Seramai 23 orang pelatih Program Seni Kraf Warisan YDSM siri kelima sesi 2014/2015 telah berjaya menamatkan kursus selama 18 bulan pada Februari 2016, dan layak mendapat sijil tamat latihan daripada YDSM. Mereka juga telah berjaya mengikuti Kursus Keusahawanan dibawah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada 23 hingga 27 Disember 2015 bertempat di Prinzpark Resort Terengganu, Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

Sempena tamat latihan ini, YDSM telah mengadakan Majlis Graduasi Program Seni Kraf Warisan YDSM siri kelima sesi 2014/2015 pada 22 April 2016 bertempat di Dewan TSIS Institut Integriti Negeri Terengganu, Seberang Takir, Kuala Terengganu. Majlis Graduasi ini telah diadakan bersamaan dengan Majlis Makan Malam Khas sempena meraikan pelatih-pelatih baru siri keenam sesi 2016/2017 yang sedang melalui Minggu Suai Kenal Program Seni Kraf Warisan YDSM. Semua ibu bapa pelatih yang telah tamat latihan dan yang baru turut dijemput pada majlis tersebut.

Majlis Graduasi ini diserikan lagi dengan ucapan aluan daripada wakil pelatih Program Seni Kraf Warisan YDSM siri keenam sesi 2016/2017 iaitu Saudara Ezzam Shahrom bin Mohd Yusof, pelatih Seni Pembuatan Senjata Tradisional. Beliau menyatakan bahawa penglibatan mereka dalam program ini baru sahaja bermula lebih kurang dua minggu yang lalu. “Walaupun masih baru dari segi masa, namun kami mempunyai minat yang mendalam dalam bidang ini. Harapan kami agar kami bukan sahaja dapat mengekalkan seni kraf warisan Terengganu malah dapat mengembangkannya lagi” tambah beliau.

Saudara Ezzam Shahrom bin Mohd Yusof berkata, “Kami telah menjalani Minggu Suai Kenal untuk program ini selama 3 hari 2 malam dan banyak program yang kami lalui”. “Ada program yang memerlukan kekuatan jasmani, kekuatan emosi, kekuatan rohani dan ada juga yang melibatkan intelektual dan juga membantu kami untuk berinteraksi antara satu sama lain. Jadi kami sedar bahawa, untuk berjaya bukan hanya kerja keras sahaja tetapi juga ada aspek lain yang kami perlu ambil berat supaya kami dapat menamatkan Program Seni Kraf ini dengan jaya tanpa mengabaikan aspek-aspek lain terutamanya aspek kerohanian” tambah beliau. Beliau mewakili rakan-rakan pelatih yang lain mengucapkan terima kasih kepada YDSM kerana memberi peluang kepada mereka menceburi bidang ini.

Di samping itu, Dato’ Haji Mohd Fadzli bin Yusof selaku Pengerusi Program Seni Kraf Warisan YDSM telah memberikan ucapan pada majlis tersebut. Beliau berkata bahawa “dari setahun ke setahun program ini semakin meningkat dari segi mutu pelaksanaan. Program ini telah memasuki siri yang keenam pada tahun ini dan majlis seperti ini yang mengumpulkan pelatih-pelatih lama dan baru beserta para ibu bapa pertama kali diadakan pada tahun ini. Majlis ini dibuat supaya pelatih-pelatih tidak terasa asing antara satu sama lain” tambah beliau. Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pelatih-pelatih siri kelima yang baru sahaja menamatkan latihan selama 18 bulan dan mengalu-alukan kedatangan pelatih-pelatih baru siri keenam.

Selain itu, Dato’ Haji Mohd Fadzli bin Yusof berkata, “program yang dianjurkan oleh YDSM berbeza daripada program di tempat lain kerana cara yang paling baik untuk membentuk kemahiran ialah setiap pelatih itu diletakkan dibawah asuhan dan bimbingan seorang yang mahir atau adiguru dalam setiap bidang. Apa yang ditekankan adalah latihan amali dan praktikal secara tubi yang akan dinilai oleh pihak adiguru atau mentor” kata beliau.

“Dalam dunia moden, kemahiran sahaja tidak mencukupi malah perlu ada pengurusan kewangan yang baik; oleh sebab itu, pelatih-pelatih akan turut didedahkan dengan kursus asas keusahawanan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)” kata Dato’ Haji Mohd Fadzli bin Yusof lagi. Beliau menekankan matlamat YDSM mahu setiap pelatih mempunyai cita-cita yang tinggi untuk berusaha membuka perniagaan sendiri pada masa akan datang.

Selain itu juga, Dato’ Haji Mohd Fadzli Yusof berkata bahawa YDSM sekarang ini sedang cuba untuk berusaha dan berbincang bersama dengan seorang pakar tentang cara untuk luaskan hasil kraf warisan kita ini ke pasaran antarabangsa. Dunia barat sekarang ini amat menghargai barang-barang kebudayaan dan seni kraf warisan dan hasil kraftangan kita tidak akan diterima oleh pihak luar sekiranya ia tidak berkualiti. Justeru, beliau berpesan kepada pelatih-pelatih supaya mempunyai cita-cita dan usaha; jangan sia-siakan minat yang ada serta perlu ada disiplin kerja yang tinggi untuk berjaya.

Majlis Graduasi ini dimeriahkan lagi dengan penyerahan sijil tamat latihan kepada 23 orang pelatih-pelatih Program Seni Kraf Warisan YDSM siri kelima sesi 2014/2015. Majlis telah berjalan dengan lancar dan jelas terpancar wajah kegembiraan dan rasa bangga dari setiap diri pelatih-pelatih yang menerima sijil daripada YDSM setelah 18 bulan menuntut ilmu dalam bidang yang dipilih masing-masing.

Di samping itu, seorang pelatih daripada Latihan Seni Pembuatan Batik Terap, Batik Blok dan Batik Lukis di bawah mentor Noor Arfa Holdings Sdn. Bhd. iaitu Nur Fa’iqah Fasihah binti Pauzi telah dipilih sebagai pelatih terbaik bagi Program Seni Kraf Warisan YDSM siri kelima. Beliau telah menerima Anugerah Pelatih Terbaik berupa cenderahati khas daripada YDSM pada Majlis Graduasi tersebut.

Majlis Graduasi ini telah diakhiri dengan majlis jamuan makan malam dan sesi bergambar kenang-kenangan pihak YDSM bersama semua pelatih yang telah berjaya menamatkan latihan bagi siri yang kelima. Apa yang diharapkan adalah supaya semua pelatih yang telah berjaya menamatkan latihan dan mendapat sijil ini akan terus berusaha untuk mencapai cita-cita yang diingini pada masa akan datang. Pihak YDSM mengucapkan tahniah dan semoga maju jaya kepada mereka untuk masa hadapan.