Majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) bagi Program Transformasi Pembangunan Sosio Ekonomi Golongan Asnaf dan Ibu Tunggal antara YDSM, Accounting Reasearch Institute (ARI) atau Institut Penyelidikan Perakuanan UiTM dan Mydin Mohamed Holdings Berhad telah berlangsung di kampus UiTM, Shah Alam pada 17 Mac 2016. Majlis ini menandakan kemuncak kepada jalinan kerjasama ketiga-tiga institusi ini dalam usaha memartabatkan sosio-ekonomi masyarakat khususnya di Terengganu. Sesungguhnya Program ini bertujuan untuk membantu khususnya ibu tunggal dan kaum hawa yang belum berumahtangga, terutama yang termasuk dalam golongan asnaf miskin dapat berdikiri dengan perusahaan perniagaan secara bereklompok melalui kemahiran jahitan. Ini selaras dengan matlamat YDSM ke arah menaikkan taraf hidup rakyat melalui prinsip memberi joran dan bukan ikan.

Majlis yang diadakan di Bilik Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Bangunan Canselori, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan turut dihadiri oleh Yang Berbahagia Dato’ Haji Mohd Fadzli bin Yusof dan Yang Berbahagia Dato’ Profesor Emeritus Dr. Abdul Rahman bin Haji Embong yang mewakili YDSM serta Yang Berbahagia Prof. Emeritus Dato’Dr. Hassan bin Said, Naib Censelor UiTM dan Yang Berbahagia Prof Dr. Normah binti Haji Omar, Pengarah Institut Penyelidikan Perakaunan (ARI) UiTM yang mewakili pihak UiTM. Manakala pihak Mydin Mohamed Holdings Berhad pula diwakili oleh Yang Berbahagia Datin Dr. Hajah Siti Hawa selaku Pengurus Sumber Manusia Mydin Mohamed Holdings Berhad, iaitu salah sebuah kumpulan pasaraya Malaysia yang terbesar.

Di bawah Program ini bahan jahitan, iaitu kain dibekalkan oleh pihak Mydin Mohamed Holdings Berhad sementara YDSM melantik para peserta kaum hawa yang berkenaan dan menyediakan tempat sebagai bengkel, mesin menjahit dan peralatan menjahit seperti benang, jarum dan sebagainya. Pada masa ini bengkel jahitan adalah pejabat lama YDSM yang terletak di Jalan Kamaruddin, Kuala Terengganu. Manakala pihak ARI memberi bimbingan pengurusan dan operasi serta proses kenadalian kerja harian termasuk selok belok pentadbiran kewangan dan rangsangan kepada para peserta tersebut. Hasil jahitan akan dipasarkan di gedung-gedung pasaran Mydin seluruh Malaysia. Mutu kerja dan jahitan yang dihasilkan amat memuaskan kerana tiada yang ditolak pihak Mydin. Untuk memenuhi jangkaan permintaan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang lalu, YDSM telah menghantar enam pesanan ke pasaraya Mydin. Hasil perolehan jahitan ini akan dapat memberi jaminan pendapatan tetap secara berterusan kepada peserta. YDSM juga kini mengorak langkah untuk memperluaskan program ini ke daerah-daerah lain.Adalah diharapkan usaha murni pihak-pihak yang terlibat dalam menjayakan Program ini mendapat keberkatan Ilahi.