf hidup golongan yang memerlukan bantuan dan bimbingan di Terengganu. Terbaru, YDSM memfokuskan aktiviti memperkasakan sosioekonomi isteri-isteri para nelayan melalui sumbangan dan tajaan khas program menambah pendapatan  daripada hasil laut. Program  ini dilaksanakan dengan kerjasama Repsol Oil & Gas Malaysia Limited (Repsol Malaysia). Repsol Malaysia, sebuah syarikat minyak dan gas antarabangsa yang beroperasi di Kuala Lumpur. Repsol Malaysia adalah anak syarikat Repsol S.A. yang berpusat di Madrid, Sepanyol.

 

YDSM dan Repsol Malaysia bersetuju untuk menjayakan sebuah program pelaburan sosial (social investment program) tersebut dengan penglibatan sepuluh (10) orang isteri dari keluarga nelayan dari daerah Marang yang dipilih untuk menjayakan projek permulaan ini. Dibawah program khas ini para peserta akan terlibat dengan aktiviti membuat dan menjual produk makanan berasaskan sumber laut seperti bebola ikan, krispy selayang, nuget ikan dan lain-lain produk inovasi otoshimi dan surimi. Program ini turut dibantu dan disokong  oleh Pejabat Perikanan Negeri Terengganu, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Terengganu, Akademi Perikanan Malaysia dan Persatuan Nelayan Kawasan Marang. Latihan akan diadakan di Akademi Perikanan Malaysia, Chendering, Kuala Terengganu.

 

Sebagai permulaan, pihak Repsol Malaysia bersetuju untuk memberi tajaan berjumlah RM100,000 kepada YDSM bagi menggerak dan menjayakan program ini yang merangkumi perbelanjaan untuk kursus, pembelian bahan mentah dan mesin yang berkaitan, ubah suai bengkel,  pemasaran, pembungkusan dan lain-lain.

 

Secara simboliknya, penyerahan tajaan tersebut telah diserahkan sendiri oleh wakil Repsol Malaysia, Encik Jorge Milathianakis, Pengarah Unit Perniagaan Malaysia kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al Marhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah, selaku Pengerusi YDSM pada 3 Disember 2017 bertempat di Istana Terengganu, Kuala Lumpur. Turut hadir ialah ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM dan beberapa orang lagi wakil daripada pihak Repsol Malaysia.