Majlis Mesra Hari Raya Aidilfitri 1438 Hijrah Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) telah berlangsung pada hari Khamis 13 Julai 2017 bersamaan 19 Syawal 1438 Hijrah bertempat di halaman pejabat YDSM, Pekarangan Istana Badariah, Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu. Majlis ini merupakan Majlis Sambutan Hari Raya YDSM yang ketujuh sejak ianya dilancarkan.

 

KDYMM Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, selaku Pengerusi YDSM telah mencemar duli berangkat ke Majlis Mesra Hari Raya Aidilfitri ini. Lebih meriah lagi, pada tahun ini, KDYMM Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu turut berangkat bersama-sama tiga orang anakanda iaitu Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Mua’az Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, Yang Amat Mulia Tengku Fatimatuz Zahra’ binti Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin dan  juga Yang Amat Mulia Tengku  Nadhirah Zahrah binti Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.

 

Lebih 1000 orang tetamu turut  hadir untuk meraikan majlis tersebut. Kebanyakan mereka adalah para pegawai pelbagai Jabatan dan agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, para guru dan ahli-ahli akademik yang terlibat dengan pelbagai program dan projek YDSM. Juga turut bersama meraikan majlis ini ialah wakil-wakil badan NGO tempatan dan sektor korporat serta tetamu-tetamu lain termasuk orang ramai yang menjadi peserta program Yayasan.

 

Para tetamu telah disajikan dengan pelbagai juadah dan hidangan yang disediakan oleh beberapa penyaji makanan yang dipilih khas oleh YDSM. Penyaji makanan ini merupakan para pengusaha yang menerima pelbagai bantuan di bawah projek kemasyarakatan YDSM termasuk Pengusahaniaga Mikro, Usahatani Cendawan dan lain-lain.

 

Pada majlis jamuan Hari Raya kali ini, sebanyak lapan buah gerai disediakan untuk  pengusaha-pengusaha  berkenaan menyajikan sajian masing-masing. Sebuah gerai khas turut disediakan untuk pihak Kenyir Elephant &  Conservation Village (KECV) (Taman Pemuliharaan Gajah Kenyir) bagi mempamer serta mempromosikan produk pelancongan mereka. Selain itu, turut dipamerkan hasil jahitan pakaian yang diusahakan oleh peserta-peserta Program Jahitan Berkelompok YDSM. Menariknya, pada tahun ini sebuah gerai telah disediakan khas untuk pelatih-pelatih Kursus Pembuatan Pastri YDSM mempamerkan hasil pembuatan  pastri yang telah mereka pelajari. Kursus ini merupakan programbaharu hasil kerjasama YDSM dengan Ziq Bakery Cake Sdn. Bhd.

 

KDYMM Sultan dan KDYMM Sultanah juga berkenan berangkat mengunjungi geraigerai pengusaha YDSM terbabit dan bersalaman dengan mereka sambil beramah mesra. Antara sajian yang dipersembahkan termasuklah sup cendawan, keropok lekor, sate ikan, mee goreng, nasi kerabu, kek dan aneka kuih muih Terengganu. KDYMM Sultan dan KDYMM Sultanah sempat bersantap kek serta beberapa jenis kuih muih ketika berkunjung ke gerai gerai tersebut.

 

Pada majlis tersebut juga, YDSM telah menghadiahkan duit raya kepada kanak-kanak tetamu yang hadir. Kegembiraan jelas terpancar daripada raut wajah kanak-kanak yang telah memeriahkan majlis tersebut.

 

Selain itu, majlis turut diserikan dengan alunan lagu-lagu raya yang diputarkan khas oleh Unit Komunikasi (UKOM) Terengganu. Semua tetamu terhibur sambil menjamu selera dengan pelbagai hidangan dengan perasaan gembira dengan suasana majlis yang begitu meriah.

 

Majlis ini bermula pada jam 11.00 pagi dan berakhir pada jam 2.00 petang.

 

Sesungguhnya Majlis Mesra Hari Raya Aidilfitri YDSM ini merupakan pentas bagi YDSM memperlihat dan memperagakan pelbagai program dan projek kemasyarakatan yang bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup peserta-pesertanya. Majlis ini juga sekali gus menjadi jambatan untuk mengeratkan jalinan mesra KDYMM Tuanku selaku Pengerusi YDSM serta KDYMM Sultanah dengan pelbagai lapisan masyarakat sejajar dengan prinsip ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’. Semoga majlis ini dapat diteruskan lagi pada tahun-tahun yang akan datang.