Sempena cuti penggal akhir tahun persekolahan yang lalu, Yayasan DiRaja Sultan Mizan, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) telah menganjurkan Program Khatan Perdana 2017. Program ini adalah disediakan khas untuk golongan yang kurang berkemampuan. Usaha ini adalah selaras dengan tuntutan agama Islam agar setiap umatnya samada lelaki dan wanita menjalani khatan/ bersunat.

 

Seramai 75 orang murid laki-laki telah diterima bagi memyertai Program ini yang  telah berlangsung pada 2  Disember 2017, bertempat di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman I, Kuala Terengganu. Program berkenaan turut disokong oleh beberapa agensi kerajaan seperti Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Terengganu dan Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia Cawangan Negeri Terengganu dibawah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu. Sekalipun hujan yang turun begitu lebat, ia tidak sekali-kali memalapkan semangat murid murid terbabit. Program berjalan dengan sempurna dan berjaya.

 

Dalam ucapan perasmiannya, Yang Berbahagia Dato’ Haji Mohd Fadzli bin Yusof selaku Pengerusi Program merangkap Ahli Lembaga Pemegang  Amanah YDSM menyeru dan  menasihatkan ibu bapa sentiasa peka dengan setiap aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak.

 

“Kanak-kanak pada hari ini bukan lagi seperti kanak-kanak 20, 30 atau 40 tahun lepas yang tidak terdedah dengan ancaman siber dan teknologi. Namun, kanakkanak pada hari ini pada usia setahun dua telah pun didedahkan dengan pelbagai jenis gajet dan internet. Kita harus ingat bahawa ianya akan memudaratkan jika disalah guna dan sebaliknya. Justeru, awasilah setiap apa yang dilakukan oleh anakanak terutamanya apabila mereka mula menginjak alam remaja. Banyak pengaruh dan anasir samada positif atau negatifyang akan mengelilingi  meraka pada masa ini, Oleh itu,  peranan dan tanggungjawab ibu bapa amatlah penting bagi memastikan anak-anak tidak  terpesong dan terbabas”.

 

Lebih manis, setiap kanakkanak turut diberikan “hadiah khatan” yang berupa wang tunai RM50, kain pelikat, beg dan cenderahati lain oleh pihak penganjur.

 

Sebelum dikhatankan, kanakkanak tersebut terlebih dahulu diraikan dengan suapan pulut kuning atau pulut semangat dan kemudiannya diarak ke kawasan lapang bagi aktiviti semburan air oleh pasukan Bomba. Keseluruhan program itu berjalan lancar. Walaupun ada sebahagian yang sedikit takut dan berdebar, namun  kebanyakan kanak-kanak  tersebut teruja untuk berkhatan yang menandakan mereka sudah memasuki usia remaja.