Program Seni Kraf Warisan Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) yang bermula tahun 2008 kini dan telah memasuki siri atau kumpulan yang keenam bagi sesi 2016/2017. Selama lima siri yang telah dibuat sebelum ini, sejumlah hampir 200 orang telah dilatih, namun belum pernah lagi pelatih-pelatih dibawa melawat ke tempattempat latihan atau pusat-pusat kraf di tempat lain. Mereka hanya belajar dan tertumpu di tempat latihan iaitu bengkel Adiguru masing-masing di Terengganu sahaja.

 

Sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan pengetahuan dan pendedahan peserta, buat julung kalinya YDSM telah mengadakan satu lawatan untuk pelatih-pelatih Program Seni Kraf Warisan siri ke-6 sesi 2016/2017 pada 8 hingga 10 Oktober 2017 ke tempat-tempat yang berkaitan dengan industri kraf dan warisan di sekitar Selangor dan Kuala  Lumpur.

 

Lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelatih-pelatih mengenai program dan aktiviti pembelajaran ilmu kraf warisan di tempat-tempat tersebut. Selain itu, pelatih-pelatih berpeluang mendapat pendedahan tentang inovasi seni kraf yang dibuat di tempat terbabit serta melihat potensi untuk memperbaiki diri mereka dan prospek kerjaya mereka sendiri. Disamping itu juga, harapan YDSM agar lawatan tersebut dapat memberikan motivasi dan semangat kepada pelatih-pelatih untuk meneruskan usaha serta mempraktikkan ilmu seni kraf warisan yang telah dipelajari.

 

Lawatan ini melibatkan seramai 20 orang pelatih, 3 orang mentor. Antara tempat lawatan yang menjadi fokus utama ialah Institut Kraf Negara (IKN) Rawang. Setibanya di sana, rombongan telah disambut mesra oleh Encik Muhamad Arif bin Mustafa, Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi,  Unit Pengurusan Maklumat, Perpustakaan IKN. Sebelum lawatan diteruskan, beliau telah menyampaikan salam pertemuan kepada rombongan dan memberikan taklimat ringkas mengenai organisasi IKN. Setelah itu, rombongan telah dibawa melawat ke semua bengkel latihan seni kraf serta galeri kraf yang ada di IKN.

 

Antara bengkel-bengkel tersebut adalah Bengkel Jurusan Seni Kraf Tenunan, Bengkel Jurusan Seni Kraf Batik, Bengkel Jurusan Seni  Kraf Seramik, Bengkel Jurusan  Seni Kraf Kayu, Bengkel Jurusan Seni Kraf Logam dan Bengkel Jurusan Seni Kraf Rotan. Merujuk kepada semua bengkel jurusan yang ada di IKN, hanya 3 jurusan sahaja yang sama dengan apa yang dipelajari oleh pelatih-pelatih YDSM.

 

Pelatih-pelatih melahirkan rasa gembira kerana daripada peluang berinteraksi mereka memperolehi pencerahan dan penjelasan berkaitan sesi latihan serta kaedah pembelajaran di IKN. Ada antara pelatih yang melahirkan keinginan dan minat untuk melanjutkan pembelajaran di IKN. Pihak IKN juga telah memberikan penerangan jelas berkenaan proses pengambilan pelajar serta had umur yang sesuai sebagai syarat kemasukan.

 

Selain daripada melawat ke IKN, rombongan juga telah melawat Kompleks Kraf Kuala Lumpur (KKKL) dan juga Royal Selangor Pewter. Setibanya di KKKL, rombongan  telah disambut mesra oleh  Encik Ahmad Faisal Abdul Wahab, Pegawai Bahagian Korporat, KKKL. Sepanjang lawatan tersebut, beliau telah memberikan penerangan berkenaan apa yang ada di KKKL dan apa programprogram latihan serta aktiviti yang disediakan oleh KKKL.

 

Beliau memuji YDSM kerana telah berusaha melaksanakan program seni kraf warisan demi memastikan kelangsungan seni kraf negeri Terengganu agar tidak luput ditelan zaman.

 

‘Anda semua bertuah kerana YDSM memilih kamu untukmengikuti program ini dan semuanya ditanggung oleh YDSM, kata beliau kepadapelatih-pelatih’. Beliau turut berpesan kepada semua pelatih, sekiranya mereka ingin berjaya menjadi usahawan dan peniaga, mereka perlu menjalinkan kerjasama bersama rakan-rakan usahawan yang lain serta menjaga kualiti dan pembungkusan produk yang akan dijual mahupun dieksport ke luar negeri atau luar negara.

 

Melalui lawatan ke KKKL ini, pelatih-pelatih telah dapat mempelajari serta mengetahui perkara-perkara yang baru mengenali alatan seni kraf orang asli yang tidak pernah dilihat sebelum ini. KKKL juga turut mempamerkan peralatan serta demonstrasi seni kraf seperti batik dan ukiran kayu. Semua pelatih tidak melepaskan peluang untuk bertanyakan pelbagai persoalan kepada Encik Ahmad Faisal Abdul Wahab.

 

Sementara itu, lawatan ke Royal Selangor Pewter pula menyaksikan pelbagai jenis produk yang dihasilkan dengan bahan pewter iaitu campuran Sn (tin)+Sb(antimony)+Cu(copper), menjadikan produk yang dihasilkan berkualiti dan tahan lama. Rombongan YDSM ini dibawa melawat ke galeri produk serta kilang pembuatan produk Royal Selangor. Semua pelatih dapat mempelajari sesuatu yang baru hasil lawatan ke sini. “Lawatan ini serta pameran pelbagai jenis produk seni kraf yang ada dapat memberikan idea-idea baru untuk saya menghasilkan produk sendiri pada masa akan datang”, ujar salah seorang daripada pelatih ketika menemui TINTA pada masa lawatan tersebut.

 

“Kami sangat berpuas hati dan merasa gembira dengan lawatan ini kerana menerima banyak maklum balas positif daripada pelatih-pelatih yang menyertainya”. Sekiranya diizinkan, lawatan ini akan diteruskan untuk sesi pengambilan pelatih yang akan  datang dan mengenalpasti  tempat-tempat lawatan lain juga yang sesuai dengan program ini.