Kursus Keusahawanan Program Seni Kraf Warisan oleh Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) bertujuan melatih secara sistematik belia dan anak muda khususnya dari Terengganu dalam pelbagai bidang seni kraftangan warisan yang kian pupus jika tiada inisiatif khas untuk memulihara dan memeliharanya. Antara seni kraftangan yang dilaksanakan di bawah Program ini termasuklah perusahaan batik terap, batik blok dan batik lukis, penempaan tembaga, ukiran kayu, pertukangan emas dan perak serta pertukangan besi/senjata tradisional seperti keris, parang, pisau, golok dan sebagainya.

 

Program ini bermula pada tahun 2008, dan kini telah memasuki Siri ke-6 pada tahun 2017. Untuk siri ini seramai 23 orang pelatih berjaya menamatkan kursus yang dilaksanakan selama 18 bulan berakhir dengan kursus asas keusahawanan selama 5 hari 4 malam pada 23 hingga 27 Oktober 2017 yang diadakan di  Scout Inn Resort, Kuala Nerus, Terengganu. Kursus asas keusahawanan ini dianjurkan bersama dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA) di bawah kelolaan YBrs. Prof. Madya Dr. Fakhrul  Anwar bin Zainol,  Pengarah Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM), UniSZA.

 

Menurut Prof. Madya Dr. Fakhrul  Anwar bin Zainol, secara keseluruhannya pelatih yang terlibat telah menunjukkan komitmen yang terbaik dengan kehadiran penuh 98% bagi semua sesi yang dijalankan. Beliau berkata, ada kumpulan yang telah membentangkan cadangan pelan pengurusan perniagaan mereka dengan baik sekali, malah lebih baik daripada pembentangan yang dibuat oleh pelajar Universiti sendiri. Ini menunjukkan ada diantara pelatih memang mempunyai bakat dan potensi untuk menjadi usahawan yang berjaya pada masa mendatang.

 

Sementara itu, Encik Mohd Ghazali bin Mohamad, pelatih Seni Pertukangan Besi/Senjata Tradisional yang memilih pembuatan Sarung dan Hulu Keris telah dipilih sebagai Pelatih Cemerlang Keseluruhan bagi kursus kali ini, sekaligus dinobatkan sebagai Pelatih Terbaik Program Seni Kraf Warisan YDSM siri keenam sesi 2016/2017. Beliau telah menerima sijil kursus  keusahawanan dan anugerah sijil pelatih terbaik serta hadiah istimewa daripada Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM), UniSZA.

 

“Selama ini saya berniaga hanya dapat keuntungan balik modal sahaja. Kini barulah saya sedar bahawa pengurusan kewangan saya adalah tidak tepat. Melalui  kursus keusahawanan ini saya  telah dapat mengetahui cara pengurusan kewangan yang betul selaku usahawan dan peniaga,” kata Encik Mohd Ghazali bin Mohamad dalam ucapan beliau selaku Pelatih Terbaik. “Terima kasih diucapkan kepada pihak YDSM yang telah memilih saya untuk berada dalam program ini dan juga kepada pihak PJIM, UniSZA,” tambah beliau. Menyedari betapa penting dan luasnya pasaran melalui atas talian, beliau juga telah memasarkan hasil seni kraftangan yang diusahanya melalui talian. Sambutannya amat menggalakkan sekali.

 

Menurut Prof. Madya Dr. Fakhrul Anwar bin Zainol, beliau merumuskan bahawa keberkesanan atau impak daripada kursus keusahawanan yang telah dibuat adalah Perubahan format latihan yang menjurus kepada konsep praktikal perniagaan (“how to”) memberi impak yang sangat positif dari segi fokus, pemahaman, komitmen dan juga kehadiran pelatih. Latihan yang dilaksanakan berjaya memberi pendedahan kepada pelatih berkaitan ilmu keusahawanan, perniagaan dan juga pengurusan kewangan peribadi yang amat penting bagi melahirkan usahawan yang mampu berdaya saing di dalam dunia perniagaan.

 

Selain itu, pelatih didedahkan dengan strategi perniagaan secara sistematik dan berkesan melalui kaedah teori/praktikal. Pelatih juga dapat mempelajari selok-belok bidang perniagaan yang diceburi daripada syarikat mentor dan menghindari kesilapan-kesilapan dalam  membuat keputusan melalui  pengalaman yang dilalui oleh syarikat mentor.

 

YDSM berasa gembira dengan maklum balas yang telah diberikan oleh semua pelatih terhadap kursus keusahawanan tersebut. Antaranya ialah mereka dapat mempelajari langkah-langkah dan teknik memulakan perniagaan dengan menggunakan Business Model Canvas (BMC). Mereka juga dapat mempelajari pengiraan untung yang betul dalam perniagaan. Selain itu, dapat mempelajari bagaimana menguruskan perniagaan merangkumi strategi, inovasi dan risiko perniagaan yang betul dan mempelajari perlunya untuk menjadi berani dan mengambil risiko bagi mencapai kejayaan sebagai usahawan.

 

Secara keseluruhannya, Kursus Asas Keusahawanan ini amat berkesan bagi membantu membentuk visi dan objektif yang tepat untuk membangunkan usahawan yang berdaya maju, berdaya tahan dan berdaya saing. Dalam hubungan ini, YDSM akan sentiasa berusaha bagi merealisasikan sasaran  melahirkan usahawan yang dapat  menambah nilai kepada produk/ perkhidmatan kraftangan mereka agar dapat menembusi pasaran.