Sempena Hari Penglihatan Sedunia (World Sight Day) 2017, pihak Persatuan Doktor Pakar Mata Malaysia (Malaysian Society of Ophthalmologists — MSO) telah mengambil keputusan untuk mengadakan program khas di Negeri Terengganu Darul Iman. Bagi tujuan tersebut, MSO telah memohon dan mempelawa YDSM sebagai penganjur utama bersama.

 

Di pihak YDSM, program berkenaan diselaraskan di bawah Jawatankuasa Agihan Zakat YDSM (JAZ) memandangkan matlamat MSO untuk memberi tumpuan saringan mata kepada

golongan asnaf fakir miskin Terengganu. Program ini  juga adalah susulan kepada  perkhidmatan pembedahan dan rawatan mata percuma yang dibiayai bersama oleh YDSM dan pihak Pusat Pakar Mata Bangi/Klinik Mesra Bangi untuk tiga orang keluarga miskin yang telah dijalankan di Pusat Pakar Mata Bangi/Klinik Mesra Bangi, Selangor pada bulan Mei 2017 yang lalu.

 

Program Hari Penglihatan Sedunia berkenaan telah diadakan pada 14 dan 15 Oktober 2017 (Sabtu dan Ahad) bertempat di Stadium Negeri, Kuala Terengganu dengan penglibatan sekitar 1,300 orang awam yang mempunyai masalah berkaitan mata. Melalui program berkenaan juga, kira-kira 600 orang awam dikenalpasti mempunyai masalah berkaitan mata dan dirujuk kepada klinik mata Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk  tindakan lanjut. Disamping itu, Parsatuan Optametaris Malaysia yang turut menyertai Program ini telah memberi 200 pasang cermin mata percuma kepada mana-mana pesakit yang yang dikenalpasti mempunyai masalah mata dan memerlukan penggunaan cermin mata.

 

Program ini juga mendapat sambutan yang amat menggalakkan oleh masyarakat hasil kerjasama beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Terengganu, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Negeri Terengganu, Yayasan Pembangunan Keluarga Negeri Terengganu, Jabatan Kerja Raya Negeri Terengganu,  Jabatan Penyiaran Malaysia  Negeri Terengganu, Jabatan Penerangan NegeriTerengganu, Unit Komunikasi  Negeri (UKOM), Syarikat Air Terengganu (SATU).

 

Program berkenaan turut diserikan lagi dengan penglibatan beberapa buah agensi kerajaan yang mengadakan pameran seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Perbandanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Jawatankuasa Majlis Peguam Negeri Terengganu melalui Program Nasihat Guaman Percuma bergerak (KESUMA) YDSM, pameran dan jualan pastri oleh pihak Ziq Bakery & Cake Sdn Bhd dan pihak Nur Hidayah Biz.

 

Dalam ucapan perasmiannya, Dato’ Haji Mohd Fadzli bin  Yusof selaku Pengerusi  Program merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM menyeru agar masyarakat sentiasa peka dengan masalah berkaitan kesihatan diri terutamanya mata.

 

“Mata adalah merupakan pancaindera anugerah Allah swt yang amat penting dan banyak memberi manfaat kepada kita. Justeru, menjadi tanggungjawab kita untuk menjaganya sebaik mungkin agar nikmat penglihatan ini tidak disia-siakan. Sehubungan itu, saya menyeru dan mengajak Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang hadir pada hari ini sama-samalah kita mengambil peluang ini untuk melakukan pemeriksaan mata disamping pemeriksaan asas kesihatan kita seperti tekanan darah, kandungan gula dalam darah dan lain-lain yang disediakan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri.”.

 

“ Menurut laporan kesihatan mutakhir ini, dalam tempoh 5-10 tahun akan datang, sekitar 1.3 juta rakyat Malaysia yang berusia 50 tahun dan ke atas dijangkakan terdedah kepada penyakit mata iaitu  katarak yang merupakan antara penyebab utama kepada masalah penglihatan mata. Jika tidak dirawat sebetulnya, ianya boleh menyumbang kepada buta,” tambah beliau.

 

YDSM telah memperuntukan sejumlah RM38, 417.10 bagi menjayakan Program Hari Penglihatan Sedunia 2017 ini.

 

Mesyuarat Post Mortem Program telah bersetuju untuk YDSM membantu dan membiayai tiga (3) orang pesakit dari keluarga miskin untuk pemeriksaan,  pembedahan dan rawatan  lanjut mata di Pusat Pakar Mata Bangi/Klinik Mesra Bangi, Selangor yang telah selesai dijalankan pada pertengahan November lalu. YDSM turut bersetuju untuk memberi sumbangan peralatan oftalmologi (pemeriksaan mata) kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dengan peruntukan sekitar RM116, 000.00 memandangkan peralatan berkenaan amat diperlukan.