Saban tahun semakin ramai penerima bantuan dan peserta program yang berpeluang bernaung di bawah Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM). Sejajar dengan itu, YDSM telah berjaya melahirkan beberapa orang usahawan mikro hasil daripada program memperkasakan sosioekonomi peserta-peserta berkenaan. Program Kecemerlangan Insan Yayasan DiRaja Sultan Mizan merupakan salah satu program sebagai strategi susulan untuk memastikan para peserta pelbagai projek kemasyarakatan YDSM seperti Program Usahaniaga Zakat YDSM, Program Seni Kraf Warisan YDSM dan Program Usahawan Madu Kelulut YDSM terus mendapat manfaat yang sewajarnya selain langkah memantau perkembangan semasa  mereka. Kesemua peserta  program terbabit terlibat dalam perniagaan mikro yang sesuai  dengan minat dan keadaan masing-masing.

 

Program Kecemerlangan Insan juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim di antara YDSM dan peserta di bawah bimbingan YDSM serta dapat berkongsi ilmu serta pengalaman di dalam bidang masing-masing, sesama mereka. Di samping itu, melalui program ini juga YDSM dapat mengetahui status dan perkembangan semasa mereka dan seterusnya dapat mengadakan perbincangan lanjut terutama berkenaan sebarang masalah yang dihadapi oleh mereka. Begitu juga, Program ini bertujuan memupuk rasa kekitaan dan menyuburkan ikatan ukhwah serta semangat  kerbersamaan dikalangan peserta dan penerima pelbagai bantuan tersebut serta tautan hati yang berkekalan kepada YDSM.

 

Tahun ini, Program ini telah diadakan pada 25 Oktober 2017, bertempat di The Regency Waterfront Hotel, Jalan Kuala Ibai, Kuala Terengganu dan telah dihadiri oleh 110 orang peserta dan penerima bantuan bagi ketiga-tiga program berkenaan.

 

Sebagai galakan dan motivasi agar peserta-peserta akan terus berjaya dalam bidang masing-masing YDSM telah bersetuju untuk memberi satu anugerah khas secara tahunan mulai tahun hadapan kepada mana-mana peserta yang berjaya. Penilaiannya akan dibuat dari pelbagai sudut seperti kesungguhan, tanggungjawab, disiplin dan  kejayaan perniagaan yang  dicapai. Adalah diharapkan anugerah khas ini dapat memupuk semangat dan merangsang pesertaperserta agar berusaha lebih gigih lagi dalam mempertingkat dan memperkasakan ekonomi keluarga masing-masing.

 

Program Kecemerlangan Insan kali ini turut diisi slot motivasi dan ceramah. Antaranya ialah ceramah agama oleh Al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus dan sesi soal jawab, slot perkongsian kejayaan oleh peserta berjaya di bawah Seni Kraf Warisan YDSM dan peserta Usahawan Madu Kelulut YDSM. Ia juga disusuli rumusan program oleh Ustaz Mohd Fauzi bin Mustaffa selaku Ahli/ Setiausaha Jawatankuasa Agihan Zakat YDSM. Untuk tahun 2017 ini, YDSM  telah memperuntukkan  sejumlah RM14,640.00 bagi menjayakan program ini.