Dalam usaha Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) untuk memulihara dan memelihara alam sekitar terutamanya di kawasan tanah bencah Setiu atau Setiu Wetlands, satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara YDSM dengan TZR Technology Sdn Bhd dengan kolaborasi Universiti Tokyo Metropolitan (TMU), Universiti Hiroshima (HIU), Universiti Hokkaido (HOU) dan Institut Penyelidikan Kelestarian Alam Sekitar (RISE), Universiti Teknologi Malaysia dalam Pengurusan Indeks Biodiversiti, Kewangan Alam Sekitar dan Pelaksanaan Pusat Pemantauan Bumi, Tanah Bencah Setiu telah diadakan pada 15 Disember 2016 bertempat di Mandarin Oriental Kuala Lumpur.

YDSM amat gembira kerana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu Al- Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, Pengerusi YDSM telah berkenan berangkat ke majlis ini. Hal ini sekaligus menunjukkan komitmen Tuanku dan YDSM terhadap program pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar ini. Majlis ini diserikan lagi dengan kehadiran YAB Dato’ Seri Haji Ahmad Razif bin Abd. Rahman, Menteri Besar Terengganu serta rakan-rakan Jabatan-jabatan kerajaan, swasta, NGO dan pihak Universiti yang dijemput.

Melalui MOU tersebut, YDSM, TZR, TMU, HIU, HOU dan RISE berhasrat untuk bekerjasama ke arah mengenal pasti, mengurus dan meningkatkan “Indeks Digital Bumi” Setiu Wetlands dan mengesahkan serta memperakui “Kewangan Alam Sekitar” dan akhirnya mewujudkan “ekonomi hijau” di Setiu Wetlands. Kerjasama ini juga akan menuntut penubuhan “Sistem Pemantauan Bumi” komprehensif yang tidak terhad kepada low-orbit sistem satelit mikro ke arah matlamat untuk menjadikan Setiu Wetlands sebagai pusat rujukan global utama bagi “ekonomi hijau”.

Pengerusi Program ini Dato’ Professor Emeritus Dr. Makhdzir Mardan berkata, Memorandum Persefahaman ini bertujuan untuk membentuk konsortium dengan pihak yang terlibat dan bekerjasama ke arah perancangan, operasi dan mengurus pelaksanaan projek di tanah bencah Setiu. TZR Technology Sdn Bhd akan bekerjasama untuk memberikan panduan, arahan, dan merangka strategi ke arah pelaksanaan projek ini.

TZR Technology Sdn Bhd adalah sebagai perancang perniagaan, pengendali, pemantau dan pengurus “Indeks Digital Bumi” dan “Kewangan Alam Sekitar” ekosistem bumi dan menukarkan pengurusan ekosistem kepada “ekonomi hijau”. TZR Technology Sdn Bhd juga merupakan pemegang hak eksklusif Inisiatif Satoyama di Malaysia daripada Perkongsian Antarabangsa bagi Inisiatif Satoyama (IPSI). Tokyo, Jepun dan dengan hak ekslusif tersebut membolehkan TZR Technology Sdn Bhd untuk mengendali dan mengurus “Sistem Pemantauan Bumi”. Beliau juga bertanggungjawab untuk mendapatkan hak eksklusif Satoyama Initiative
di Malaysia untuk digunakan sebagai asas rundingan untuk projek di Setiu Wetland. Hak eksklusif tersebut akan membolehkan pihak TZR Technology Sdn Bhd menerima dana atau geran penyelidikan untuk projek tersebut.

YDSM amat yakin dengan kemampuan TZR Technology Sdn Bhd untuk berusaha menjadikan kawasan tanah bencah Setiu, Setiu Wetland sebagai kawasan “ekonomi hijau”. Tuan Haji Rosman bin Haji Abdul Ghani, Pengarah Urusan TZR Technologi Sdn Bhd akan berusaha untuk mendapatkan hak eksklusif Satoyama Initiative untuk menjadikan Setiu Wetland sebagai kawasan “ekonomi hijau”. Konsep “ekonomi hijau” merujuk kepada penjagaan sumber alam sekitar yang mampan dari segi ekonomi, alam sekitar dan sosial. Kesannya akan meningkatkan dana mata pencarian masyarakat tempatan dengan kepelbagaian biodiversiti yang ada di Setiu Wetland. Di samping itu, kawasan yang mempunyai kepelbagaian biodiversiti ini mempunyai nilai sebagai tarikan kepada pelancong yang ingin melihat alam semulajadi yang unik.

Konsep “ekonomi hijau” mempunyai nilai yang tinggi kepada alam sekitar dan juga hidupan di sekitarnya. Untuk mendapat pandangan komuniti setempat, TINTA telah menemui Tengku Azam bin Tengku Mat, Pengerusi Persatuan Sahabat Setiu, yang berkata ‘konsep pembangunan kawasan Setiu Wetland ke arah “ekonomi hijau” ini sangat baik dan patut dilaksanakan bagi menjaga, memulihara dan memelihara kawasan tersebut supaya hasil biodiversitinya boleh dinikmati oleh generasi yang akan datang’. Pembangunan yang mampan patut dilaksanakan dengan secepat mungkin supaya biodiversiti yang ada dapat dikekalkan, tambah beliau.

Hasrat YDSM ialah untuk melihat kawasan tanah bencah Setiu dipulihara dan dipelihara bagi memastikan sumber biodiversiti di kawasan tersebut tidak terjejas dan kekal mampan. Hal ini akan memastikan sumber dana mata pencarian masyarakat di sana sentiasa ada dan tidak terjejas disamping dapat menjalani hidup dengan lebih baik. Kerjasama, sokongan dan bantuan daripada semua pihak termasuk badan-badan kerajaan, swasta, NGO  dan masyarakat tempatan sangat diperlukan bagi menjayakan projek ini. Ini bertepatan dengan salah satu matlamat YDSM untuk menyumbang kepada usaha pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan yang lestari.