Yayasan DiRaja Sultan Mizan buat julung kalinya pada tahun ini telah mengadakan majlis penghargaan untuk Tuan Yang Terutama Gabenor Sulawesi Selatan dan majlis pengurniaan hadiah Piala Yayasan DiRaja Sultan Mizan pada 22 mei 2017. Majlis tersebut telah diadakan di Dewan Santapan DiRaja Istana Syarqiyah, Kuala Terengganu.

Majlis tersebut telah diserikan dengan keberangkatan KDYMM Sultan Mizan selaku Pengerusi YDSM. KDYMM Tuanku turut mencemar duli menyempurnakan pengurniaan penghargaan kepada TYT Gabenor Sulawesi Selatan dan pengurniaan hadiah kepada para pemenang pertandingan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab Piala YDSM.

Seramai kira-kira 800 orang tetamu telah hadir pada majlis tersebut. Mereka terdiri daripada para pembesar dalam negeri, para guru dan pelajar sekolah bersama-sama delegasi Sulawesi Selatan, Indonesia. Jemputan kenamaan yang hadir adalah TYT DR H. Syahrul Yasin Limpo, Gabenor Sulawesi Selatan yang juga merupakan tetamu kepada KDYMM Sultan, YAB Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif bin Abdul Rahman, serta YB Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri.

Pada tahun ini, terdapat kelainan yang ditampilkan oleh Yayasan oleh kerana majlis pengurniaan hadiah yang merupakan acara kemuncak kepada program pengukuhan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab ini digabungkan bersama Majlis Penghargaan untuk TYT Gabenor Sulawesi Selatan.

Majlis bermula dengan ucapan aluan oleh YBhg. Dato’ Profesor Emeritus Dr. Abdul Rahman bin Haji Embong yang merupakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM merangkap Pengerusi Bersama Program dan ucapan balas daripada TYT DR. H Syahrul Yasin Limpo, Gabenor Sulawesi Selatan.

Pada majis itu, KDYMM Sultan telah perkenan mengurniakan Warkah Penghargaan berbunyi “Bapa Pencetus & Pengerak Inovasi Bidang Pendidikan Provinsi Sulawesi Selatan” kepada TYT Gabenor Sulawesi Selatan yang menjadi gabenor sejak tahun 2008 hingga tahun 2018. Warkah penghargaan tersebut dikurniakan berdasarkan kecemerlangan kepimpinan yang ditunjukkan oleh Gabenor Sulawesi Selatan khususnya dalam aspek inovasi pendidikan yang membawa kemajuan penting bidang pendidikan dan pembangunan di Sulawesi Selatan serta kerjasama pendidikan di antara Sulawesi Selatan dan Terengganu.

Dalam acara tersebut Dato’ Rahman turut mengumumkan keputusan pertandingan. Pertandingan kali ini telah menyaksikan beberapa pemenang baharu untuk pertandingan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. Bagi tahun 2017, Pertandingan ‘Chain Story Telling’ dimenangi oleh Sekolah Menengah Agama Durian Guling dari Marang, ‘Chorasical Sketch’ dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu manakala Pertandingan ‘Smart English’ oleh Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu. Bagi Pertandingan Kalam Jama’ie, johan dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato’ Haji Abbas,
Kuala Terengganu manakala Johan Pertandingan Dikir Arab dimenangi oleh Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. KDYMM Sultan turut berkenan mengurniakan hadiah kepada para pemenang pertandingan.

Pada majlis tersebut juga, satu acara menandatangani Memorandum Persefahaman kerjasama pendidikan di antara Yayasan DiRaja Sultan Mizan dan Dinas Pendidikan Provinsi Sulawesi Selatan diadakan. YDSM diwakili oleh Dato’ Rahman selaku Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM manakala Dinas Pendidikan Sulawesi Selatan diwakili oleh Bapak H. Irman Yasin Limpo selaku Kepala Dinas. Majlis tandatangan MOU yang lebih menjurus kepada kerjasama dalam bidang pendidikan tersebut turut disaksikan oleh KDYMM Sultan dan Gabenor Sulawesi Selatan.

Hadirin turut disajikan dengan persembahan hebat daripada para pelajar yang terdiri daripada johan-johan pertandingan serta persembahan yang didatangkan khas daripada sekolah-sekolah Sulawesi Selatan. Majlis berakhir dengan sesi bergambar KYDMM Sultan bersama para pemenang pertandingan di Dewan Az- Zahra.