Bubur Lambuk Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) menjadi penantian orang ramai, khususnya di masjid-masjid pilihan yang menjadi tempat agihan, sepanjang Ramadhan yang lalu. Program Agihan Bubur percuma ini antara salah satu kegiatan amal tahunan yang dilaksanakan oleh YDSM yang kini telah memasuki tahun kesembilan penganjurannya pada 2017. Bubur Lambuk yang disediakan ini menjadi begitu sinonim dengan YDSM sehingga mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat setempat.

 

Menurut Pengerusi Program, Dato’ Haji Mohd Fadzli bin Yusof, saban tahun sambutan dan permintaan bubur lambuk yang diagihkan oleh YDSM semakin meningkat dan YDSM turut menerima permohonan daripada beberapa buah masjid lain agar agihannya diperluaskan ke kawasan mereka.

 

“Alhamdulillah, YDSM berpeluang untuk meneruskan program agihan bubur lambuk pada tahun ini. Ucapan syukur dipanjatkan kepada Allah SWT kerana pada tahun ini ada pihak yang menyumbang terus untuk program ini sehinggakan ianya mampu dijalankan secara meluas yang melibatkan beberapa buah masjid di Marang, Hulu Terengganu dan Dungun. Insyaa Allah, dengan berkat sumbangan yang berterusan, YDSM sedang memikirkan untuk menambah jumlah bubur lambuk di setiap masjid yang terlibat pada tahun hadapan. Jika sumbangan yang diterima juga semakin banyak, mugkin kita perluaskan ke masjid-masjid yang belum terlibat sebelum ini.” jelasnya ketika ditemui oleh wakil TINTA selepas selesai mempengerusikan mesyuarat program-program YDSM di Pejabat Yayasan DiRaja Sultan Mizan.

 

Meneruskan tradisi sebelumnya, peserta program mikro- usahawan yang dipupuk oleh YDSM, Tuan Haji Tajuddin bin Adam terus diberikan kepercayaan untuk menyediakan juadah bubur lambuk berkenaan. Beliau yang berpengalaman luas dalam penyediaan bubur lambuk dan juga merupakan salah seorang yang pernah diberi bantuan zakat perniagaan YDSM sepuluh tahun lalu, dan kini menjadi seorang usahawan mikro yang berjaya sehinggakan mampu memperbaiki sosio ekonomi keluarga beliau ke tahap yang lebih baik. Kejayaan yang diperolehi oleh beliau adalah sejajar dengan matlamat YDSM dalam memperkasakan sosio ekonomi golongan miskin melalui bantuan dan bimbingan yang berterusan.

 

“Syukur Alhamdulillah dan terima kasih kepada pihak YDSM kerana sekali lagi memberi kepercayaan kepada saya dalam menyediakan juadah bubur lambuk pada tahun ini. Sesungguhnya kejayaan dan apa yang saya miliki pada hari ini adalah rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT.” Katanya ketika ditemui oleh wakil TINTA semasa Program Agihan Bubur Lambuk yang turut disertai  oleh kakitangan YDSM dan  Jawatankuasa Agihan Zakat YDSM di Pekarangan Masjid Abidin (Masjid Negeri) Kuala Terengganu

 

Tuan Haji Tajuddin pernah muncul sebagai juara dalam pertandingan bubur lambuk seluruh Malaysia anjuran TV9 pada tahun 2013.

 

Ketika TINTA membuat tinjauan semasa agihan bubur lambuk di Pekarangan Masjid Abidin (Masjid Negeri) dan Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, orang ramai dilihat mula beratur panjang selepas solat asar bagi menunggu agihan bubur lambuk berkenaan. Selain itu, terdapat Masjid Hiliran, Kuala Terengganu, Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah di Daerah Dungun dan Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang bagi Daerah Hulu Terengganu turut terlibat dengan program ini. Bubur lambuk yang diagihkan oleh YDSM diakui istimewa dari segi ramuannya yang lazat dan tahan lama sehingga mampu bertahan untuk dibuat juadah bersahur.

 

Selaras dengan matlamat YDSM untuk mengekal dan mewariskan ilmu dan kemahiran dalam penyediaan bubur lambuk ini, seorang tukang masak iaitu Encik Mohammed Musa bin Haji Tajuddin telah dilantik untuk menyedia dan mengendalikan agihan bubur lambuk bagi daerah Dungun di bawah bimbingan dan tunjuk ajar Tuan Haji Tajuddin.

 

Adalah diharapkan Program ini diteruskan lagi untuk masa yang akan datang. Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Agihan Zakat YDSM menyeru semua pihak: perseorangan mahupun korporat agar sama-sama menyumbang bagi pembiayaan Program ini agar tradisinya terus berkekalan.