Mata merupakan salah satu pancaindera anugerah Allah yang amat besar gunanya. Tanpa penglihatan yang normal, ia boleh menjejaskan aktiviti seharian seseorang terutamanya yang berkaitan pencarian rezeki. Begitulah situasi yang dialami oleh ketua bagi tiga keluarga miskin dari Terengganu. Ketiga-tiga mereka ini dikesan mempunyai masalah mata yang agak serius sewaktu berpeluang  menjalani pemeriksaan  mata semasa Program Hari Penglihatan Sedunia 2017 pada pertengahan Oktober lalu di Stadium Negeri Kuala Terengganu. Pakar mata yang memeriksa mereka menyatakan mereka perlu menjalani rawatan pembedahan mata segera (baca laporan berlainan).

 

Menyedari hakikat kemiskinan yang dihadapi keluarga berkenaan, YDSM tampil menghulurkan bantuan. Melalui beberapa siri perbincangan bersama pihak Pusat Pakar Mata Bangi/Klinik Mesra Bangi, Selangor, kedua-dua pihak bersetuju untuk bersama-sama membiayai pembedahan dan rawatan mata ketiga-tiga orang tersebut. Ini bermakna kali kedua YDSM dan Pusat Pakar Mata Bangi/Klinik Mesra Bangi bekerjasama bagi membiayai rawatan pembedahan ini setelah kali pertamanya  diadakan pada bulan Mei, 2017 yang turut melibatkan tiga (3) keluarga miskin nelayan dari Daerah Marang.

 

Pembedahan dan rawatan mata untuk tiga keluarga miskin tersebut telah selesai dijalankan pada 12 sehingga 16 November lalu. Selain itu Pusat Pakar Mata Bangi/Klinik Mesra Bangi turut mengadakan pemeriksaan mata percuma untuk isteri/pengiring ketigatiga keluarga berkenaan. TINTA YDSMturut difahamkan salah seorang daripada mereka kini telah mampu melihat dengan jelas dan melakukan kerja dan ibadah dengan lebih baik.

 

Sehubungan ini, YDSM  mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Pusat Pakar Mata Bangi/Klinik Mesra Bangi, khususnya Dato’ Dr. Haji Mohamad Johari, kerana terus bersama YDSM membantu golongan kurang berkemampuan. YDSM turut mengalu-alukan mana-mana pihak untuk bersama-sama  YDSM membantu golongan  sedemikian terutamanya melalui sumbangan berbentuk dana kewangan bagi tujuan ini.